Jaafar Athan OKU berkerusi roda! Walaupun lumpuh tapi gigih hasilkan barangan berasaskan kulit!
Published byJaafar Athan tekun menjahit barangan kulit yang ditempah oleh pelanggannya ketika ditemui di rumahnya di Felda Tenang, Labis, Johor.
MENGAKUI mengambil masa yang agak lama untuk menerima hakikat bahawa dirinya terpaksa menjalani kehidupan di atas kerusi roda kerana lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah selepas terlibat kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran tol Pagoh pada tahun 1993.
Jaafar Athan, 53, berkata, keadaanya tidak menentu dan hampir berputus asa selepas keluar dari hospital, namun dia cuba bangkit daripada kesedihan dengan mengusahakan tanaman cili secara kecil-kecilan di sekeliling rumah di Felda Tenang, Labis bagi melupakan episod sedih yang menimpa dirinya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan OKU
Jaafar menunjukkan antara barangan kulit yang ditempah oleh pelanggannya.
"Namun segalanya berubah selepas saya diziarah oleh seorang rakan yang mencadangkan agar saya menghasilkan barangan berasaskan kulit seperti dompet, tali pinggang dan barangan kraf lain memandangkan keadaan saya yang bergerak menggunakan kerusi roda agak sukar untuk melakukan kerja-kerja menanam cili.
"Ketika itu saya berasa ragu dengan kemampuan diri kerana tidak mempunyai pengetahuan serta pengalaman dalam bidang tersebut," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, rakannya itu bukan sahaja membawanya dan membiayai kos untuk belajar bagi menghasilkan barangan berasas kulit, malah turut menghulurkan bantuan modal awal sebanyak RM3,000 bagi memulakan usaha pada tahun 2013.
Katanya, selepas itu dia tidak menoleh ke belakang dan kini dia mampu menghasilkan 14 jenis produk berasaskan kulit seperti tali pinggang, pemegang kunci, dompet, dan beg sandang yang dijual bermula RM10 hingga RM400 bergantung saiz serta jenis barang.
"Pada peringkat awal dahulu, semua barangan yang saya hasilkan dijahit sendiri menggunakan tangan sebelum mendapat bantuan mesin jahit yang memudahkan lagi kerja saya sejak setahun lalu.
"Selain lebih cepat dan mudah, jahitan menggunakan mesin jahit lebih kemas berbanding menggunakan tangan yang adakalanya kelihatan tidak seragam jika tidak dilakukan dengan berhati-hati," katanya yang berharap lebih ramai golongan OKU di daerah ini untuk menceburi bidang yang bersesuaian dengan kemampuan diri sendiri.
Antara barangan kulit berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh Jaafar.
Katanya, menghasilkan barangan kulit tidaklah sukar, namun memerlukan kesabaran yang tinggi selain perlu berhati-hati terutama ketika memotong kepingan kulit bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.
Menurutnya, jenis kulit serta kekemasan jahitan merupakan aspek yang sering diberi perhatian pelanggan dalam menentukan kualiti barangan yang dihasilkannya.
"Saya juga sedang berusaha untuk menambah jumlah dan mempelbagaikan barangan yang dihasilkan bagi memberi pilihan kepada peminat barangan kulit serta mengembangkan usaha perniagaan saya ini.
"Setakat ini saya merupakan pengusaha OKU tunggal barangan berasaskan kulit di daerah ini dan saya sedia berkongsi pengalaman dengan mana-mana golongan OKU yang berminat untuk menceburi bidang ini," katanya. - KitaReporters