Junjung kasih! Pemangku Raja Pahang bertemu murid sekolah Cina! Beri angpau, cuba lukis kaligrafi!
Published byMUAFAKAT itu berkat. Maka, marilah kita terus saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira kaum, agama atau budaya!
Demikian menggambarkan keperibadian Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah apabila berkenan mencemar duli menyantuni masyarakat Cina sekitar Kuantan, Pahang tatkala kehangatan sambutan Tahun Baharu Cina masih terasa pada minggu lalu.
Lagi kisah menarik berkaitan Tengku Mahkota Pahang
Bermula dengan menyantuni penduduk pelbagai bangsa di kampung-kampung tradisional dan seterusnya baginda berkenaan ke rumah kebajikan yang menempatkan kira-kira 40 warga emas daripada kaum Cina.
Baginda juga turut meluangkan masa berbual dan bertanya khabar warga emas. Malah dalam lawatan baginda sempat menitip nasihat supaya golongan emas sentiasa dibantu selain meminta pengurusan rumah kebajikan memberi tumpuan sepenuhnya kepada golongan berkenaan.
Kesemua penghuni kebanyakannya berusia 60 tahun ke atas itu berdepan pelbagai penyaki kronik yang memerlukan perhatian dan pengawasan.
Tidak ketinggalan Tengku Hassanal juga turut berangkat ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lembing, Sungai Lembing, Kuantan, Pahang bagi bertanya khabar dan menyampaikan kurniaan 'angpau' kepada murid-murid dan penduduk kampung. Junjung kasih Tuanku!
Ketika keberangkatan Tengku Hassanal ke SJKC Lembing, baginda berpeluang melihat sendiri perkembangan sistem pendidikan di sekolah berkenaan yang ditubuhkan sejak 1913.
Melalui program Ziarah Kasih Diraja itu, Tengku Hassanal berkenan mencuba salah satu tradisi dan kebudayaan Cina iaitu meniup lukisan bebunga dengan penyedut minuman dan dakwat pada kertas merah di samping melengkapkan lukisan kaligrafi.
Kemesraan dan keramahan baginda amat mengujakan setiap lapisan masyarakat yang didampingi dengan masing-masing menzahirkan rasa bangga memiliki seorang raja yang dekat di hati rakyat. - KitaReporters