Saya tak mahu teruskan kehamilan, mahu buang anak ini! Wanita warga asing terdesak, tertekan!
Published byGambar hiasan... Memiliki anak comel impian semua ibu bapa. - Kredit foro: Dreamstime.com
SAYA sudah makan pil perancang untuk menggelakkan hamil. Saya juga sudah buat suntikan pencegahan tetapi apabila badan saya gemuk macam `belon` saya terus berhenti dan kembali makan pil. Sekarang sudah hamil tujuh bulan dan disahkan kencing manis. Saya mahu `buang` bayi ini.
"Saya tidak mahu ini anak dan sebelum datang berjumpa Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (PKUF), saya sudah hampir mahu minum racun agar bayi dalam kandungan ini mati," demikian kata seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 48.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan PKUF:
https://kitareporters.com/search?search=pkuf
Kerana nasib malang yang bertimpa-timpa, Siti sudah putus asa
Putaran hidup Siti ni macam jatuh ditimpa tangga.
Sebelum itu, kilang membuat sarung tangan tempatnya kerja ditutup kerana tidak mampu lagi menanggung kerugian akibat beberapa kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan terakhirnya dia, antara kakitangan yang dibuang kerja dengan sedikit pampasan.
Tambah gundah gulana lagi, suaminya warga Pakistan juga teman sekerjanya turut sama dibuang kerja dan apabila berlakunya konflik rumah tangga, suaminya terus `menghilangkan` diri dipercayai `lari` ke Johor untuk mencari kerja dan memulakan kehidupan baharu tanpa wanita itu.
Nasibnya tidak tamat di situ saja, suaminya telah melafazkan cerai talak satu dan tidak tahu Siti sekarang hamil dengan anak sulung mereka yang dijangka dilahirkan April 2021 ini.
Siti juga mengaku tidak tahu dia hamil kerana haidnya datang setiap bulan dan tidak mengalami tanda wanita hamil seperti mabuk pada waktu pagi atau mengidam untuk makanan yang `pelik`.
"Kawan-kawan ada menegur saya macam orang hamil. Saya menafikannya kerana selama ini saya memang gemuk dan tak ada satu petanda pun bahawa kehamilan ini. Apabila didesak oleh kawan baik saya, terus ke klinik dan sebaik tahu keputusan, terus saya meraung di depan doktor.
"Saya merayu doktor supaya buang janin dalam kandungan ini walaupun ia sudah berusia lima bulan. Doktor enggan dan tak berani kerana bimbang nyawa kami berdua.
"Malah saya juga terus makan pil perancang dengan harapan janin ini akan gugur dengan sendiri," katanya kepada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (PKUF), Murniati Usman.
Misi PKUF hari itu ialah menyelamatkan seorang wanita hamil daripada `membuang` bayinya.
Selepas berhenti kerja itu, Siti bekerja di kedai makan dan dalam usia awal 40-an dan keletihan kerana waktu kerja yang panjang, dia terpaksa berhenti kerja. Dan sejak itu juga, dia hampir habis membelanjakan wang simpanannya untuk makan minum.
Ketika dilanda ujian itulah Siti mengaku dia putus asa untuk meneruskan hidupnya kerana tanpa kawan, tanpa suami, tiada kewangan serta tempat tinggal, masa depan dia dan bayinya, sudah tentu teruk.
Lebih menguji ketabahannya apabila semua dokumen dirinya dan wang tunai RM2,500 juga dibawa lari oleh ejen yang sepatutnya memperbaharui semula dokumennya.
Bukan pasport dia seorang, malah dokumen kawan-kawannnya semua dilesapkan oleh ejen berkenaan yang selama ini sangat dipercayai oleh pendatang asing terbabit.
Siti kemudian dirujukkan kepada PKUF oleh kawan baiknya dengan harapan untuk mencari tempat berteduh sementara menunggu bersalin dan membina semula kehidupannya dengan kembali bekerja di restoran tempat dia bertugas sebelum ini.
Siti mempunyai dua anak yang berumur 19 dan 10 tahun di kampungnya, Jawa Timur.
"Nasib baik anak sulung sudah menamatkan pengajiannya sekolah agama. Sebelum ini saya yang menghantarnya wang belanja sejuta rupiah (RM350) sebulan.
"Sejak hamil ini, saya sudah banyak `menipu` anak dengan alasan tidak ada kerja untuk menghantar wang belanja di kampung," katanya yang kecewa dengan sikap bekas suaminya, yang mendiamkan diri tanpa mengambil tahu tentang kebajikannya.
Banyak kes yang diterima oleh PKUF membabitkan masalah kelahiran dalam kalangan wanita warga asing termasuk risiko kes bayi yang diserahkan kepada orang bukan Islam, kata Murniati Usman (kanan).
Sementara itu, Murniati berkata banyak kes yang diterima membabitkan masalah kelahiran dalam kalangan wanita pendatang asing termasuk risiko kes bayi yang diserahkan kepada orang bukan Islam.
Pasangan itu akan bernikah sesama sendiri atau warga dari negara lain secara `nikah seri` atau kontrak. Namum akhirnya wanita menjadi mangsa apabila ditinggalkan ketika hamil.
"Kami cuba membantu wanita terbabit supaya bayi yang dilahirkan dapat diselamatkan akidahnya. Kita sudah berjaya menyelamatkan beberapa wanita ini dan anak-anak mereka akan ditempatkan di sekolah tahfiz supaya anak-anak ini mendapat pendidikan agama dan akademik dengan baik," katanya.
Beliau turut memberi contoh ada kes itu seorang wanita Indonesia dibantu untuk menjalani pembedahan melahirkan anak kembar.
Malangnya selepas dia dan bayi diberi rawatan perubatan yang menelan belanja lebih RM25,000, wanita itu dilaporkan melarikan dua anaknya dengan bantuan seorang lelaki bukan Islam.
Pihak yang membantu wanita dan pasangannya perlu menjejaki mereka untuk mendapatkan kembali wang itu dan bimbang bayi berkenaan `dijual` kepada keluarga yang tidak mempunyai anak. - KitaReporters