Menikmati hidangan berbuka puasa sambil bersembang mengeratkan ukhuwah antara kakitangan walaupun daripada jabatan berbeza


BERBUKA puasa di surau mungkin dianggap biasa-biasa sahaja, bukanlah tempat gah jika dibandingkan dengan hotel lima bintang tapi keseronokan dan rohnya dapat dirasakan walaupun sudah tidak bekerja di tempat itu lagi malah menjadi nostalgia manis yang akan dikenang sampai bila-bila.

Tanyalah sesiapa yang pernah bertugas di The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), apa kenangan yang mereka yang tidak pernah lupa ketika bekerja di syarikat media gergasi itu, pastinya ramai menjawab peluang berbuka puasa di Surau Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur atau ada memanggilnya Surau Inn.

Keseronokan berbuka puasa bukan sahaja disebabkan menu yang dihidangkan setiap hari tapi peluang bersembang dan ukhuwah di antara kakitangan daripada pelbagai unit dan jabatan di syarikat itu, peluang yang jarang dapat dilakukan jika bukan ketika berbuka puasa di Surau Balai Berita NSTP. 

Gelak ketawa dan gurau senda sambil menikmati makanan berbuka puasa cukup meninggalkan kenangan yang mungkin tidak terdapat di tempat lain, satu pengalaman yang hanya boleh dirasakan mereka yang pernah melaluinya.


Shukor Othman


Bagi Penyelaras Program Berbuka Puasa Surau Balai Berita, NSTP, Kuala Lumpur, Shukor Othman, beliau sudah mengalami pengalaman itu sejak bertugas di syarikat media itu pada Ogos 1983, ketika itu berusia 18 tahun dan sekadar membantu urusan di surau seperti azan ketika solat fardu dan persiapan berbuka puasa bagi kakitangan NSTP.

Beliau berkata, pada tahun-tahun 1980-an, jemaah yang datang berbuka puasa ramai, lokasinya masih di bangunan lama dan kadangkala mencecah hingga 200 orang menyebabkan terpaksa berhimpit-himpit dan melimpah sehingga ke luar surau.  

"Pada masa itu, menu tidak pasti, ikut bajet, jika ada tajaan atau sumbangan yang lebih, hidangan berbuka puasa sedap sikit tapi jika sebaliknya, pengurusan surau hanya menyediakan makanan biasa seperti roti canai, mi goreng, mi kari, nasi lemak dan bihun sup tapi kehadiran tetap ramai.

"Kebanyakan hari, kami sediakan nasi, antaranya nasi ambeng, nasi hujan panas, nasi minyak, beriani dan yang paling popular sejak dulu, nasi padang Sogo yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di kalangan jemaah yang hadir untuk berbuka puasa," katanya yang memang popular dalam kalangan kakitangan NSTP dengan panggilan Haji Shukor.

Kari kepala ikan


Kebetulan penulis dijemput hadir berbuka puasa di Surau Balai Berita pada Ramadan ke-25 bersama kakitangan dan pengamal media NSTP. 

Menu istimewa hari itu ialah kari kepala ikan dan kari kepala kambing. Istimewanya kari kepala kambing yang berharga RM80 itu dibawa khas dari restoran di Kepala Batas, Pulau Pinang menggunakan "rider" ke surau berkenaan. 

Biasanya hidangan kari kepala ikan diadakan pada hari-hari terakhir Ramadan sebagai penutup tradisi berbuka puasa di surau berkenaan tapi menu kari kepala kambing adalah pertama kali diadakan dalam sejarah iftar di surau itu sehingga ramai yang teruja menikmati hidangan itu.


Kari kepala kambing


Kata Shukor, banyak kenangan pahit dan manis sepanjang bertugas menguruskan aktiviti berbuka puasa di surau itu malah ramai kakitangan yang sudah meninggalkan syarikat itu tapi masih menghubunginya bertanya sama ada surau NSTP masih mengadakan berbuka puasa setiap tahun.  

"Pengalaman manis saya apabila ramai bekas kakitangan yang mengucapkan terima kasih atas khidmat saya menguruskan aktiviti itu setiap Ramadan dan peluang mereka dapat berbuka puasa di surau itu ketika bertugas di NSTP.


Kebiasaannya jemaah akan berbuka puasa dengan minum air kosong, kurma, kuih muih dan teh tarik sebelum menunaikan solat maghrib.


"Kenangan pahit apabila ada kakitangan yang marah-marah kerana makanan tidak cukup ketika datang berbuka di surau itu, padahal kami sudah menempah menu seperti biasa tapi kadangkala kehadiran di luar jangkaan dan ada juga yang datang lewat menyebabkan makanan habis atau tidak mencukupi.

"Biasanya, jika berlaku begini, saya akan minta jemaah berkongsi makanan dengan rakan-rakan yang datang lewat atau mereka sekadar makan kuih muih, kurma dan teh tarik. Jika sempat, kami akan membeli makanan di kafe untuk memastikan mereka juga dapat makan walaupun hadir lewat," katanya. 

Shukor yang akan bersara dalam tempoh dua tahun lagi berharap aktiviti berbuka puasa dalam kalangan kakitangan di surau ini akan diteruskan sampai bila-bila kerana terbukti ia merapatkan hubungan ukhuwah, kasih sayang, saling kenal mengenal dan kemesraan yang terjalin walaupun daripada jabatan atau unit berbeza sehingga berterusan selepas mereka meninggalkan syarikat itu.


Jemaah muslihat turut memeriahkan acara berbuka puasa di surau Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur.


Kamarulzaman Salleh


Bagi Bekas Pengarang Luar Negara, New Strait Times (NST), Kamarulzaman Salleh, 62, yang mula berkhidmat di syarikat itu pada 1987, kemeriahan berbuka puasa era 1980-an hingga awal 2000 memang luar biasa kerana tumpuan mereka ialah surau Balai Berita, jadi jika tidak hadir berbuka puasa di sana, ia seperti satu kerugian kerana tidak menjadi sebahagian jemaah surau. 

Beliau sendiri seboleh-bolehnya mengelak untuk hadir berbuka puasa di tempat lain termasuk hotel lima bintang walaupun hidangan di sana lebih banyak dan mewah tapi suasana di surau Balai Berita seperti menggamit untuk terus hadir, bukan kerana makanan sangat tapi keseronokan berjumpa rakan-rakan daripada jabatan dan unit yang berbeza di bawah satu bumbung. 

"Boleh dikatakan saya berbuka puasa setiap hari di surau ini, kecuali tidak bekerja atau ada jemputan di luar yang tidak dapat dielakkan. 

"Rakan-rakan beragama Islam lain juga sama, malah ada bos yang sanggup mengabaikan jemputan berbuka di luar bersama orang kenamaan semata-mata ada menu nasi padang selain dapat bersembang dengan kakitangan lain.

"Nasi padang memang popular dan menjadi tarikan utama berbuka puasa di surau Balai Berita malah jika kakitangan yang pernah membeli nasi padang di restoran di depan Sogo, Kuala Lumpur, tauke nasi padang sudah tahu mereka staf NSTP jika memesan makanan yang sama seperti ditempah surau berkenaan," katanya. 


Jemaah surau Balai Berita NSTP bergambar kenangan bersama imam jemputan selepas solat tarawih. 


Zaini Salihin


Bekas kakitangan Jabatan Teknologi Maklumat (IT) NSTP, Zaini Salihin, berkata kira-kira 30 minit sebelum berbuka, kebanyakan tempat duduk sudah diisi oleh staf pelbagai unit dan jabatan tapi jumlah kehadiran tidak tetap, ada 80 orang tapi ada juga mencecah sehingga 200 orang sehingga melimpah di luar surau. Itu belum masuk staf yang datang pada saat akhir.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku jika ada menu menarik seperti nasi padang atau pada pertengahan bulan kerana belum mendapat gaji. 

Sebelum berbuka, tahlil diadakan yang dipimpin oleh imam surau, Ustaz Zamanuddin Jusoh. Apabila azan dilaungkan, jemaah akan berbuka dengan kurma, kuih muih, air mineral dan teh tarik. Dalam 10 minit berbuka, jemaah akan menunaikan solat maghrib berjemaah. 

"Selepas itu, acara yang ditunggu-tunggu, menikmati menu yang disediakan. Suasana ketika itu biasanya senyap sunyi dan hanya sesekali terdengar batuk dan sendawa. Ada juga yang membawa bekal seperti pengat atau buah-buahan selain sambal belacan untuk dimakan bersama rakan-rakan.

"Bagi staf yang merokok, mereka membawa nasi untuk dimakan di luar surau sebab yang penting melepaskan gian menyedut asap rokok dulu. Selepas puas menghisap sebatang rokok, baru mereka menikmati nasi tadi sama ada di kafe atau tempat kerja. 

"Masa tu, selain makanan, teh tarik antara tarikan kerana ada noja (petugas surau) yang memang ditugaskan khusus untuk membancuh teh tarik yang memang menepati cita rasa jemaah yang berbuka puasa di surau berkenaan, jika mendapat segelas pun dah okay tapi jika ada lebih, kami mengisi dalam botol kosong dan diminum ketika bertugas selepas tarawih," katanya. - KitaReporters


Inilah masa melupakan seketika kerja-kerja di pejabat dan berseronok menikmati hidangan berbuka puasa bersama teman-teman di surau.

16
9
0
13
0

Copy Link: