TANGGAL 4 Syawal 1441 bersama 27 Mei 2020 pastinya meninggalkan detik pilu buat seorang pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang juga bapa kepada lapan cahaya mata apabila kehilangan tiga anak lelakinya sekali gus dalam satu tragedi lemas di Sungai Terengganu. : KitaReporters

Mohd Ismail menunjukkan kenangan terakhirnya bergambar bersama dan memeluk anak-anaknya pada pagi 1 Syawal lalu. Dari kiri: Khalif Naim, Khairil Firdaus, Mohd dan Umar Iskandar (kanan). 


Mohd Ismail, 64, juga tidak pernah menyangka pelukannya sewaktu bergambar bersama ketiga-tiga anaknya pada pagi Syawal lalu merupakan pelukan pertama dan terakhir kerana sebelum ini mereka belum pernah merakam foto berempat.  

Meskipun berat untuk ditelan ujian tertulis buatnya sekeluarga, namun Mohd tetap bersyukur kerana mayat Umar Iskandar, 21; Khairil Firdaus, 17; dan Khalif Naim,16, berjaya serta cepat ditemui pasukan penyelamat iaitu hanya dalam tempoh lebih kurang 18 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Mangsa pertama, Umar Iskandar ditemui jam 9.50 pagi, 28 Mei 2020 kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian sebelum diikuti penemuan mangsa kedua, Khairil Firdaus jam 11.36 pagi pada jarak sekitar 50 meter daripada mayat abangnya ditemui. 

Mangsa pertama, Umar Iskandar ditemui jam 9.50 pagi kira-kira 100 meter jarak dari lokasi kejadian. 


Mangsa kedua, Khairil Firdaus ditemui jam 11.36 pagi dengan jarak sekitar 50 meter daripada lokasi mangsa pertama ditemui.


Mangsa terakhir ditemui jam 12.40 tengah hari iaitu Khalif Naim dan kesemua mayat dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya.


Manakala, mayat Khalif Naim yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang dan telah berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran pada 10 Mac 2020 ditemui pasukan penyelamat jam 12.40 tengahari pada jarak kira-kira 170 meter dari tempat mereka lemas.

Mengimbau sambutan lebaran 1 Syawal lalu, Mohd berkata Mohd Naim lebih bersungguh-sungguh mengajaknya bergambar bersama bagi dijadikan kenangan dan dia juga tidak semena-mena meletakkan tangan ke atas bahu anak-anaknya seolah memeluk mereka.

"Seperti keluarga lain kami juga tidak lepaskan peluang rakam gambar pada hari raya namun seingat saya belum pernah kami bergambar berempat bersama-sama dan secara spontan pula saya memeluk mereka bagi nampaknya lagi kemesraan kami anak-beranak. 

Gambar ketiga-tiga mangsa bersama ayahanda tercinta pada 1 Syawal lalu. FOTO:IHSAN KELUARGA


"Rupanya ia  pelukan terakhir saya buat mereka dan gambar dirakam itu menjadi Syawal yang paling memilukan apabila kehilangan tiga anak sekali gus. Foto itu menjadi kenangan buat saya kini.

"Bapa mana yang tidak sedih, namun saya reda dengan ketentuan Illahi. Syukur segala operasi mencari mereka berjalan lancar dan dipermudahkan. 

"Hanya terima kasih dapat saya ucapkan kepada semua," katanya ketika ditemui Mojo KitaReporters di lokasi kejadian di Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu hari ini (Khamis, 28 Mei 2020).

Berkongsi detik-detik terakhir bersama tiga anaknya itu, Mohd berkata sewaktu turun dari rumah untuk ke masjid anak-anaknya itu sedang membersihkan halaman rumah mereka dan dia tidak berkata apa-apa kerana agak bergegas.

"Pada waktu itu, Umar Iskandar memandang saya dan perasan pandangannya itu amat berlainan. Pandangan yang seolah-olah ingin bagi tahu sesuatu tetapi tidak dapat diluahkan, saya tidak terfikir apa-apa ketika itu.

"Sewaktu berada di masjid ada orang datang suruh saya ke tepi sungai dan pada waktu itu terlintas di fikiran saya ialah mungkin kelapa saya dicuri orang. 

"Anak-anak saya tidak begitu pandai berenang, malah belum pernah mandi-manda di lokasi mereka lemas. 

Suasana pilu menyelubungi kawasan lokasi kejadian.


"Saya hanya ketahui sesuatu yang buruk berlaku kepada anak-anak saya apabila tiga pasang selipar milik mereka berada di atas pasir sungai. Hanya Allah SWT saja tahu perasaan saya ketika itu namun saya kuatkan semangat, tabahkan hati," ujarnya. 

Cerita Mohd lagi, Khalif Naim turut memintanya menyediakan gulai ikan asam pedas untuk hidangan makan tengah hari dan dia sedikit pun tidak terfikir apa-apa, meskipun anak keenamnya itu bukanlah anak yang gemar meminta begitu.

Tambahnya, ketiga-tiga anakanya itu merupakan anak ketiga, kelima serta keenam dan telah kematian ibu mereka sejak 10 tahun lalu serta tinggal di rumah mereka terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.

MD HILMAN ABD RASHID


Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Md Hilman Abd Rashid berkata, ketiga-tiga mangsa berjaya ditemui dalam tempoh 18 jam SAR. 

"Kita mulakan operasi pada 9 malam tadi (27 Mei 2020) melibatkan pencarian di permukaan dan hentikan sementara operasi jam 12.30 tengah malam.  

"Operasi hari ini (28 Mei) bermula jam 8.30 pagi sebelum mangsa pertama ditemui pada  9.50 pagi. 

"Penemuan tersebut hasil bantuan dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9), begitu juga dengan penemuan mangsa kedua dan ketiga. 

"Kesemua mangsa ditemui di dasar sungai dengan jarak antara satu sama lain sekitar 50 meter. 

Ahli keluarga mangsa sedih dengan kehilangan ketiga-tiga mangsa.


" SAR ini amat berjaya serta efisyen kerana dibantu ramai agensi, kekuatan hari ini seramai 85 pegawai dan anggota termasuklah daripada polis, Rela, Angkatan Pertahanan Awam serta orang kampung," ujarnya. 

Terdahulu, KitaReporters menyiarkan tiga beradik dikhuatiri lemas setelah dipercayai mandi-manda di Sungai Terengganu di Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu pada lewat petang 27 Mei 2020 yang terletak kira-kira 300 meter daripada kediaman mereka.

Umar Iskandar Mohd, 21, bersama dua adik lelakinya, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim,16, dikatakan berkunjung ke sungai sekitar jam 6 petang sebelum tragedi malang berlaku lebih kurang setengah jam kemudian. - KitaReporters

3
0
10
0
0

Copy Link: