Angkara papan pemotong ikan! 45 disah dijangkiti Covid-19!
Published byHANYA kerana papan memotong ikan atau chopping board, 45 orang pelanggan yang membeli ikan salmon di pasar basah Xinfadi, Beijing, disahkan dijangkiti virus Covid-19 setakat 13 Jun 2020. Pasar ini terletak di daerah Fengtai di bahagian barat daya Beijing. : KitaReporters
ANGGOTA polis mengawal pintu masuk pasar Xinfadi yang kini ditutup sepenuhnya. - Kredit foto: AFP/Getty Images.
Bagaimanapula papan pemotong boleh menjadi penyebar Covid-19 dan menjangkiti pelanggan?
Ini kerana virus Covid-19 dikesan pada papan tersebut yang digunakan untuk memotong ikan salmon yang dibeli oleh pelanggan.
Memetik laporan Mirror.uk, sebaik sahaja pihak berkuasa mengesan virus ini, pasar tersebut ditutup serta merta dan saringan dijalankan ke atas 517 pengunjung pasar.
Hasil ujian menggunakan kaedah calitan di mulut mengesahkan 45 orang disahkan dijangkiti virus Covid-19, walaupun mereka tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit tersebut.
ANGGOTA polis membawa bungkusan makanan di pintu masuk pasar Xinfadi, Beijing, yang kini di bawah perintah kawalan pergerakan sepenuhnya. - Kredit foto: AFP/Getty Images.
Kejadian ini telah menimbulkan kebimbangan berlakunya gelombang kedua Covid-19 di China selepas gelombang pertama mula dikesan di Wuhan yang akhirnya merebak ke seluruh dunia.
Menurut jurucakap pasar Xinfadi, ekoran pengesanan virus pada papan pemotong ikan salmon, penjualan ikan tersebut kini dihentikan di pasar-pasar basah bukan sahaja di Xinfadi tetapi di seluruh Beijing.
Kebimbangan ini juga dirasai bandar-bandar lain di China.
Misalnya sebuah pasar borong pertanian utama di Chengdu, ibu wilayah Sichuan, memaklumkan ia berhenti menjual ikan salmon di pasar tersebut mulai 13 Jun 2020.
Di Nanjing, ibu kota wilayah Jiangsu, persatuan pemilik restoran tempatan memberitahu, restoran-restoran milik ahli persatuan itu akan menghentikan hidangan makanan mengandungi produk makanan laut atau haiwan.
SEORANG petugas lengkap berpakaian keselamatan memeriksa suhu seorang pemandu trak yang memasuki pasar Xinfadi. - Kredit foto: Reuters.
Walau pun dalam kebimbangan ini, penduduk Bejing percaya pihak berkuasa akan dapat mengawal keadaan akibat kluster pasar Xinfadi ini.
Seorang pegawai di daerah Xinfadi memaklumkan, sebagai langkah keselamatan awam dan pencegahan penularan, pihak berkuasa telah melaksanakan sekatan pergerakan atau lockdown sepenuhnya di pasar Xinfadi dan kawasan-kawasan sekelilingnya mulai pukul 3 pagi 13 Jun 2020.
Pintu masuk ke pasar disekat dengan kawalan ketat pasukan polis.
Beliau menyifatkan kawasan tersebut kini dalam siap siaga, seolah-olah menghadapi peperangan.
Sebelum itu, pihak berkuasa Beijing telah menghentikan jualan daging lembu dan daging kambing di pasar Xinfadi dan pasar borong lain di sekeliling bandar raya tersebut.
Apa yang berlaku di China ini boleh menjadi iktibar kepada kita di Malaysia.
Oleh itu sebagai langkah berjaga-jaga, jika membeli ikan atau ayam misalnya, elok bawa balik dan potong sendiri di rumah! : KitaReporters
PELANGGAN memakai penutup muka ketika mengunjungi pasar Xinfadi, Beijing, yang kini telah ditutup sepenuhnya. - Kredit foto: Reuters