Opah Ngomel| Video| Jangan terlalu bersuka ria dalam bah! Takut dapat bala! Nasib baik jumpa jodoh!

Published by
KitaReporters

Putu Halba, makan panas sambil mengharungi air banjir yang sejuk.


HUJA -hujan ni cuaca jadi sejuk, kalu perkena teh dengan ubi rebus, putu halba gerenti enak ni. Dahlah jalan raya dipenuhi dengan limpahan air banjir (bah) di Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu, memang lain macam jadinya. 

Daripada air melimpah tu, mereka meraikan sebagai pesta air.

Orang di dua negeri itu anggap banjir ini pesta air percuma. Baloi kot sebab selama bertahun-tahun merunggut pasal air berlumpur macam teh tarik. Bila air bah ini, seronoklah mereka dapat banyak air fresh dari gunung-ganang di Hulu Kelantan. Dan boleh lihat reka cipta macam-macam alat permainan untuk menceriakan hari.

Bukan lagi 'bala' tetapi rahmat dengan rezeki mencurah-curah daripada limpahan banjir. Dengan peluang menangkap ikan terlepas dari kolam peliharaan. musim ini juga nelayan dan petani dapatlah berehat seketika. Sawah pagi digenangi air, lautan gelora dah tentu merisikokan nyawa kalau ke laut.

Musim tengkujuh selalu pada bulan November dan Disember dan air dari Hulu Sungai Kelantan serta sempadan Thailand (katanya banjir berlaku selepas air dilepaskan dari empangan ke Sungai Golok, akhirnya melimpah sampai ke darat, masuk dalam rumah dengan "bawa" ikan sekali atau ular!



Malah ada jalan tenggelam membuatkan sukar untuk untuk dilalui kenderaan berenjin yang kemudian bertukar menggunakan bot dan perahu sebagai pengangkutan sementara.

Pesan Opah, jika bermain air banjir itu jangan leka. Perhatikan anak-anak kecil, cucu, anak-anak jiran dan sesiapa saja jangan bergalok (bersuka ria) melebihi had, bimbang jatuh dalam longkang besar, kaca dan benda berbahaya termasuk ular atau buaya yang terlepas itu!

Banjir ini menjadi kenangan manis pada sesetengah orang termasuk orang dulu jadikan tempat "mencari jodoh segera". Kerana sewaktu itu, Opah dapat melihat anak-anak dara mengharungi air dengan mereka angkat kain sehingga ke paras paha (waktu itu terpaksa angkat kain sehingga paras itu bukanlah sengaja sebab pakai gaun (jubah) dan kain sarung saja.

Jadi hendak tak hendak, kenalah angkat kain bimbanglah basah dan mereka pun mana tahu, ada tempat-tempat itu airnya sangat dalam sehingga ke paras paha. Tetapi paha tu tak nampak sebab digenangi air juga tu.

Di bandar Kota Bharu, Opah dan kawan-kawan meranduk air banjir. Seronoknya melihat orang ramai berduyun-ruyun keluar "main air" dengan warna airnya coklat berlumpur dan ketika itu jalan raya jadi tempat pejalan kaki sebab tak banyak kenderaan berat seperti Hilux yang ada masa kini. 



Sebab itu ada banyak kisah bab bertemu jodoh pada musim banjir inilah. Pada tahun tahun 70-an anak-anak dara tidaklah sebebas sekarang. Untuk keluar bekerja pun tidak ramai kerana belum ada pasar raya waktu itu. Tumpuan hanya di Pasar Besar (yang sekarang dibina service apartment dan sekitar perniagaan di kawasan Taman Sekebun Bunga yang ada panggung Lido dan Odeon). Sambil berjalan bertegur sapa dan ada yang berani mengorat.

Sekarang Kota Bharu sudah berkembang pesat dengan bandar satelitnya seperti Tunjung, Kubang Kerian, Rantau Panjang, Pengkalan Kubur dan Pantai Cahaya Bulan dan Pasir Putih. Penduduknya berkongsi cerita-cerita banjir di kawasan mereka menerusi media sosial dan WhatsApp. 

Meriah sungguh, terkenang-kenang daku pada masa muda, penuh memori dan senda gurau dengan rakan-rakan sekolah ketika mengharung air banjir.

Kini bila menjangkau usia enam dekad. Setiap kali banjir melanda negeri itu, setiap kali jiwa bergelodak mahu pulang untuk menjejak kaki pada masa silam. 

Sebentar saja Opah mahu memutar waktu, kembali ke saat manis mengharungi air. Tapi kali ini Opah akan wajib menggayaan seluar sukan sambil menikmati hidangan kuih muih, putu halba dengan hirupan kopi panas. - KitaReporters


8
18
0
13
0

Copy Link: