SAMUEL Jacob Somerville menjalani latihan pusat pasukan negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM


TIDAK begitu tinggi tetapi gemar bersuara lantang dan ‘memerintah’ di depan gawang menjadi ‘Faktor X’ yang cuba ditawarkan Samuel Jacob Somerville dalam merebut posisi penjaga gol utama Harimau Malaya.

Penjaga gol Penang FC ini berkata, “saya cukup kenal dua lagi penjaga gol kita (Farizal Marlias dan Khairulazhan Khalid) yang begitu berpengalaman. Kami penjaga gol utama pasukan (Liga Super) masing-masing.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya

SAMUEL (kiri) menerima jam tangan sumbangan penaja Casio G-Shock edisi terhad yang disampaikan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin. - Kredit foto FAM


Saingan untuk jadi penjaga gol Malaysia (pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023) memang sengit. Saya fikir saya seorang penyusun dan agak lantang serta banyak cakap di padang.

“Mungkin orang fikir saya ini gemar memerintah tetapi saya pun ada cita-cita untuk melayakkan pasukan kebangsaan (ke pusingan ketiga),” kata anak jati Farnborough, England setinggi 1.75 meter ini dalam sidang media dalam talian, oada hari ini Selasa, 18 Mei 2021.

Harimau Malaya akan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila menyambung baki pusingan kedua Kumpulan G kelayakan di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun 2021 ini, diikuti Vietnam (11 Jun 2021) dan Thailand (15 Jun 2021) di Stadium Al Maktoum, Dubai.

Dua ujian pemanas badan turut menanti skuad Tan Cheng Hoe ini iaitu Kuwait pada 23 Mei 2021 di Dubai dan Bahrain di Manama, 28 Mei 2021.


FARIZAL Marlias (kanan) menjalani latihan tubi menangkap bola dengan bimbingan jurulatih penjaga gol negara, Azmin Azram Aziz. - Kredit foto: FAM 


“Saya juga sentiasa melihat saya bukanlah penjaga gol yang tinggi dalam bola sepak moden. Saya inspirasikan seorang penjaga gol Mexico yang lebih kecil daripada saya, sekitar 1.7 meter sahaja.

“Ketika di England (2011 hingga 2015), kelab-kelab di sana hanya ada penjaga gol yang tingginya lebih 1.8 meter. (Panggilan ke skuad negara ini) membuatkan saya berterima kasih, bangga dan satu penghormatan buat saya,” kata Samuel, 26.  

Khairulazhan, pemain Selangor FC merupakan yang paling tinggi, 1.82 meter, manakala Farizal dari Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang juga lebih kerap mengawal gawang Malaysia dalam kelayakan 2019, setinggi 1.78 meter.

Penjaga gol Melaka United FC dan Terengganu FC, Khairul Fahmi Che Mat dan Rahadiazli Rahalim yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad negara di Johor Bahru, Mac lalu, masing-masing berketinggian 1.71 dan 1.92 meter.


KHAIRULAZHAN Khalid (kiri), Azmin Azram Aziz, Farizal Marlias dan Samuel Somerville membuat persediaan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan dan tiga aksi Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia. - Kredit foto: FAM


“Semua orang daripada rakan sepasukan, jurulatih dan pengurusan pasukan kebangsaan amat mengalu-alukan dan menerima kehadiran saya sejak kem latihan pusat dibuka di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad (16 Mei 2021) lalu,” kata penyokong Manchester City dalam Liga Perdana England ini.

“Penting untuk saya mempunyai mentaliti untuk sentiasa menang. Itulah yang saya terapkan ketika membantu Pulau Pinang menjuarai Liga Perdana 2020.

“Saya cuba pelajari taktik dan apa kehendak jurulatih serta gaya permainan pasukan negara. Cheng Hoe seorang jurulatih yang bagus, bersemangat, berdedikasi dan dihormati pemain,” katanya. - KitaReporters


SAMUEL menjalani Ujian Calitan Antigen bagi mengesan Covid-19 sebelum memasuki latihan pusat dalam 'gelembung sukan'. - Kredit foto: FAM

1
3
0
0
0

Copy Link: