Dakwah santai Bonda Siti! Usia tak halang Dr. Siti Rugayah jadi dai lalu penulisan, fotografi!
Published byFOTO yang dirakam Bonda Siti menggunakan telefon pintar yang memaparkan jajan klasik yang popular satu ketika dahulu. - Koleksi peribadi Bonda Siti
DI satu sudut sebuah rumah banglo yang terletak di atas sebuah bukit, kelihatan seorang wanita warga emas gigih mencari sisi terbaik untuk merakam foto pelbagai jajan yang pernah popular satu ketika dahulu menggunakan telefon pintarnya.
Asam buah kana, coklat Choki Choki, gula Nano, biskut duit, dua botol air loncan dan beberapa lagi jajan itu cuba diatur rapi berlatarkan sebuah almari lama yang lengkap berjaring.
Selain itu, terdapat juga sebuah telefon klasik berwarna hitam, bakul rotan, kotak kayu dan sebiji gelas kaca dijadikan prop untuk studio kecilnya.
Ternyata, hasil akhir bidikan wanita bernama Prof. Dr. Siti Rugayah Tibek itu sangat mempesona bak rakaman jurugambar profesional gayanya. Siapa sangka pada usianya mencecah 67 tahun, beliau yang mesra disapa Bonda Siti masih punya semangat dan kegigihan mendalami ilmu fotografi.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan fotografi
SALAH satu tugasan fotografi yang disiapkan oleh Bonda Siti selepas menyertai kursus secara dalam talian.
"Proses menuntut ilmu berlaku sepanjang hayat. Saya tidak mahu menjadikan usia lanjut sebagai alasan untuk berhenti belajar dan bersenang-senang di rumah," kata Bonda Siti dalam satu pertemuan antara kami beberapa bulan lalu.
Jika dilihat secara luaran, anak kelahiran Pontian,
Johor ini sudah memiliki segala-galanya.
Memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1989, beliau berjaya mendaki tangga demi tangga kejayaan sehingga dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan
Kepimpinan di Fakulti Pengajian Islam (FPI).
Kemudian, beliau diberi tanggungjawab menjawat
jawatan Timbalan Dekan FPI sebelum memegang portfolio Pengarah Institut Kajian
Rantau Asia Barat (IKRAB) yang diasaskannya bermula tahun 2007 hingga 2013.
Sepanjang 25 tahun kerjayanya di UKM, beliau telah berjaya menulis beberapa buah buku ilmiah selain menghasilkan lebih daripada 100 artikel yang tersiar dalam pelbagai jurnal yang diterbitkan di dalam dan luar negara.
GAMBAR kenangan sewaktu Bonda Siti menyertai satu persidangan antarabangsa di Universiti Goethe, Frankfurt di Jerman.
Selepas bersara wajib dari UKM pada 2014, beliau terus ditawarkan menjadi profesor di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selama lima tahun dan pernah dilantik sebagai ahli Senat Universiti dan Exco Jemaah Profesor USIM sebelum mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak pada 2019 disebabkan faktor kesihatan.
“Sebenarnya keputusan itu dibuat kerana saya
disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat. Keluarga menasihatkan saya
supaya berhenti bagi memberi tumpuan menjalani rawatan kemoterapi.
“Kemudian,
apabila saya disahkan bebas sepenuhnya daripada kanser yang dihidapi saya tidak melepaskan peluang menunaikan umrah di Tanah Suci. Di depan Kaabah saya memohon
petunjuk daripada Allah bagaimana lagi saya boleh menggunakan peluang nyawa
yang diberi untuk terus berdakwah.
“Ternyata, saya seolah-olah mendapat kekuatan untuk bermujahadah melakukan sesuatu kerana Allah. Apatah lagi, selepas mengikuti Seminar Penulisan Mega Bonda Nor pada penghujung 2018, ia menjadi titik tolak saya bergiat dalam bidang penulisan dakwah,” jelas Bonda Siti yang kemudian dilantik sebagai penasihat Akademi Bonda Nor, satu perkumpulan penulis dakwah yang diberi tunjuk ajar dan bimbingan secara percuma oleh pengasasnya, Bonda Nor.
PENYERTAAN Bonda Siti dalam Seminar Penulisan Mega Bonda Nor pada 2018 menjadi titik permulaan untuknya bergelar penulis dakwah santai berbanding menerbitkan bahan bacaan ilmiah ketika bertugas.
Sehingga kini, selain aktif menyertai kursus-kursus
fotografi untuk menambah kemahiran diri, Bonda Siti telah berjaya menghasilkan sebuah
buku solo bertajuk Aku Pasrah Kalian Pulang selain beberapa buah buku antologi dakwah santai yang diterbitkan oleh pelbagai rumah penerbitan.
Kesungguhan beliau menggunakan masa yang berbaki dengan sebaik-baiknya perlu dicontohi bukan sahaja oleh golongan seusianya, bahkan juga anak muda masa kini.
ANTARA buku solo dan antologi dakwah santai yang berjaya dihasilkan anak kelahiran Pontian, Johor ini.
Bayangkan, pada usia yang boleh kitakan supaya berehat dan beribadah sahaja di rumah, Bonda Siti tetap bersemangat membuat perkongsian ilmu melalui sesi live dalam laman Facebook.
Beliau memilih untuk berkongsi ilmu Tadabbur al-Quran
yang berlangsung pada setiap hari Ahad bermula pukul 9 hingga 10 pagi.
“Saya merupakan pensyarah dalam bidang dakwah, jadi rasa terpanggil untuk terus melakukan perkara ini selagi keadaan kesihatan mengizinkan. Masih ramai khalayak yang mungkin perlu disantuni dengan ilmu tadabbur untuk mendekatkan mereka kepada Pencipta,” ungkap beliau lagi.
PADA usia 67 tahun, wanita ini masih bersemangat berkongsi ilmu dengan khalayak melalui siaran live Facebook Tadabbur Al-Quran.
Meskipun ada juga suara-suara sumbang yang memandang
rendah usaha beliau, namun ia bukan penghalang buat wanita bersemangat waja ini
melakukan apa yang dicintainya.
Memetik kata-kata Bonda Siti dalam karyanya yang
bertajuk Hidayah Milik Allah dalam buku antologi Tiada Selain Dia:
“Oleh kerana hidayah itu milik Allah, kita sebagai dai perlu sentiasa berdoa. Usah berputus asa atas usaha kita untuk mencegah mungkar dan menyeru kepada makruf. Tugas seorang dai ialah mendidik bukannya mengejek. Memberi iktibar bukannya mengajar-ngajar. Kerja dakwah bukanlah terletak di atas bahu seorang dai semata-mata. Ia jatuh kepada setiap umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah. Laksanakanlah dengan dorongan iman dan takwa.”
Semoga setiap kebaikan dan kegigihan yang ditunjukkan Bonda Siti yang turut dilantik sebagai Profesor Kehormat Institut Islam Hadhari, UKM ini dapat kita ikuti sebagai pedoman dalam meneruskan kehidupan yang masih tersisa bagi meraih redha Yang Maha Esa. - KitaReporters
KELUARGA bahagia Bonda Siti yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepadanya.