30 tahun Mokhtar Dahari tinggalkan kita! Pertemuan pertama, terakhir terpahat jadi kenangan!
Published byKredit foto: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)
AHAD, 11 Julai 2021, genap 30 tahun Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari pergi meninggalkan kita. Beliau meninggal dunia pada tarikh ini pada tahun 1991 lalu, kerana menghidap penyakit motor neuron disease (MND).
Sejak kematiannya, banyak yang sudah diperkatakan dan ditulis mengenai kehebatan Mokhtar dalam padang. Malah kisah hidupnya pernah dibukukan dan dipentasteaterkan.
Terbaharu, seluruh rakyat Malaysia berasa sangat bangga apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengiktiraf SuperMokh sebagai penjaring ketiga terbanyak dunia selepas Cristiano Ronaldo (Portugal) dan Ali Daei (Iran). Sepanjang 131 kali menyarung jersi pasukan kebangsaan, beliau menjaringkan 89 gol.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Mokhtar Dahari
Penulis
berasa agak bertuah kerana berpeluang mengenali Allahyarham secara peribadi.
Walaupun persahabatan kami tidak lama, namun cukup untuk penulis jadikan sebagai salah satu
khazanah kenangan sepanjang bergelar wartawan.
Ketika penulis baru bergelar wartawan pada 1983, Mokhtar sudah berada pada penghujung kariernya namun kelibat serta sisa kehebatannya di tengah padang sempat penulis saksikan.
Sebelum itu, penulis hanya dapat saksikan kehebatannya melalui kaca televisyen lewat aksinya bersama pasukan Selangor dan Malaysia.
Mokhtar diiktiraf FIFA sebagai penjaring ketiga terbanyak dunia di belakang pemain, Cristiano Ronaldo dan Ali Daei. - Kredit foto: Media sosial.
Justeru, apabila sudah mendapat ‘lesen’ sebagai wartawan, penulis memang menanam tekad mahu menemu bual Mokhtar. Namun, penulis mengambil masa beberapa bulan sebelum mempunyai keberanian untuk melakukannya.
Ini kerana
daripada maklumat yang penulis dapat daripada rakan-rakan wartawan senior,
Mokhtar bukanlah seorang yang mudah didekati, cuma ada kelompok wartawan
tertentu sahaja yang boleh ‘ákses’ dengannya.
Kata mereka, selalunya Mokhtar tidak pandang pun wartawan mentah macam penulis, apatah lagi penulis ketika itu dari sebuah akhbar tabloid yang sinonim dengan cerita sensasi serta digelar ‘akhbar nyamuk.’
Selama beberapa bulan penulis cuba ‘membaca’ peribadi Mokhtar. Asal ada masa terluang, penulis akan ‘bersidai’ di Kelab Sultan Sulaiman (KSS) di Kampung Baru, tempat pasukan Selangor berlatih, semata-mata untuk ‘mengenali’ karakter Allahyarham.
Kredit foto: VocketFC.com
Tulis elok-elok, salah tulis, saya saman!” Ayat ‘saman’ itu membuatkan penulis kecut perut
Pada masa sama, penulis merisik dengan jurulatih Selangor ketika itu, Datuk (sekarang Tan Sri) Ghani Minhat, juga dengan pemain junior seperti Azhar Sharif yang ketika itu sudah jadi kawan ‘kamceng’ penulis.
Ringkas sahaja jawapan Ghani bila penulis bertanya beliau mengenai karakter Mokhtar: “Cubalah, kalau nasib awak baik, dapatlah cerita.”
Sementara Azhar membayangkan Mohktar seorang yang ada ‘angin’, jika ‘anginnya’ baik, dia bukan sahaja peramah malah boleh dibawa bergurau.
Akhirnya, penulis bulatkan hati untuk mencuba nasib. Bagi penulis, belum ‘try’, belum tahu. Kalau ditakdirkan Mokhtar enggan melayan penulis, sekurang-kurangnya penulis tetap berpuas hati kerana sudah mencuba.
Jadi, suatu petang, sebaik Selangor menamatkan latihan, penulis memberanikan diri mendekati Mokhtar. Dengan nada gugup, penulis menegur dan menyatakan hasrat menemu bualnya.
Mokhtar bertukar cenderamata dengan Diego Maradona sebelum perlawanan persahabatan
Selangor- Boca Juniors di Stadium Merdeka pada 14 Januari, 1982. - Kredit foto: Media sosial.
“Dari (akhbar) mana?” Mokhtar bertanya dengan suara garau.
Sekali lagi penulis jadi gugup, tambah pula apabila mengenangkan penulis pernah diperlekehkan oleh seorang atlet wanita yang menuduh akhbar diwakili penulis tidak boleh dipercayai dan suka mereka-reka serta mensensasikan cerita.
Tapi, penulis bersyukur Mokhtar tidak memberi respons sedemikian sebaliknya meminta penulis menunggu sementara dia membersihkan diri. Lega.
Limabelas minit selepas itu, Mokhtar muncul dan mengajak penulis ke satu sudut di kafe kelab itu. Selama sejam kami berbual pelbagai topik mengenai bola sepak.
Penulis tidak berani menyentuh soal peribadi kerana sudah diingatkan rakan-rakan wartawan bahawa Mokhtar tidak suka ditanya soal peribadi dan boleh berubah mood jika wartawan cuba-cuba mengorek cerita sedemikian.
Ketika penulis bangun, bersalam, mengucapkan terima kasih serta meminta diri untuk pulang, Mokhtar seolah-olah memberi amaran: “Tulis elok-elok, salah tulis, saya saman!”
Sepanjang kariernya, Mokhtar membantu Selangor menjulang Piala Malaysia sebanyak 10 kali. - Kredit foto: Media sosial.
Ayat ‘saman’ itu membuatkan penulis kecut perut. Justeru, penulis amat berhati-hati menulis berita itu, malah membuat ‘double check’ selepas ‘page’ disiapkan bagi memastikan berita tepat serta tidak menimbulkan kontroversi kelak.
Ternyata Mokhtar berpuas hati dan penulis lulus ujian pertama. Sejak itu, kami menjadi sahabat walaupun tidak terlalu akrab. Penulis memanggilnya ‘Abang Mokhtar’ sebagai tanda hormat kepadanya kerana jarak usia kami.
Selain kerap bertemu di KSS, sesekali penulis singgah di pejabatnya di Talasco Insurance, Jalan Tunku Abdul Rahman dan kemudian di Kwong Yik Bank bila beliau bertukar kerja di sana. Setiap kali bertemu, walaupun tidak ada temu janji, Mokhtar melayan penulis dengan baik.
Malah, beberapa kali, penulis ke rumahnya di Keramat dan beliau sekeluarga menyambut penulis dengan mesra. Kadang-kadang jika langkah kanan, penulis dipelawa makan tengah hari bersama.
Mokhtar (berdiri empat dari kanan) bersama skuad kebangsaan pada tahun 1970an. - Kredit foto: Media sosial
Hampir menitis air mata penulis melihat keadaan Mokhtar. Tubuhnya yang dulu sasa, tegap dan gagah amat kurus dan tidak bertenaga
Melalui persahabatan itu, penulis dapati Mokhtar seorang yang sangat mesra, tidak sombong sebagaimana diceritakan. Malah, isteri beliau, Tengku Zarina yang sering digambarkan seorang yang ‘berhidung tinggi’ juga sangat peramah serta melayan penulis dengan baik. Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta!
Apabila Mokhtar mula mengalami masalah kesihatan pada lewat tahun 1980-an, penulis beberapa kali mengunjunginya, bukan sebagai wartawan yang mengejar berita tapi lebih sebagai sahabat.
Namun, pertemuan terakhir kami beberapa bulan sebelum Mokhtar meninggal dunia meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada penulis.
Ketika itu, penulis mendapat tahu keadaan kesihatan Mokhtar merosot teruk sehingga tidak mampu lagi berjalan tanpa dibantu. Dan, penulis diberitahu, beliau tidak mahu ditemui mana-mana wartawan.
Tapi, sekali lagi penulis menggunakan ‘formula’ sebagaimana pertemuan pertama kami dahulu. Cuba dulu, baru tahu. Justeru, penulis mengambil keputusan untuk ’terjah’ sahaja ke rumahnya.
Apabila penulis sampai, adiknya, Mohd Nor yang menyambut dan mempelawa kami masuk. Tidak lama kemudian, Mokhtar keluar dari bilik dengan dipapah oleh Mohd Nor.
Keratan berita kematian Mokhtar.
Anak Mokhtar, Mohd Reza ditenangkan oleh pemain, Zainal Abidin Hassan selepas pengkebumian Mokhtar. - Kredit foto: Media sosial.
Hampir menitis air mata penulis melihat keadaan Mokhtar ketika itu. Tubuhnya yang dulu sasa, tegap dan gagah amat kurus dan tidak bertenaga, malah jalannya juga tidak stabil.
Timbul perasaan terharu dan bersalah kerana dalam keadaan sedemikian, Mokhtar masih menyambut kedatangan penulis yang tidak diundang malah melayan penulis dengan baik.
Kami berbual-bual. Suara beliau lemah dan tersekat-sekat, kadang-kadang sukar untuk penulis ‘menangkap’ apa yang dikatakannya.
Penulis tidak mahu berlama-lamaan di rumahnya kerana tidak mahu menganggu waktu rehatnya, lantas penulis memberi isyarat kepada jurugambar untuk merakamkan gambar Mokhtar sebelum kami pulang.
Ketika jurugambar sudah bersedia untuk membidik picu kameranya, Mokhtar tiba-tiba mengangkat tangan memberi isyarat tidak mahu dirakam gambarnya. Penulis akur dan meminta jurugambar menyimpan kembali kameranya.
Begitu pun penulis sempat bertanya Mokhtar, mengapa beliau tidak membenarkan gambarnya dirakam, beliau dengan suara yang sukar berkata: “Abang tak sanggup nak tengok gambar sendiri dan tak mahu peminat tengok keadaan abang sekarang.”
Sedih penulis mendengar ungkapan Mokhtar itu. Itulah pertemuan terakhir kami.
Pada 11 Julai 1991, Mokhtar Dahari meninggal dunia. Terasa masih baru, rupanya sudah 30 tahun Allahyarham berangkat ke alam abadi.
Sebagai wartawan, penulis berasa bertuah kerana sempat mengenali sosok bernama Mokhtar Dahari secara peribadi. Walaupun persahabatan kami singkat, namun amat bermakna kepada penulis.
Dan sudah tentu, pertemuan pertama dan terakhir penulis dengan Allahyarham akan terpahat sebagai kenangan yang paling sukar dilupakan.
Al-Fatihah. - KitaReporters
Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang adalah antara penghormatan yang diberikan kepada Allahyarham Mokhtar sebagai mengenang jasanya kepada negara. - Kredit foto: Perbadanan Stadium Malaysia.