Sembang-Sembang| Ramadan tiba! Ramadan bulan beramal dan bersedekah! Bukan bulan pesta pembaziran!
Published by
KitaReporters
--title--
Ramadan tiba! Ramadan tiba! Alhamdulillah syukur karena diizinkan Allah SWT bertemu Ramadan lagi untuk menunaikan ibadah puasa dan mengumpul sebanyak mungkin amalan.
Namun jangan kita lupa. Ramadan bukan bulan melayan selera dan berbelanja mewah. Tetapi bulan beribadah.
Rata-rata antara kita bersyukur karena Ramadan kali ini (1446H/2025M) dapat disambut dalam suasana lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Di sebalik pelbagai ujian dalam kehidupan kita pada bulan Ramadan ini sudah tentu ada rahmat di sebaliknya selain sebagai satu peringatan kepada seluruh umat manusia khasnya masyarakat Islam.
Pada Ramadan kali ini, kita perlu bermuhasabah dengan menjadikan apa yang kita lalui dalam kehidupan sebagai pengajaran untuk merebut peluang sepenuhnya mengejar keberkatan bulan mulia ini.
Marilah kita membetulkan kesalahan yang sering dilakukan dalam bulan Ramadan antaranya isu pembaziran makanan.
Walaupun ramai dalam kalangan kita sudah kembali bangkit, namun kita jangan lupa bahawa masih ramai yang terkesan dengan kemiskinan dan kurang mampu.
Sebaliknya marilah kita hayati Ramadan sebagai bulan bersedekah serta meningkatkan ibadah dan mengelakkan membazir.
Hasil satu kajian menunjukkan makanan yang dibuang setiap kali tibanya bulan Ramadan meningkat 15 hingga 20 peratus. Dan jumlah tersebut meningkat setiap kali Ramadan.
Bayangkan betapa besar pembaziran berlaku dan berapa ramai pula golongan yang kelaparan boleh kenyang sekiranya makanan itu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan bersedekah kepada mereka.
Isu pembaziran semasa berbuka puasa juga sering menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat di mana masing masing mempunyai pandangan tersendiri. Orang yang ada-ada dengan cara mereka dan yang kurang mampu pula ada cara mereka.
Contohnya bagi setengah orang berbelanja besar untuk berbuka di hotel satu pembaziran, namun bagi orang yang berada mereka ada sebab tersendiri untuk menikmati berbuka dengan mewah.
Bagi yang kaya harga untuk bufet Ramadan antara RM50 hingga RM200 seorang sangat kecil jika dibandingkan dengan kemampuan mereka.
Lagipun berbuka di hotel atau restoran ternama sudah menjadi trend bagi sesetengah umat Islam di negara ini biarpun terpaksa berbelanja besar untuk menikmati hidangan yang disajikan.
Namun alangkah baik jika mereka berjimat atau manfaatkan wang untuk.berbuka secara mewah dengan membantu lebih ramai golongan memerlukan untuk berbuka. Contohnya, dengan bersedekah barang barang keperluan asas seperti beras, tepung gula, kopi dan makanan kering.
Begitu juga golongan biasa-biasa yang hanya membeli juadah berbuka di bazar Ramadan, ramai juga yang terikut-ikut dengan hawa nafsu yang berakhir dengan pembaziran.
Mereka pergi ke bazar dan pulang dengan jari penuh plastik jugsa pembaziran kerana mengikut nafsu. Sedangkan dalam Islam sendiri mengajar umatnya bersederhana dalam banyak sudut.
Dalam makan pun Rasulullah mengajar umatnya makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang yang jelas membawa maksud bersederhana dalam mengambil makanan kerana ia juga ada faedah dalam konteks kesihatan.
Jika memasak, cukupkan untuk satu keluarga. Atau jika banyak, bersedekah kepada jiran dan saudara berdekatan. Jangan sampai tak habis dan terbuang begitu sahaja. Kasihan makanan!
Alangkah baiknya sepanjang bulan Ramadan kita sama-sama berbagi-bagi rezeki bantu mereka yang kurang bernasib baik.
Pada zaman ini masjid dan surau menjadi, lokasi paling baik untuk beribadah. Selain bersolat, kebanyakan masjid dan surau menyediakan berbuka, moreh dan sahur juga untuk anak qariah dan orang ramai.
Bagi anda yang sedang musafir, malas masak atau mengubah amalan berbuka bersendirian, boleh singgah mana-mana surau atau masjid. Beribadah sambil berkongsi rezeki dengan mereka yang murah rezeki.
Hayati Ramadan sebagai bulan bersedekah, elakkan pembaziran, lebihkan ibadat dan sentiasa bersyukur atas nikmat kurniaan Allah.
Daripada Anas RA,
أنَّ رَسولَ اللهِ ﷺ كانَ إذا أَكَلَ طَعامًا لَعِقَ أَصابِعَهُ الثَّلاثَ، قالَ: وَقالَ: إذا سَقَطَتْ لُقْمَةُ أَحَدِكُمْ فَلْيُمِطْ عَنْها الأذى وَلْيَأْكُلْها، وَلا يَدَعْها لِلشَّيْطانِ، وَأَمَرَنا أَنْ نَسْلُتَ القَصْعَةَ، قالَ: فإنَّكُمْ لا تَدْرُونَ في أَيِّ طَعامِكُمُ البَرَكَةُ.
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila makan, Baginda akan menjilat tiga jarinya. Baginda juga bersabda: Sekiranya terdapat makanan salah seorang daripada kamu terjatuh (ke tanah), maka bersihkan kotoran yang menimpanya kemudian makan sahaja. Jangan biarkan makanan tersebut untuk syaitan.
"Selain itu, Baginda juga mengarahkan kami untuk menghabiskan dan melicinkan makanan yang berada dalam dulang (bekas makanan untuk 5-10 orang makan) lalu berpesan: Sesungguhnya kamu tidak mengetahui pada bahagian mana makanan tersebut yang mempunyai berkat." (Sahih Riwayat Muslim, 2034) - KitaReporters
14
11
0
16
0