Video| Terbaik Surau Bangi Perdana! Karnival Maal Hijrah dan Sambutan 21 Tahun TBP tarik anak muda!
Published byPertandingan mewarna mendapat sambutan hangat daripada kanak-kanak.
"BUKAN satu perkara yang sukar untuk menarik minat golongan muda berjinak-jinak dengan surau atau masjid selagi kita dapat menunjukkan sebahagian trend terkini dan menganjurkan program mengikut rentak serta minat mereka.
"Kita perlu tahu apa minat mereka, jika golongan muda gemar aktiviti riadah sukan, kami anjur kegiatan seperti futsal, sepak takraw, bola tampar, memanah dan program berunsur ibadat seperti pertandingan azan supaya mereka cakna serta seronok untuk membabitkan diri malah mengajak rakan-rakan lain untuk turut serta."Ketika mereka seronok bermain, kita akan tanamkan pendekatan supaya apabila azan dilaungkan, mereka perlu berhenti untuk menunaikan kewajipan bersolat dan selepas itu boleh meneruskan aktiviti sukan tadi," kata Pengerusi Surau Bangi Perdana, Sr Jailani Jasmani.Beliau berkata demikian sempena Karnival Maal Hijrah 1446H Surau Bangi Perdana dan Sambutan 21 tahun Taman Bangi Perdana (TBP), Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor yang diadakan selama dua hari, bermula 3 dan 4 Ogos 2024.
Sr Jailani Jasmani
Jailani mengakui, karnival itu mempunyai serampang dua mata, untuk meraikan tahun baharu Islam selain menarik golongan kanak-kanak dan remaja datang ke rumah Allah, justeru pihak penganjur mengambil pendekatan mesra orang muda.
"Alhamdulillah, sambutan kanak-kanak dan remaja amat menggalakkan malah ibu bapa membawa anak-anak mereka menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan, antaranya pertandingan melukis, mewarna dan lego selain dapat bermain "sand arts', giant bubble dan bounce castle."Semua aktiviti kami sediakan secara percuma, cuma perlu mendaftar untuk menyertai pertandingan. Bagaimanapun, untuk pameran haiwan, "petting zoo", kami mengenakan bayaran RM5 dan anak-anak boleh melihat kira-kira 30 jenis haiwan eksotik termasuk ular, musang dan arnab," katanya lagi.
Pertandingan azan bagi mencungkil bakat sebagai muazaim muda Surau Bangi Perdana.
Pertandingan azan pula, katanya bagi mencungkil bakat dalam kalangan anak-anak Taman Bangi Perdana yang boleh diketengahkan untuk menjadi muazim muda Surau Bangi Perdana, begitu juga dengan persembahan nasyid terdiri daripada anak-anak di kariah itu.
"Syukur, sambutan amat memuaskan dan mereka bakal menjadi pelapis untuk mengimarahkan surau selain meneruskan legasi rumah Allah itu dari satu generasi ke generasi berikutnya apabila golongan tua sudah tiada lagi di dunia.
"Kami juga mengadakan demonstrasi seni silat gayung dan menyampaikan anugerah pelajar cemerlang SPM 2023, pengiktirafan kepada anak-anak taman ini yang menghafal al-Quran selain mengangkat tokoh Maal Hijrah di kalangan pelajar Sekolah Menengah Jalan Tiga bagi memberi motivasi dan contoh kepada pelajar-pelajar lain," katanya.
Boling kelapa
Bagi golongan ibu bapa, penganjur turut mengadakan aktiviti brisk walk, marhaban, qasidah dan selawat selain program sukaneka, antaranya membaling selipar, boling kelapa dan pertandingan basikal lambat.
"Aktiviti riadah dan sukaneka diadakan secara santai, bukannya membebankan peserta, matlamat untuk memberi kegembiraan sesama mereka, berkenal kenalan di kalangan jiran dan jemaah selain mewujudkan semangat persaudaraan untuk saling membantu walaupun datang dari pelbagai latar belakang dan negeri.
"Sepanjang aktiviti riadah dan sukaneka, mereka seronok dan saling mengenali di antara satu sama lain, membantu dan yang penting mengambil bahagian tanpa mengira status atau pangkat, semuanya seperti saudara," kata Jailani lagi.
Boling kelapa menguji kemahiran peserta untuk menjatuhkan botol air.
Bagi program keagamaan, Surau Bangi Perdana menjemput Pegawai Agama Kor Angkatan Tentera (KAGAT), Ustaz Lt Kol Nazri Munsman yang memberi Kuliah Subuh Khas Maal Hijrah bertajuk "Tragedi MH17: Pengalaman dan Iktibar", manakala Ceramah Perdana Maal Hijrah disampaikan oleh pendakwah bebas merangkap master trainer Perunding Fokus Budi, Ustaz Sabri Ab Rani.
"Sesuai dengan sambutan Maal Hijrah, kami turut mengadakan ceramah yang menampilkan penceramah mualaf yang menceritakan pengalaman suka duka mereka sebelum memeluk Islam dan selepas bergelar Muslim selain cabaran berdakwah kepada masyarakat mereka berbangsa Cina dan India yang belum mengenal agama tauhid itu.
Peserta pertandingan basikal lambat bersiap sedia untuk memulakan acara sempena Karnival Maal Hijrah Surau Bangi Perdana.
"Kami juga berbangga dengan kehadiran Pengerusi Pertubuhan Gagasan Arrazi Perlis (PGAP), Ustaz Fakhruddin Ar Razi Abdullah yang menceritakan pengalamannya bersama rakan-rakan melakukan kerja-kerja dakwah di Perkampungan Orang Asli Kampung Sarok di Gerik, Perak.
"Walaupun menghadapi pelbagai cabaran terutama jalan tanah merah untuk memasuki perkampungan itu selain masyarakat yang belum mengenali Islam, alhamdulillah usaha dakwah mereka berjaya mengislamkan 100 peratus penduduk Orang Asli di penempatan itu," katanya.
Dan, kebetulan katanya selebriti Shamsul Ghau Ghau menetap di Bandar Baru Bangi, penganjur turut menjemput pelawak itu untuk berkongsi pengalamannya secara santai daripada kehidupan sebagai seorang artis yang hidup dalam dunia glamor kepada bidang dakwah yang kini dilakukan ke seluruh negara.
Acara membaling selipar mengimbau kembali zaman bermain permainan itu di kampung.
Jailani gembira komitmen baik pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang hadir mengadakan pameran, antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Langat, Lembaga Tabung Haji, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Wassiyah Shopee dan Khairat Kematian Surau Bangi Perdana.
"Klinik As Salam dan Khalifah mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengunjung, MPKj membawa pejabat bergerak untuk memudahkan orang ramai yang mahu membuat semakan dan membayar cukai taksiran manakala AADK Hulu Langat mengadakan pameran bahaya dadah.
"Pameran dan pemeriksaan percuma itu mendapat sambutan baik orang ramai malah mereka juga dapat menyemak status simpanan mereka dan mendaftar untuk menunaikan umrah dan haji melalui kaunter Tabung Haji," katanya lagi.
Kaunter Tabung Haji mendapat sambutan baik pengunjung.
Bagi memeriahkan karnival selama dua hari itu, penganjur menjemput peniaga dan usahawan di sekitar Bandar Baru Bangi untuk mengambil bahagian menjual pelbagai produk dan jualan, semuanya secara percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran sewaan.
"Alhamdulillah, kami menerima 40 peniaga gerai dan 20 yang berniaga melalui "carboot".
"Jumlah yang mahu meniaga memang ramai tapi kami mengehad bilangan sedia ada bagi memudahkan kawalan dan memastikan mereka menjaga kebersihan," katanya.
Keseluruhannya, Jailani berpuas hati sepanjang dua hari mengadakan karnival itu kerana sambutan diterima amat memuaskan, berbaloi dengan persiapan selama berbulan-bulan yang mereka lakukan.
Demonstrasi masakan memberi peluang golongan Muslimat belajar menu baharu.
"Insya-Allah kami akan mengadakan karnival seumpama itu lagi yang kali pertama diadakan pada 2022 tapi mungkin untuk tempoh dua tahun sekali bagi memberi peluang pengurusan surau dan KRT penduduk memastikan pengisian akan datang lebih hebat.
"Terima kasih kepada penduduk dan jemaah Surau Bangi Perdana kerana memberi kerjasama dan membantu sehingga karnival itu mendapat sambutan dan kunjungan bukan sahaja pengunjung di sekitar Bandar Baru Bangi tapi dari Johor, Kelantan dan Perak.
"Inilah kelebihan media sosial yang dapat menghebahkan program yang diadakan di surau ini sehingga sampai ke negeri-negeri di luar Selangor," katanya Jailani lagi. - KitaReporters
Klinik Khalifah mengadakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma sempena Karnival Maal Hijrah Surau Bangi Perdana.