PENULIS di depan Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka yang menyimpan khazanah hidup dan perjuangan tokoh agamawan, sasterawan dan pejuang kemerdekaan Indonesia.


HAMPIR seminggu tahun 2024 meninggalkan kita namun kenangan yang terakam sepanjang tahun itu masih segar dalam ingatan. Salah satu yang kerap berulang tayang dalam minda penulis adalah kunjungan ke Padang-Bukit Tinggi, Indonesia pada Oktober 2024 lalu.

Percutian selama empat hari tiga malam (15-18 Oktober 2024) itu menjadi kenangan manis kepada penulis walaupun ia bukanlah kunjungan pertama ke sana. Kali pertama penulis menjejakkan kaki ke tanah adat Minangkabau itu adalah pada 2018, namun, ada hajat yang tidak kesampaian ketika itu.

Apa yang membuat penulis teruja hendak ke sana lagi adalah bagi memenuhi hajat yang tertangguh. 

Bagi penulis, tidak lengkap percutian ke Bukit Tinggi jika tidak mengunjungi Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka di Sungai Batang Danau Maninjau, sesuatu yang tidak dapat penulis lakukan pada kunjungan pertama dahulu.

Selama ini penulis hanya mengenali Buya Hamka atau nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah melalui penulisan, dokumentari, juga lewat karya-karyanya terutama dua karya agung beliau iaitu ‘Di Bawah Lindungan Kaabah’ dan ‘Tenggelamnya Kapal van der Wijck’.

Menelusuri kisah perjalanan hidup tokoh ini, membaca tulisannya dan menghayati perjuangannya, sangat meninggalkan kesan di hati penulis. Dalam diam, penulis memuja sosok yang bernama Hamka itu.

Penulis ingin mengenalinya dengan lebih dekat dan mahu melihat kampung halaman kelahirannya walaupun tidak dapat bertemua secara empat mata kerana tokoh yang amat dikagumi itu sudah lama meninggalkan kita. Hamka meninggal dunia pada 24 Julai, 1981.


 

DALAM perjalanan, kami singgah menikmati keindahan Tasik Maninjau.


Justeru, peluang untuk berkunjung ke muzium rumah kelahirannya tidak penulis lepaskan, salah satu sebab mengapa penulis menjejakkan kaki buat kali kedua ke Bukit Tinggi dan Padang.

Hajat yang sekian lama tersimpan akhirnya dapat penulis penuhi pada hari kedua (16 Oktober, 2024) kami di sana. Perjalanan dari bandar Bukit Tinggi mengambil masa kira-kira satu jam dan ia agak mencabar kerana perlu menempuh 44 kelok (selekoh tajam).

Namun, kerisauan yang bersarang di hati dengan keadaan jalan itu sedikit terubat apabila menikmati pemandangan sepanjang perjalanan terutama semasa menyusuri keindahan Tasik Maninjau yang luas terbentang (16 km panjang dan 7 km lebar). Airnya yang jernih menyejukkan mata memandang. Terasa amat tenang.

Apabila sampai, kami disambut oleh seorang lelaki bertubuh kecil yang ramah dan murah dengan senyuman. Sangka penulis, lelaki itu adalah salah seorang petugas di muzium itu tapi rupa-rupanya beliau adalah Amir Shakib, anak bongsu Buya Hamka. Bertuahnya kami, bisik hati penulis.

Teringat kata-kata Pak Usman yang menjadi pemandu pelancong kami, semasa kami dalam perjalanan tadi, jika ada rezeki, kami dapat bertemu anak kandung Hamka. Ini kerana Amir Shakib yang menetap di Jakarta, hanya sesekali pulang ke kampung halaman almarhum ayahnya.


 

PENULIS disambut mesra oleh anak bongsu Buya Hamka, Amir Shakib.


“Kalau ada pengunjung dapat bertemu dengannya, ia ibarat menang loteri,” kata Pak Usman. Bagi penulis, itulah rezeki yang tidak disangka-sangka, bukan saja penulis kini sudah berada di depan rumah Buya Hamka tapi disambut pula oleh anaknya!

Melangkah masuk ke dalam rumah, kami disambut oleh Ustaz Dasri yang memperkenal dirinya sebagai petugas di situ. Rumah itu yang terletak di atas tapak asal rumah kelahiran Hamka dibina semula dan dijadikan muzium sejak tahun 2001. Agak menarik apabila ada sumber memberitahu ia dibina atas usaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Selepas meninjau ke setiap pelosok rumah, kami di bawa ke ruang tamu untuk mendengar pengkisahan tentang Buya Hamka oleh Ustaz Dasri.

Ustaz Dasri memulakan kisah hidup Buya Hamka dari zaman kanak-kanaknya yang penuh berliku terutama selepas perceraian ibu bapanya, Kecewa dengan situasi itu, Hamka membawa diri meninggalkan kampung halamannya. Pada usia 16 tahun, beliau sudah merantau ke Tanah Jawa.

Ketika berusia 17 tahun, Hamka berangkat ke Mekah dengan menaiki kapal. Beliau tinggal dan mendalami ilmu agama di sana selama tiga tahun, sekali gus sempat menunaikan haji pada usia 19 tahun.


USTAZ DASRI memeluk sambil menenangkan penulis yang menangis kerana amat terkesan dengan pengkisahan Buya Hamka.


 

ANAK bongsu Buya Hamka, turut memeluk penulis yang menangis di bahunya. 


Sekembali ke Indonesia, Hamka bukan saja mula dikenali sebagai agamawan malah sebagai penulis dengan menghasilkan tulisan berbentuk ilmiah dan juga novel. Beliau juga antara pejuang yang membebaskan Indonesia daripada cengkaman penjajah sehingga mendapat kemerdekaan.

Sebagai insan yang tinggi ilmu agamanya, beliau seorang yang berpegang kuat pada ajaran Islam dan tidak rela menggadainya sehingga sanggup dipenjarakan oleh pemerintah yang merupakan sahabat karibnya.

Walaupun apa diceritakan ada yang sudah penulis ketahui melalui pembacaan namun mendengar setiap ungkap patah perkataan yang keluar daripada mulut Ustaz Dasri menjadikan penulis lebih menghayati dan terasa dekat dengan sosok Buya Hamka. Tanpa penulis sedari, sambil merakam video penceritaan Ustaz Dasri itu, air mata penulis mengalir.

Paling mengesankan apabila diceritakan betapa Hamka tidak pernah berdendam malah memaafkan dan mengimamkan jenazah insan yang memenjarakannya, sebagai memenuhi permintaan terakhir sahabatnya itu.

Usai Ustaz Dasri berkisah, penulis terus menerpa ke arah beliau, memeluknya sambil menangis teresak-esak. Kemudian, Pak Amir Shakib mendatangi penulis dan memeluk erat sambil penulis menangis di bahunya. Walaupun baru mengenali kedua-dua insan ini tapi penulis berasa seolah-olah sudah lama kenal dan sangat dekat dgn mereka.

Betapa besar perjuangan dan pengorbanan tokoh yg bernama Haji Abdul Malek Karim Amrullah (Hamka) ini. 

Al-Fatihah. -KitaReporters


ROMBONGAN kami yang mengunjungi Muzium Rumah Kelahiran Buya Hamka.

 

12
15
0
9
0

Copy Link: