PENGERUSI Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed pernah mengesyorkan satu majlis perjumpaan semula atau reunion buat skuad bola sepak negara yang beraksi pada Sukan Olimpik Munich 1972. Syor itu telah disampaikannya kepada bekas penyerang pasukan itu, Datuk Mohamad Bakar yang meninggal dunia kira-kira pukul 10.20 pagi ini, 8 November 2020 di Universiti Sains Malaysia, Kepala Batas, Pulau Pinang. : KitaReporters


NOORUL Ariffin Abdul Majeed (tiga dari kiri) mengunjungi Allahyarham Mohamad Bakar (dua dari kanan) di kediamannya di Butterworth, Pulau Pinang pada Jun 2020. - Kredit foto Noorul Ariffin.


“Saya pernah mengemukakan syor itu di kediaman arwah (Taman Telok Molek, Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang) pada Jun 2020 sebagai satu cara penghargaan dan pengiktirafan Yakeb terhadap jasa dan kejayaan Allahyarham dan pasukan negara itu.

“Allahyarham juga mempunyai pencapaian yang hebat dan wajar dibanggakan kerana berjaya layak sebagai pemain skuad Olimpik Munich 1972 dan selaku penolong jurulatih skuad juara Kelayakan Olimpik Moscow 1980 (tidak dapat pergi atas arahan kerajaan yang memboikotnya).

“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang kerana Covid-19, Yakeb sukar menetapkan tarikh untuk melangsungkan reunion itu tetapi ada dicadangkan di Kuala Lumpur,” kata Noorul, bekas pelari jarak pertengahan olahraga negara.


MOHAMAD Bakar, hebat sebagai pemain mahupun jurulatih negara - hanya segelintir yang mampu mencapainya. 


NOORUL Ariffin Abdul Majeed (kiri) pernah mengesyorkan majlis reunion skuad Olimpik Munich 1972 sebagai penghargaan Yakeb di rumah Allahyarham Mohamad Bakar. - Kredit foto Noorul Ariffin.


Beliau walau bagaimanapun berjanji untuk meneruskannya biarpun selepas pemergian Allahyarham dengan baki anggota skuad Olimpik Munich yang masih hidup mahupun waris terdekat mereka yang sudah meninggal dunia.

Mereka yang telah meninggal dunia ialah Allahyarham Ali Bakar (2003), mendiang Wong Choon Wah (2014), Allahyarham Othman Abdullah (2015), Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff (2017), mendiang Datuk M. Chandran (2019) dan Allahyarham Salleh Ibrahim (Mac 2020) serta mendiang V. Krishnasamy (2 Ogos 2020).

Mohamad yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 75 tahun pernah dilaporkan oleh media pada 23 Oktober 2020 lalu, menjalani rawatan di Wad Hematologi Hospital Pulau Pinang akibat kegagalan tulang sumsumnya untuk menghasilkan darah dan memerlukan bantuan tambahan darah.

Beliau tampil sebagai pemain gantian yang berjersi nombor 16 ketika Malaysia menewaskan Amerika Syarikat 3-0 dalam perlawanan Kumpulan A Olimpik 1972 di Stadium ESV, Ingolstadt selepas penjaring gol sulung, Shaharudin Abdullah dikeluarkan.  

Sayap kanan ini juga merupakan anggota skuad negara pemenang pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974, juara Pestabola Merdeka 1973 dan 1974 serta menjulang Piala Malaysia bersama Pulau Pinang pada 1974. 

Kesemua kejayaan termasuk di Munich itu di bawah bimbingan Allahyarham Jalil Che Din.


MOHAMAD Bakar (depan, dua dari kanan) bersama skuad Sukan Olimpik Munich 1972. Wong Kam Fook (belakang, tiga dari kiri). 


Sementara itu, penjaga gol skuad Olimpik Munich, Wong Kam Fook menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang merendah diri, namun kerap bekerja keras dan kurang bercakap sepanjang mengenalinya dalam pasukan kebangsaan dan sebagai pemain Pulau Pinang.

“Sudah tentu kami juga kerap bertemu sebagai lawan dalam padang ketika saya bermain sebagai penjaga gol Perak dan beliau mewakili Pulau Pinang pada saingan Piala Malaysia apatah lagi kedua-dua pasukan dalam Zon Utara,” katanya.

Bekas guru penolong kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muda, Penaga, Seberang Prai Utara ini mula mewakili Pulau Pinang dari 1965, manakala pasukan negara selama lima tahun dari 1970 hingga Kelayakan Piala Asia 1975.

Mohamad juga menjadi ketua jurulatih Malaysia yang layak ke Piala Asia 1980 menerusi pusingan kelayakan 1979 di Bangkok dan membantu pasukan memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta dan Pestabola Merdeka 1979.

Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan, Siti Marhanis dan Siti Mardhiana serta enam cucu. Isterinya, Allahyarham Datin Siti Rahil Harris sudah meninggal dunia, beberapa tahun lalu. - KitaReporters


 

ANTARA tonggak Olimpik Munich 1972 di Istana Negara pada 2019 (dari kiri), Wong Kam Fook, Shaharudin Dollah, Abd. Rahim Abdullah, Lim Fung Kee, Mohamad Bakar dan Che Hamzah Che Hussin di samping Noorul Ariffin Abdul Majeed. - Kredit foto Kam Fook.

2
1
5
0
0

Copy Link: