Video| Netizen cuak hubungan baik Ambo dengan Riska! Buaya 4m! Namun Ambo tetap percaya Riska!
Published byAmboi mengusap kepala Riska di tepi sungai. - Kredit foto: Video Youtuber Fitriyani Riska
“Makan dulu ya nak ya! Makan dulu, mari. Sayang-sayang Papi dulu. Sayang-sayang ya. Papi nak balik dulu.” Lembut sahaja tutur Ambo, dengan sebekas ayam di sisi sewaktu mengajak `anak`nya makan.
Seorang lelaki lebih senang disapa Ambo, 57, anak kelahiran muara Sungai Guntung, Botang, Kalimantan Timur bukan sedang mengajak anaknya atau mana-mana anak manusia untuk makan.
Sebaliknya dia sedang memanggil seeokor haiwan liar yang sifat semula jadinya ganas, dan sangat ditakuti manusia, iaitu buaya! Manusia apa Ambo ini, tidak takut kepada buaya? Bahkan buaya besar sepanjang 4 meter itu dianggap seperti anak sendiri!
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan buaya
Ambo berbual dengan Riska sambil memberi makan daging ayam. Kredit Foto - Youtuber Fitriyani Riska
Seekor buaya bernama Riska memiliki hubungan akrab dengan Ambo yang dianggap anak sendiri sejak ditemuinya 23 tahun lalu. Terkadang dia menggelarnya Riska, terkadang Putri. Rupa-rupanya nama buaya itu, Riska Putri.
Rutin Ambo sedari awal menjumpai buaya yang ketika itu sepanjang 1 meter ialah memberi makan dan membelanya. Riska kini hidup di muara Sungai Guntung dan kerap juga timbul di air berhampiran perkampungan tempat Ambo tinggal.
Kadang-kadang Ambo memberi makan dari tebing sungai, dari jeti dan ada kala pergi ke kawasan muara untuk memanggil Riska supaya datang makan. Kini kegiatan memberi makan sudah jadi rutin baginya kerana kegiatan itu menjadi tumpuan konten saluran YouTube, Fitriyani Riska.
Gambar pengenalan saluran YouTube Fitriyani Riska.
Melalui konten YouTube itu jugalah Ambo dan Riska semakin dikenali sehingga ke luar negara. Hanya fokus kepada cerita Ambo bersama Riska, saluran itu sudah berjaya mendapat YouTube Play Buttons atau YouTube Plaques, dari You Tube.
Pengikut saluran Fitriyani Riska yang dibuka 11 bulan lalu kini 390,000. Bahkan cerita mengenai Ambo dan Riska juga dipaparkan di YouTube lain. Ramai YouTuber berkunjung ke Botang mencari Ambo, semata-mata untuk membuat konten mengenai kegiatan lelaki itu bersama Riska.
Bagi menampakkan Riska kepada tetamu, Ambo akan membawa mereka dalam bot, dan memanggil serta memberi makan Riska, iaitu ayam mentah.
Anehnya ramai pula berani mempertaruhkan nyawa sendiri untuk melihat buaya itu dari dekat, hampir bersentuhan. Dengan bersama Ambo dalam bot, mereka bagaikan hilang rasa takut apabila didekati buaya itu.
Ambo memberi makan Riska di tebing sungai belakang kawasan perumahan air di kampungnya. - Kredit foto: Youtuber Fitriyani Riska
"Saya anggap sebagai anak sendiri," kata Ambo. “Buaya juga seperti manusia, dia boleh faham dan saya juga sudah faham dia, sebab sudah lama dengannya. Dia tak akan kacau kalau manusia tak kacau dia," ujar Ambo.
Contohnya, kalau ada kejadian buaya membaham manusia di tempat tertentu bermakna, haiwan itu rasa terancam dengan adanya manusia di situ. Itulah satu petanda, dia tak senang, jadi kita jangan pergi kacau tempat dia lagi di situ, ulas Ambo.
"Di sungai ini, sudah lama tiada kejadian manusia dibaham iaitu sejak saya berbuat baik kepada buaya di sini. Orang di sini pun sudah tidak takut buaya,” ceritanya.
Melihat keakraban dua makhluk itu hati penulis, masih cuak dan berpendapat haiwan tetap haiwan, apatah lagi haiwan liar. Dia tidak mengenal mangsa.
Teringat kata-kata seorang wanita penternak buaya di Johor, pesannya, “haiwan liar, jinak macam mana pun tak boleh dipercayai.” Maksud ada waktu boleh bertindak ganas dan mengorbankan tuan. Sewaktu memberi penerangan menengenai biologi dan sifat buaya, dia memegang anak buaya yang mulutnya diikat dengan pita pelekat.
Mengimbas pertemuannya dengan Riska, menurut Ambo, suatu hari sekitar 23 tahun lalu, buaya itu mengikuti perahunya. “Dia datang sendiri di samping perahu saya. Dipanggil, dia datang, diberi makan dan dimandikan dan diberikan nama," ceritanya. Sejak pertama bertemu Riska, Ambo merasa wujud ikatan batin dengan buaya itu sehingga menganggap anaknya.
Memetik temu bual Ambo bersama Kompas.com,"Saya juga bingung kenapa kami begitu dekat. Tapi menurut kami, orang Sulawesi pasti ada hubungan keluarga kami dengan buaya, sebab itu dia jadi jinak begitu," kata Ambo. Selama 23 tahun dengannya, Ambo tidak pernah diserang, akuinya. Itulah membuatnya semakin menyayangi Riska.
"Dari kecil dipelihara, sayang sangat, tubuhnya digosok dan dibelai sewaktu dimandikan," katanya yang turut mengajar nelayan di situ supaya tidak mengasari Riska. “Jadi, pulang dari laut, nelayan juga rajin memberi makan ikan kepada Riska," tambah Ambo lagi.
Menurutnya pernah Ambo merantau ke Samarinda selama dua tahun. Dia diberitahu, Riska sering mondar-mandir seolah mencarinya lalu Ambo berpesan supaya warga sekitar rajin memberinya makan ketika melihat Riska. Kini penduduk di situ banyak datang membawa makanan untuk Riska.
Dalam banyak komen pujian berkait hubungan manusia dengan haiwan liar membabitkan Ambo dan Riska, ada juga cuak.
"Haiwan liar tetap haiwan liar, gak bisa dijadikan peliharaan, dia datang kerana dikasi makan terus, bukan kerana ada apa-apanya, so hati-hati saja!" Pesan salah serang pengikut salurannya, Magic Dream.
"Saya ingatkan hati-hati saja Pak Ambo, apa pun binatang itu pasti nanti akan muncul tabiatnya, insya-Allah sihat Pak Ambo," ulas Hemi Sans.
"Sejinak jinaknya buaya tetap punya naluri pemangsa, tetap hati-hati jangan terlalu percaya. Dia diam bukan bererti jinak tetapi mahu makan," tulis ndoey yaya. - KitaReporters
Lagi aksi memberi makan. - Kredit foto: Video Youtuber Fitriyani Riska