Keluarga Malaysia suntik semangat! Keprihatinan PM naikkan semangat Mazelan! Hadapi sakit kanser!
Published byKEPRIHATINAN yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan sahaja menyuntik semangat Mazelan Manan berjuang melawan penyakit kanser paru-paru dihidapinya malah melonjakkan iltizamnya untuk terus menghasilkan skrip-skrip drama berkualiti.
Walaupun sekadar dikunjungi pegawai-pegawainya namun pesanan serta sumbangan yang dititipkan oleh Ismail Sabri melalui mereka kepada Mazelan sudah cukup untuk menjadi penawar yang sangat mujarab serta pembakar semangat kepada penulis skrip drama televisyen tersohor itu.
Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan kisah pesakit kanser
Ismail Sabri turut mendapatkan buku 'Himpunan Karya Lakon TV Terbaik' sebagai tanda sokongan kepada penulis skrip, Mazelan Manan yang menghidap kanser paru-paru tahap empat. - Kredit foto: FB Mazelan Manan.
Menurut isterinya, Siti Hawa Ibrahim, Mazelan begitu terharu apabila dikunjungi Setiausaha Akhbar Perdana menteri, Asyraf Afnan Ahmad Murtadza dan Pegawai Khas Media, Muhammad Akmal Fitri Suhaimi, di rumah mereka di Taman Perdana Jaya, Serada, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Turut serta dalam lawatan itu Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Nordina Haron dan Pengarah Zon Timur YKN, Zahimi Mohamad.
“Kami sangat berterima kasih dengan keprihatian yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri. Sungguh kami sangat terharu terutama Mazelan yang tidak dapat menahan sebak dan tangisan.
“Bagi kami, ia adalah satu penghargaan bila seorang Perdana Menteri sudi bertanya khabar rakyat biasa macam kami. Ia seolah-olah satu suntikan yang dapat meredakan penderitaan ditanggung pesakit kanser seperti Mazelan.
Mazelan (berbaju putih) tidak dapat menahan tangisan kerana terharu dengan kunjungan pegawai-pegawai dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan YKN, di rumahnya, baru-baru ini. - Kredit foto: BERNAMA
“Saya dapat lihat kesan positif pada diri Mazelan selepas kunjungan itu. Dia nampak lebih bersemangat berdepan ujian ini malah bermotivasi tinggi untuk terus berkarya terutama selepas PM berjanji akan memberi sokongan bagi memudahcarakan sebarang permohonan bagi meringankan bebanannya.
“Antaranya, Mazelan mungkin akan dijadikan ikon Makna (Majlis Kanser Negara) ekoran semangat ditunjukkannya dengan terus berkarya walaupun sedang berdepan ujian kanser. Kami belum diberitahu secara lengkap apakah perancangan Makna tapi Mazelan bersedia untuk memberi komitmen.
“Selain itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut berjanji akan mengeluarkan surat sokongan kepada permohonan Mazelan untuk mendapatkan dana penulis dari Perpustakaan Negara untuk buku ‘Himpunan Karya Lakon TV Terbaik’ karyanya yang sudah diterbitkan tiga bulan lalu.
“Malah, YKN juga berjanji akan turut membantu Mazelan. Apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah membuat permohonan melalui YKN negeri. Saya sangat bersyukur serta berterima kasih. Ternyata kunjungan pegawai-pegawai perdana menteri membawa hikmah tersendiri kepada kami terutama Mazelan,” kata Siti Hawa.
Mazelan dan Hawa ketika menghadiri Malam Anugerah Skrin 2013 anjuran TV3. - Kredit foto: FB Mazelan Manan.
Mazelan atau nama penuhnya Mazlan Abdul Manan, 58, menderita kanser hidung sejak dua tahun lalu sebelum ia merebak ke paru-paru sejak beberapa bulan lalu. Sepanjang tempoh itu, beliau sudah menjalani 35 kali rawatan radioterapi dan dua pusingan (18 kali) kimoterapi.
Menurut Hawa, suaminya itu yang yag sudah pulih daripada kanser hidung kini menghidap kanser paru-paru tahap empat, akan menjalani ujian tomografi berkomputer (CT scan) pada Julai 2022 sebelum menentukan bentuk rawatan seterusnya.
Walaupun keadaannya adakala tidak stabil dan lemah, namun sesuatu yang positif Mazelan tidak pernah berputus asa untuk terus berjuang melawan penyakit kanser itu malah masih meneruskan kerjayanya sebagai penulis skrip drama televisyen.
“Sebenarnya, menulis skrip juga merupakan salah satu terapi kepada Mazelan. Fizikalnya mungkin sedikit terjejas serta lemah tapi idea dan kreativitinya masih bagus. Setiap kali mendapat idea sesebuah cerita, dia terus mencatat. Setakat ini, sudah ada beberapa cerita dalam tangannya, jika ada penerbit yang bertanya, dia sudah sedia dengan ideanya.
“Sebagai
isteri, saya gembira apabila melihat Mazelan asyik di depan komputer kerana itu
menandakan dia sihat tapi kalau dia asyik berbaring serta tidak bermaya, hati
saya risau,” ujar Siti Hawa, 56, yang merupakan pesara guru.
Buku 'Himpunan Karya Lakon TV Terbaik' kini boleh dibeli pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. - Kredit foto: FB Mazelan Manan.
Mazelan
memulakan kerjaya sebagai wartawan sebelum beralih bidang sebagai penulis skrip
sepenuh masa. Setakat ini, beliau sudah menghasilkan beratus-ratus skrip drama
televisyen untuk pelbagai stesen serta memenangi banyak anugerah melalui
kategori Lakon TV Terbaik.
Antara karyanya yang meninggalkan kesan di hati penonton adalah ‘Lebih Bisa Dari Jelatang’, ‘Mawar Putih Tanda Perpisahan’, ‘Miang Buluh Keladi Birah’, ‘Menunggu Hujan Teduh’, ‘Masihkah Ada Ramadan’ dan banyak lagi.
Beberapa daripada skrip drama berkenaan kemudian dimuatkan dalam buku ‘Himpunan Karya Lakon TV Terbaik’ yang bermatlamat ‘serampang dua mata’ iaitu sebagai panduan kepada penulis terutama yang baharu berjinak-jinak dalam bidang penulisan skrip dan juga bagi mencari dana kos rawatan Mazelan.
“Alhamdulillah, setakat ini ramai kawan yang memberi sokongan moral dengan membeli buku ini, juga penulis-penulis muda yang sedang mencari plaform dalam bidang penulisan skrip.
“Buku ini memang boleh dijadikan panduan kerana selain dapat melihat contoh skrip, pembaca juga mendapat ilmu bagaimana proses menjual idea kepada stesen tv, membuat proposal, pitching dan full treatment,” kata Siti Hawa.
Buku 'Himpunan Karya Lakon TV Terbaik' menghimpunkan skrip-skrip terbaik karya Mazelan untuk dijadikan panduan kepada penulis-penulis baharu di samping mencari dana untuk kos rawatan.
Setakat ini pihaknya hanya memasarkan secara dalam talian dan ia masih dibuka untuk tempahan melalui pautan https://wa.me/message/D4ZKCDCORRHFO1 dengan harga RM58 (Semenanjung- termasuk pos) dan RM65 (Sabah & Sarawak termasuk pos).
“Insya-Allah, kami akan mengembangkan pemasaran melalui pelbagai platform. Sebaagai langkah permulaan, buku ini kini boleh diperolehi pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang sedang berlangsung sekarang (3 Jun- 12 Jun, 2022) di reruai Tokosue, 4076, Tingkat 4, WTC (Pusat Dagangan Dunia),” katanya. - KitaReporters
Beginilah keadaan Mazelan (baju merah) yang dikunjungi oleh beberapa orang sahabatnya baru-baru ini. -Kredit foto: FB Mazelan Manan.