Berharganya satu persahabatan! Lebih 50 tahun berkawan! Dari budak sekolah sehingga jadi warga emas!
Published byBerkawan sejak lebih 50 tahun lalu.
Selalunya sahabat akan datang dan pergi mengikut peredaran masa dan usia kita. Namun mereka yang dapat mengekalkan persahabatan dari anak kecil hingga menjadi warga emas adalah sesuatu yang amat menakjubkan.
Benar kata Thomas Aquinas: "Tidak ada perkara yang lebih berharga daripada persahabatan yang sejati".
Bagi Shafie Abdul Rahman, 62, dari Gombak Selangor, beliau menganjurkan perjumpaan setiap tahun dengan rakan-rakan sekolah rendahnya bagi mengeratkan silaturahimnya dengan kawan-kawan lama beliau.
Hampir setiap tahun perjumpaan ini diadakan dan seringkali pertemuan itu akan mengimbau saat beliau masih bersekolah rendah.
Baginya kenangan paling indah adalah sewaktu beliau bersekolah rendah di Sekolah Rendah Sri Petaling di Petaling Jaya sejak tahun 1968 lagi. Rakan-rakan sekolah rendah baginya adalah rakan sejati yang pernah hidup susah bersama beliau. Kenangan itu sangat berharga bagi Shafie.
Beliau telah mengaturkan perjumpaan bersama rakan-rakan sekelasnya di sekolah rendah dulu untuk bertanya khabar, menikmati sesi sembang santai dan mengimbau saat indah menjadi murid sekolah rendah. Selain itu mereka juga dapat mengetahui mengenai latar belakang sahabat sahabat beliau dan mengetahui mengenai rakan rakan lain yang kurang sihat.
Baginya tak ada yang lebih membahagiakan daripada bertemu rakan-rakan lama yang kini masing-masing sudah berusia lebih 60 tahun.
Shafie adalah penggerak pertemuan bagi rakan-rakan lamanya dan beliau juga adalah orang yang berusaha menjejak dan mencari rakan-rakan yang sudah putus hubungan untuk kembali bersilaturahim. Pernah beliau ke Johor dan ke Pulau Pinang mencari rakan-rakan lamanya.
Shafie Abdul Rahman (kiri) bersama rakan-rakannya Mustafa dan Azhar
Hampir setiap tahun Shafie membiayai pertemuan sahabat-sahabatnya dan sentiasa ada " kejutan" yang dibawanya untuk pertemuan dengan rakan-rakannya.
Pada tahun ini (2023), Shafie menjamu rakan-rakannya di Restoren Ikhwan Delight di Sungai Pencala. Ditanya mengapa pilih tempat Sungai Pencala, katanya kerana ramai rakan lamanya masih tinggal di situ dan ia memudahkan sahabat sahabatnya itu hadir ke perjumpaan berkenaan.
Seorang sahabat Shafie yang datang dari Melaka, Yahya Yaakob, 62 , memberitahu, beliau sangat terharu dapat bertemu kembali rakan-rakan sekolah lamanya yang masih mengingatinya, Beliau yang kini menetap di Melaka sangat teruja dapat hadir ke majlis pertemuan itu.Menurut Yahya, 10 tahun lalu beliau ada menyertai perjumpaan seumpama ini yang dianjurkan oleh Shafie, namun oleh kerana masalah jarak yang jauh dia tidak dapat kerap menghadiri majlis pertemuan setiap tahun yang diadakan.
Antara sahabat-sahabat yang hadir iaitu Fauziah, Rosla dan Rohaya
Sahabat-sahabat lain Shafie ada juga yang datang dari Kuala Selangor, Petaling Jaya, Shah Alam, Cheras, Sungai Buluh dan Kajang. Bagi Shafie, pertemuan seumpama ini bukan sahaja mengimbau kenangan lalu tetapi juga mengambil kesempatan bertanya khabar sahabat-sahabat lama yang sakit dan yang mengalami masalah kehidupan selagi mereka masih ada.
Shafie akan mengajurkan sekali lagi pertemuan dengan rakan-rakan yang tidak dapat hadir ke perjumpaan yang beliau anjurkan itu. Katanya mungkin pada bulan Desember 2023 ini pertemuan seterusnya akan diadakan.
Semoga ukhuwah yang terjalin antara sahabat-sahabat ini mempertemu mereka disyurga nanti. Amin!! - KitaReporters
Sahabat-sahabat Shafie termasuk Nasaruddin, Rahman dan Mohd Noor.