PKP DILANJUTKAN: BANTUAN SYAWAL DIPERCEPAT!
Published by“KAMI simpati dan kami tidak mahu mereka berkecil hati kerana tidak menerima apa-apa bantuan sedangkan di atas kertas mereka wajar mendapatkan pembelaan kerana hidup susah. Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan bagi menyekat penularan wabak Covid-19, kami percepatkan Program Bantuan Sempena Syawal untuk keluarga terbabit,” kata Ketua Penyelaras program itu, Saharani Abdullah. : KitaReporters
Ketua Penyelaras program, Saharani Abdullah
Program
yang masuk tahun ketiga itu dianjurkan penduduk empat apartmen iaitu Zapin,
Inang, Ghazal dan Qasidah di Taman Impian Ehsan 3 (TIE3), Balakong, Selangor, untuk meringankan bebanan keluarga ibu tunggal,
Orang Kelainan Upaya (OKU) dan bukan penerima bantuan zakat yang memiliki
tanggungang ramai.
Mereka itu
didapati tidak disenaraikan untuk menerima bantuan keperluan harian berikutan
pelaksanaan PKP dan juga bantuan sempena Ramadan.
Pelbagai barangan keperluan harian yang akan dibungkus sebelum diagihkan kepada keluarga ibu tunggal, OKU dan bukan penerima zakat.
Barangan
keperluan harian dibeli hasil kutipan dana daripada penduduk empat apartmen
berkenaan selain derma individu luar
dari kawasan itu termasuk sumbangan pasukan badminton TIE3 taman berkenaan.
Antara
barangan yang disalurkan itu seperti beras, gula, minyak masak, susu, telur,
mi segera, teh, tepung gandum, bihun, sagu, kacang hijau, gula Melaka, sos
cili, cili boh, garam dan bawang.
Pengerusi Apartmen Zapin, Zulkifli Abu Bakar (kanan) menyerahkan bungkusan barangan kepada Sued Yusha.
Saharani
berkata, selalunya sumbangan program syawal berkenaan disalurkan kepada keluarga
terbabit seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, tetapi tahun ini, masa sumbangan dipercepat yakni dua hari selepas berpuasa.
Menurutnya,
langkah itu diambil berikutan maklumat yang diterima daripada pengerusi setiap
apartmen mendapati keluarga terbabit turut terkesan selepas PKP dilaksanakan
apabila ada antara mereka hilang punca pendapatan dan sukar mendapatkan barangan
keperluan harian.
Mohd Hazmi Wan Daud menerima sumbangan daripada Pengerusi Apartmen Inang, Hazami (kanan).
Beliau
berkata, penyerahan sumbangan kepada 57 keluarga yang sudah dikenal pasti
dilakukan dengan kerjasama Surau An Nur taman berkenaan dan majlis dilakukan di pekarangan surau itu.
“Penyerahan
itu dilakukan mengikut jarak sosial Covid-19 yang disyaratkan, apabila setiap
keluarga diminta hadir mengikut masa yang ditetapkan,” kata Saharani
Pengerusi Apartmen Ghazal, Yunus (kanan) menyerahkan bungkusan barangan keperluan harian kepada Atan.