.



Kerajaan Madani mengumumkan pemberian bantuan segera sebanyak RM1,000 kepada semua keluarga yang terkesan dengan bencana banjir, tanah runtuh dan kebakaran di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan segera itu terkandung dalam penyaluran peruntukan sebanyak RM25 juta untuk memperbaiki segera infrastruktur yang rosak dan musnah akibat banjir, tanah runtuh dan kebakaran tersebut.

Beliau mengumumkan peruntukan kira-kira RM25 juta itu semasa berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh tengah hari 31 Januari 2025.

"Peruntukan ini juga merangkumi bantuan segera berjumlah RM1,000 kepada semua keluarga yang terkesan dengan bencana-bencana (banjir, tanah runtuh dan kebakaran) ini.

"Bersamalah kita doakan keselamatan dan perlindungan buat saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak. 

"Semoga Allah segera mengangkat bencana ini dari bumi Borneo," doa Perdana Menteri.



Kredit foto: FB Jabatan Pertahanan Awam Malaysia


Sementara itu, semalam (30 Januari 2025), Anwar menyuarakan perasaan duka citanya selepas menerima perkhabaran situasi banjir yang semakin buruk di Sabah dan Sarawak. 

"Saya zahirkan simpati pada ribuan saudara kita di sana yang terkesan dengan bencana ini.

"Saya juga mengarahkan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) agar memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri. 

"Keutamaan saat ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan," katanya lagi.

Perdana Menteri turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas, dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.

Skuad Ihsan Madani, katanya, akan turun membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta bersiap siaga bagi penugasan pascabanjir.

"Moga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda," tambah Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media


7
5
0
12
0

Copy Link: