Sembang-Sembang| Zalimnya seorang lelaki! Kerana dendam 22 tahun! Si ayah enggan urus nikah anak!

Published by
KitaReporters


Subuh yang hening. Panggilan yang menyentuh hati. Seorang kenalan berkongsi tentang bekas suaminya yang tidak mahu berjumpa dengannya untuk urusan pernikahan anak sulung mereka. 
Malah ketika diminta untuk hadir ke pejabat agama untuk berbincang, dia juga enggan hadir. Keadaan tambah sulit memandangkan hari pernikahan anak yang semakin dekat. 


Semuanya berlaku 22 tahun lalu... Kenalan saya ini yang saya namakan Maria berpisah dengan suami kerana orang ketiga. 
Akur dengan ketentuan Allah Maria meneruskan kehidupan. Syukur rezeki Allah sentiasa ada walaupun si ayah lupa tanggungjawab terhadap 3 orang anaknya selepas bercerai. 
Sepanjang masa itu, Maria bergelut dengan cabaran hidup. Antara kerjaya, anak dan pengorbanan menjadi ibu dan ayah. Tidak pernah kesal dengan ketentuan Allah, Maria tahu ada hikmah di sebalik semua kejadian. 
Akhirnya Allah hadiahkan nikmat setelah bergelut dengan kepayahan dan air mata. Anak-anak berjaya dalam pelajaran. Hidup Maria juga semakin manis dengan aturan Allah. 
Cuma bahagia yang dirasa sedikit tercalar dengan sikap bekas suami. Apalah salah si anak. Bagilah dia ruang untuk bahagia dengan jodohnya setelah sekian lama tidak dipeduli oleh ayahnya. 
Zalimnya seorang lelaki yang lupa balasan Allah atas amanah yang dilupakan. Di dunia mungkin terlepas, di sana balasannya pasti ada. Rupanya dendam dia selama 22 tahun tak pernah padam, kata Maria. 


Kepada Maria saya nasihatkan, rujuk pejabat agama. Jumpa pegawai di sana berbincang dan minta pandangan. Insya-Allah mereka ada penyelesaiannya. 
Terus kuat dan bersabar. Jangan berhenti berdoa. Tahniah kerana tidak lama lagi bakal terima menantu dan bergelar ibu mertua. 
Ingatlah.. Allah Maha Adil. Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya. Lambat cepat, pasti ada nikmat yang Dia titipkan buat hamba-Nya yang layak. 
Buat kaum Adam, sedarlah. Anak anugerah dan amanah Allah. Jangan siakan hidup mereka dengan ego anda. Perceraian memutuskan hubungan anda dan isteri tapi bukan dengan anak. Hubungan itu kekal selagi anda dan zuriat itu bernafas. 
Selagi ikatan itu ada, selama itulah tanggung jawab perlu dilaksanakan dengan ikhlas sebagai amanah Allah. 
Insya-Allah semua masalah akan selesai dengan baik Maria. Allah akan bantu. Ikut saluran betul. 
Sebuah kebenaran kadangkala akan terselit kesilapan bila manusia lupa janji yang pernah dibuat dengan Allah. - KitaReporters

9
12
0
10
0

Copy Link: