Para sukarelawan daripada Yayasan Mr DIY bergambar di Tian Hou Chinese Temple di Kuala Terengganu


Yayasan Mr DIY sentiasa memastikan para penghuni rumah kebajikan dan pusat jagaan di seluruh negara tidak ketinggalan untuk menikmati kemeriahan perayaan dengan membawa keceriaan kepada mereka.

Tahun Baharu Cina kali ini (2025) tidak terkecuali, apabila pasukan yayasan tersebut menyebarkan keriangan perayaan kepada para penghuni di 14 rumah kebajikan di seluruh negara melalui inisiatif mesra “Ular-lar”.

Para sukarelawan Yayasan Mr DIY telah menyampaikan kotak kebajikan “Ular-lar” kepada pelbagai rumah kebajikan termasuklah rumah anak yatim, rumah warga emas, dan pusat jagaan individu berkeperluan khas. 

Kotak tersebut mengandungi pelbagai barangan keperluan harian dan cenderahati Tahun Baharu Cina. Inisiatif ‘Ular-lar’ oleh Yayasan Mr DIY kali ini telah memberi manfaat kepada hampir 700 individu.


Alex Goh bersama para sukarelawan daripada Yayasan Mr DIY menyerahkan sumbangan kepada Yayasan Sunbeams Home di Cheras, Kuala Lumpur.


Di Yayasan Sunbeams Home, sebuah rumah anak yatim di Cheras, Kuala Lumpur, suasana menjadi lebih meriah dengan kehadiran pasukan yayasan yang menganjurkan pelbagai permainan, menari tarian Tahun Baharu Cina ‘Ular-lar’ Mr DIY bersama para penghuni, dan membantu menghias rumah kebajikan tersebut sempena musim perayaan. 

Mereka juga mengadakan sesi tradisi 'Lou Sang', di mana Timbalan Presiden Pemasaran Kumpulan Mr DIY, Alex Goh, turut menyerahkan baucar tunai Mr DIY bernilai RM3,000 kepada rumah tersebut untuk membeli keperluan harian mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mr DIY, Zaleha Mohd Mydin berkata, “Tahun Baharu Cina memberi penekanan kepada menyatukan keluarga, rakan-rakan, dan insan tersayang; namun, tidak semua orang berpeluang merasai nikmat tersebut. 

"Di Yayasan Mr DIY, misi kami adalah memastikan tiada siapa yang ketinggalan untuk menikmati kegembiraan perayaan ini.

“Pasukan kami telah melangkah lebih jauh tahun ini (2025) dengan membawa semangat ‘oooh-la-la’ ke dalam perayaan melalui inisiatif ‘Ular-lar’ kami. 

"Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada rumah-rumah kebajikan di seluruh Malaysia atas kerjasama mereka dalam menjayakan usaha untuk menjadikan perayaan ini lebih bermakna untuk para penghuni mereka. 

"Selamat Tahun Baharu Cina kami ucapkan; semoga tahun ini membawa tuah dan kesejahteraan kepada kita semua,” tambah Zaleha. - KitaReporters/Kenyataan Media


Yayasan Mr DIY di Peace & Harmony Home in Jelutong, Pulau Pinang.

15
13
0
18
0

Copy Link: