Ini bukan Aiman tak kisah! Ini Aiman kisah.. nak jadi askar!
Published byPERNAH mendengar iklan khidmat masyarakat ‘Aiman tak kisah…’? Sangat popular iklan ini suatu ketika dahulu yang selalu ke udara melalui Radio Era atau Sinar FM. Kalau iklan itu dilantunkan secara bersahaja dan santai oleh seorang budak lelaki yang memang bernama sama, iaitu Aiman Hakim Badrul. Tetapi di Ipoh, Perak ada seorang yang juga bernama Aiman "yang sangat kisah" dan hendak menjadi askar. : KitaReporters
MUHAMMAD Aiman Hakim Jamallulail menunjukkan proses mengukus roti di kios 'Roti Kukus Kaya Asli Kuala Kangsar' di Taman Cempaka Ipoh.
Lagi cerita-cerita berkenaan nama AIman:
https://kitareporters.com/search?search=Aiman
Maka, cerita yang hendak dikongsi ini bukan cerita "Aiman tak kisah". Ia cerita mengenai Aiman juga, tetapi Aiman ini ialah seorang anak muda yang sangat kisah hendak menjadi askar.
Muhammad Aiman Hakim Jamallulail, 19, ialah pelajar jurusan Diploma Kejuteraan Awam di Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, Perak.
Dia telah menamatkan tahun pertama pengajian dan bakal menyambung pengajian di tahun kedua apabila PUO dibuka semula, dijangka Ogos 2020 ini.
Tetapi Aiman tidak bercita-cita menjadi jurutera atau bidang yang berkaitan. Matlamatnya satu iaitu untuk menjadi askar menuruti jejak langkah ibu bapanya yang merupakan pesara tentera.
AIMAN Hakim berniaga sementara menunggu politeknik dibuka semula, dijangka Ogos ini bagi menyambung pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Awam.
Sementara menunggu menyambung pengajian dan memenuhi masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, Aiman bekerja menjual roti kukus kaya di kios milik kenalannya di Taman Cempaka, Ipoh.
Kios yang dikenali sebagai Roti Kukus Kaya Asli Kuala Kangsar itu terletak di jalan besar Taman Cempaka yang bersambung dengan Jalan Dairy, di mana terletaknya POU.
Juga berhampiran dengan sekolah berasrama penuh yang terkenal, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR).
KIOS 'Roti Kukus Kaya Asli Kuala Kangsar' di Taman Cempaka, Ipoh, Perak.
Ketika ditemui sewaktu membeli roti kukus kaya di kiosnya pada 26 Julai 2020 lalu, Aiman memberitahu, dia belajar mengambil diploma untuk mencapai cita-citanya menjadi pegawai dalam angkatan tentera.
Dia berharap dengan kelayakan yang diperolehi, laluannya menjadi pegawai akan lebih mudah.
Menurutnya, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Tambun, dia memang mahu menjadi askar.
Bagaimana pun ibu bapa dan keluarga belum memberi keizinan pada masa itu dan menasihatkannya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dahulu.
“Oleh itu saya berharap selepas tamat pengajian nanti akan dapat mencapai cita-cita menjadi seorang pegawai tentera,” kata anak kelima daripada lapan beradik itu.
ROTI tersusun di atas meja kios kendalian Aiman di Taman Cempaka, Ipoh, menunggu pelanggan datang.
Aiman yang dilahirkan di Kelantan dan membesar di Ipoh memberitahu, dia bekerja enam hari dan cuti sehari dalam seminggu.
Pada hari Aiman bercuti, kios tersebut dikendalikan oleh pemiliknya atau tidak beroperasi jika pemiliknya ada kerja lain. Kios tersebut dibuka dari 11.30 pagi higga 6.30 petang.
Pada hari cuti, Aiman biasanya membantu ibu bapanya pula yang mempunyai perniagaan binaan kubur. Perniagaan ibu bapanya termasuk menerima tempahan membuat batu nisan dan juga membina kepuk kubur.
AIMAN menunggu roti dikukus sebelum disapu dengan mentega dan kaya untuk pelanggan yang sedia menunggu.
Roti kukus yang dijual oleh Aiman memang enak!!
Roti yang memang jenis lembut dikukus seketika untuk menjadikannya lebih lembut. Setelah itu roti disapu dengan mentega dan kaya.
Istimewanya kaya adalah buatan sendiri pemilik kios berkenaan.
Resipinya adalah resipi keluarganya di Kuala Kangsar. Sebab itulah kios tersebut diberi nama ‘Roti Kukus Kaya Asli Kuala Kangsar’.
Rasa kaya memang sedap, lemak manis.
Harga roti kukus pula sangat berpatutan dan terdapat dalam dua pakej.
Pakej pertama ialah tiga buku roti dengan harga RM5 sahaja. Tetapi jika membeli pakej kedua dengan harga RM10, pembeli mendapat tujuh buku roti. Ertinya ada lebihan sebuku roti.
Jika anda ke Ipoh, singgah di Taman Cempaka untuk mencuba roti kukus kaya ini.
Mungkin anda kerap makan roti bakar selama ini, jadi cubalah ubah citarasa. Menikmati roti kukus kaya Taman Cempaka pasti anda berpuas hati dan mahu lagi. - KitaReporters