SEORANG insan yang sangat baik dan berbudi pekerti malah sikapnya yang jarang berang, membentuk gaya permainannya yang tenang dan mampu menyerap apa juga tekanan yang datang. Ciri-ciri positif ini digambarkan oleh Nazrulerwan Makmor terhadap bekas gandingan bek tengahnya, Allahyarham Saiful Nizam Hussin yang kembali ke rahmatullah pada Selasa, 3 November 2020. : KitaReporters

SAIFUL Nizam Hussin, bek tengah Kelantan dan Selangor yang tenang mengawal emosi dan permainan. - Kredit foto: FB Retro Bola Sepak.


Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak


“Allahyarham seorang insan yang sangat baik budi pekertinya dan susah hendak marah orang. Sikap yang sering merendah diri itu menjadikannya seorang pemain yang pandai mengawal emosi walaupun dalam keadaan perlawanan yang serba-serbi tertekan,” kata Nazrulerwan yang kini ketua jurulatih Kelantan United FC. 

Mereka berdua selain Ahmad Tharmini Saiban merupakan antara tulang belakang Selangor yang merangkul gelaran trebel Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana 2005 di bawah bimbingan Dollah Salleh. 

“Biasanya jika dalam kesebelasan utama Selangor, saya dan Allahyarham akan berganding bahu di benteng tengah, manakala Tharmini akan beralih sebagai bek kanan,” katanya yang turut digelar ‘Badut’.  


SAIFUL Nizam Hussin (berdiri, empat dari kanan) bersama Selangor, juara trebel 2005. Nazrulerwan Makmor (depan, dua dari kanan). - Kredit foto: Zulkifli Hussin.


Gergasi Merah menewaskan Perlis 3-0 dan Perak 4-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA itu, malah kembali menyertai Liga Super 2006 selepas menjuarai Liga Perdana 2005.

Selangor ketika itu juga diperkuatkan gandingan Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy, Brian Fuentes (Argentina), Khalid Jamlus, D. Surendran, K. Sanbagamaran, Shukor Adan, Nazzab Hidzan dan Mohd. Amri Yahyah. 

Allahyarham Saiful Nizam menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 45 tahun di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 12.15 tengah hari, 3 November 2020 selepas menjalani pembedahan ketumbuhan otak kali kedua pada 28 Oktober 2020.

Beliau yang juga bekas pemain Kelantan, turut menjalani pembedahan kali pertama pada Julai 2020.  



SAIFUL Nizam dibedah dua kali bagi membuang ketumbuhan pada otaknya di Hospital USM, Kota Bharu. - Kredit foto Zulkifli Hussin.


Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu itu meninggalkan seorang balu berusia 40 tahun dan tiga anak berumur lapan hingga 22 tahun. 

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambak, Pintu Geng, Kota Bharu selepas solat asar. 

“Saya agak terkilan tidak dapat menemui Allahyarham sebelum dia pergi. Cuma sempatlah menelefonnya untuk berjumpa di rumahnya. Allahyarham kemudian sudah masuk hospital untuk pembedahan yang kedua. 

“Diizinkan Allah, pasukan Kelantan United FC akan mengadakan doa selamat sedikit dan buat sedikit sumbangan kepada keluarga Allahyarham,” kata Nazrulerwan.


NAZRULERWAN Makmor atau 'Badut', bekas pemain kebangsaan dari 2000 hingga 2007. - Kredit foto FB KUFC. 


SAIFUL Nizam (depan, tengah) bersama antara tonggak Kelantan antaranya Tuan Kamree Tuan Yahya (nombor 13), Hardi Ahmad (19) dan Rezal Zambery Yahya (18). - Kredit foto FB Retro Bola Sepak.


Saiful ialah anak bongsu daripada lapan beradik dalam keluarga bola sepak Hussin dengan abangnya, Zulkifli merupakan bekas penyerang Kelantan dari 1983 hingga 1988 dan Harimau Malaysia 1984.

Menurut Zulkifli, dua lagi saudara mereka turut aktif dalam bola sepak iaitu Khairul dan Ausri Hussin yang juga merupakan bekas penjaga gol Melaka.  

“Saya sempat menziarahi Allahyarham di rumahnya di Kota Bharu pada malam sebelum pembedahan kedua. 

“Anak kedua Allahyarham, Muhd. Zaim juga mewarisi jejak dan bakat bola sepaknya,” kata pemenang Kasut Gangsa selaku penjaring ketiga terbanyak Piala Malaysia 1984 dengan 11 gol ini. - KitaReporters


ZULKIFLI Hussin (kiri), pemenang Kasut Gangsa Piala Malaysia 1984 mengapit pemenang Kasut Emas, Yunus Alif dan kanan, Zainal Abidin Hassan (Kasut Perak). - Kredit foto FB Retro Bola Sepak. 


KELUARGA bola sepak Hussin (dari kiri), Saiful, Zulkifli, Ausri dan Khairul Hussin. - Kredit foto Zulkifli Hussin. 

2
0
3
0
0

Copy Link: