Suami ambil cuti panjang kali ini! Hendak jaga isteri, anak dalam pantang! Tetapi tak kesampaian!
Published bySkuad Prihatin Perkeso Rawang bersama kotak sumbangan.
"Abang ambil cuti panjang kali ini, hendak jaga awak dalam pantang, mandikan anak, uruskan anak-anak kita ketika awak dalam pantang. Lepas ini saya bimbang awak akan tinggal seorang-seorang untuk jaga anak. Tolong tutup muka awak di Facebook bimbang orang ada niat lain.
"Lepas pantang pun, awak jangan cari kerja dulu ya, jaga dan uruskan bayi kita, Saya tak nak anak-anak dijaga oleh pengasuh nanti bimbang bermasalah," demikian pesan Allahyarham Ahmad Nasaruddin Muhamad kepada isterinya, Nadia yang menunggu hari untuk bersalin.
Tiada siapa boleh ubah takdir Illahi jika kehendak-Nya, terputus sudah hubungan suami -isteri dan anak-anak. Itulah suratan hidup dialami oleh Nor Aimie Nadia Mohd Isa yang ingatkan, pesanan "awal" itu sangat pelik kerana arwahnya suaminya sering mengusiknya.
Sedetik pun, dia tidak terfikir bahawa pelan suaminya untuk "bercuti panjang" tanpa tempohnya berakhir dengan arwah ditemui lemas ketika menjalankan kerja mencuci lantai di dek kapal di Jeti Pulau Duyong Terengganu.
Allahyarham Nasaruddin, 35 tahun, dilaporkan terjatuh ketika menjalankan tugasan terakhirnya sebelum berangkat pulang menemani isterinya yang akan bersalin anak kelima mereka. Mangsa dilaporkan terjatuh pada jam 9.30 pagi ,26 Februari, 2025 dan jasadnya ditemui pada jam 9.30 malam pada 27 Februari 2025.
Potret pernikahan Nor Aimie Nadia Mohd Isa dan Allahyarham Ahmad Nasaruddin Muhamad.
Ketika ditemui di rumah mentuanya di Kuala Kubur Baru pada 11 Mac 2025, sempena kedatangan Skuad Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Rawang untuk menyampaikan Kotak Prihatin.
Selain itu, skuad tersebut yang diketuai oleh Pengurus Pejabat PERKESO Rawang, Jamilah Siro dengan kakitangannya, juga menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000. Turut sama ialah Suppiah a/l Kurusamy, yang menjadi wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao.
Faedah pengurusan jenazah dibayar sekiranya seseorang pekerja meninggal dunia akibat sebarang sebab. Pembayaran faedah itu akan dibuat kepada waris yang layak atau pihak yang menanggung kos pengebumian.
Jamilah memberitahu, pihaknya dalam siasatan terakhir untuk mendapatkan jumlah tepat pencen penakat yang harus diterima oleh Nadia dan bayaran akan dibuat secepat mungkin.
Selain menunggu kelahiran anak lelaki itu, Nadia kini ibu tunggal kepada empat anak iaitu Muhammad Safuan Shazreen, 11; Nur Aleesha Damia, 9; Nur Aleesha Meldina, 8; dan Nur Aleesha Khadija, 8.
Allahyarham Nasaruddin bekerja sebagai AB Cook dan selain memasak, arwah juga menjalankan kerja-kerja am.
Nadia dengan anaknya Khadeeja.
Nadia diberitau ketika kejadian, arwah sedang membersihkan kapal dan tidak menyedari dia sudah di hujung dek, sebelum sepintas lalu terjatuh dan kepadanya dikatakan terhantuk di kapal sebelum pengsan.
Sebelum itu, dia tidak dengar 21 kali telefon dari majikannya kerana deringannya ditutup dan sebaik mendapat tahu, dia rasa sangat kosong kerana arwah suaminya menghubunginya untuk mengambil arwah di stesen bas.
"Arwah hanya luka sepanjang jari saja di kepala, bukannya pecah kepala seperti dilaporkan. Ini kerana semua anak-anaknya tidak takut untuk memandikan jenazah ayah mereka. Malah Khadeeja sempat memberitahu kami, dulu papanya yang mandikan mereka dan sekarang giliran anak-anak pula," katanya.
Nadia berkata arwah sudah menyiapkan empat beg besar untuk dibawa pulang dan kali ini dia sangat teruja kerana anak kelimanya adalah lelaki.
Malah arwah turut membeli kerusi bayi khas untuk anaknya supaya tidak membebankan Nadia menjaga kerana bimbang sebelah lengan Nadia mudah longlai selepas sarat di lengannya yang "mati" akibat kemalangan sebelum ini.
Jamilah Siro dan Khadeeja.
Nadia juga memberitahu dia sepatutnya menjalani operasi membuang sarat di lengangnya yang "mati" akibat kemalangan yang pernah dilaluinya. Nadia juga turut gugur anak kembar sebelum ini.
Kali terakhir Nadia dan keluarganya "turun ke Terengganu" ketika menghadiri program hari keluarga anjuran majikan suaminya. Malah setiap malam arwah akan menghubungai anaknya menerusi panggilan video sehingga anak-anaknya tertidur dan yang paling terasa kehilangan adalah anak sulungnya yang sangat manja dan setiap kali mereka berbual dia akan menangis merindui arwah,
Arwah juga berjanji pulang lama untuk membeli pakaian anak-anaknya dan mengurus Nadia dalam pantang kerana anak-anak sebelum ini dia tidak sempat membuatnya disebabkan kerja jauh dan pulang pun sekali sekala.
Muhammad Teha
Sementara itu bapa arwah, Muhammad Teha, 70, berkata Nasaruddin adalah anak bongsu daripada lima anaknya dan bekerja di dek kapal sejak umur 19 tahun. Daripada lima anaknya, satu perempuan dan empat anak lelakinya bekerja di pelbagai kapal. Semua anak ikut jejak anak sulungnya, Saniy yang merantau ke pelosok dunia selepas tamat pengajian di Akademi Laut Malaysia (Alam).
"Nasaruddin pernah ambil cuti tiga bulan jaga ibunya, Faridah Mohd Zariah, 68, yang terlantar akibat menjalani pembedahan batu karang dan hempedu. Dia yang mandikan ibunya, tukarkan pampers sebelum kembali bertugas." kata Muhammad sambil mengesat airmata mengenangkan anak bongsunya seorang yang kelakar, suka melayan angin maknya termasuk main kejar-kejar dalam rumah.
Malah arwah juga suka menolong kawan-kawan kerana setiap kali ada yang meminjam wangnya dihulur begitu saja sehinggalkan bila dia mendirikan rumah tangga semua wangnya diberi kepada Nadia untuk menguruskannya.
Nadia dan anak-anaknya akan tinggal bersama mentua termasuk sepanjang tempoh berpantang kerana dia sudah dianggap sebagai anak perempuan mereka. Malah sebelum ini pun Nadiah menjaga mentuanya sebab hubungan jarak jauh dengan arwahnya.
Sebelum ini, Nadia mengambil upah menyediakan laksa dan kuih muih yang ditempatkan di pasar malam dan kini terpaksa menangguhkan seketika tempahan dari vendor pasar Ramadan.
Nadiah dari Selayang dan Nasaruddin bertemu jodoh ketika menyertai perlumbaan rentas desa antara dua sekolah menengah yang mereka wakili.
Mereka sering bertemu kerana Nasarudin mempunyai hubungan keluarga dengan Nadia dan cinta yang terpautnya bukan saja memisahkan mereka dalam hubungan jarak jauh dan kini terputus di dunia pula. - KitaReporters
Nor Aimie Nadia Mohd Isa (kanan sekali) bersama skuad prihatin PERKESO Rawang, diketuai Puan Jamilah (dua dari kiri)