Tolong kami! Bantu kami cari waris Pakcik Alias Yacob! Kini lumpuh dan perlukan bantuan anak-anak!
Published byAlias Yacob, 66.
SEORANG lelaki tua dan lumpuh, Alias Yacob, 66, sedang mencari anggota keluarganya terutama anak-anaknya kerana dia kini lumpuh dan memerlukan bantuan mereka untuk menjaganya.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (Pkuf), Murniati Usman @ Umi Ati berkata, pakcik Alias ditemuinya pada 12 Julai 2022 lalu ketika dia dan sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengedarkan barangan keperluan warga tua di sekitar Gombak.
Ketika itu mereka diberitahu mengenai lelaki berkenaan yang dikatakan sudah lama terbiar bersendirian di rumahnya selepas ditinggalkan isteri keduanya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tolong kami, bantu kami
Murniati Usman bersama Alias Yacob
Beliau berkata sebaik saja sukarelawan masuk ke rumah lelaki itu, mereka berdepan dengan bau busuk najis dan keadaan rumah yang berselerak seperti baru dimasuki pencuri.
Pakcik itu juga difahamkan tidak makan dan minum kerana tiada orang yang berani masuk ke rumah itu untuk bertanya khabar atau membantunya.
Alias bekas pemandu lori dan dikatakan ada anak dengan isteri pertama dan mereka dipercayai terputus hubungan selepas bercerai dan dia kemudian berkahwin dengan seorang wanita dari Indonesia sebelum lumpuh.
"Pakcik ini lumpuh dan berkerusi roda. Dia tidak mampu menguruskan diri sendiri. Makan minum dan urusan kebersihan dirinya sebelum ini dilakukan oleh isterinya.
"Bagaimanapun, mungkin sudah berputus asa, wanita itu kemudian menghilangkan diri sejak awal Julai 2022 lalu dan kami sukarelawan yang datang membantunya.
"Malangnya kerana masalah aurat dan bimbang sebab dia lumpuh, kami tidak boleh mandikan dia atau mencebuk air untuk membersihkan badannya yang terlekat najis.
"Kami kemudian menyerahkan pakcik itu kepada Hospital Sungai Buloh dan ada beberapa kali pihak hospital menghubungi kami untuk mengambil lelaki dan menguruskan jagaannya." katanya.
Beliau kemudian meminta pihak hospital menguruskan tempat tinggal lelaki itu kerana dia juga berdepan masalah ketiadaan kenderaan pada masa itu malah tiada kakitangan untuk menjaganya.
"Kami tiada hubungan darah dan tidak juga kenal rapat. Tapi atas dasar perikemanusiaan dan membantu sesama insan, kami sudah berbuat yang terdaya. Ini termasuk mencari tempat tinggal sesuai untuknya.
"Disebabkan banyak rumah orang-orang tua sudah penuh, pihak hospital hanya dapat menempatkan pakcik Alias di Ijok, Kuala Selangor. Besar harapan kami anak-anak atau saudara mara lelaki ini dapat melawatnya dan mengambilnya pulang kerana untuk makan dan minum, dia perlukan orang untuk menyuapkannya," katanya.
Sehubungan itu, Umi Ati berharap sesiapa yang mengenai lelaki itu boleh menghubunginya melalui talian 0166535632 kerana sehingga kini warisnya masih belum ditemui. - KitaReporters
Selamat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut. Gambar dari FB Murniati