Dari kem pelarian ke kota Paris! Kini dari padang bola, Nadia Nadim bakal ke bilik bedah pula!
Published byNadia Nadim bukan sahaja cantik serta hebat sebagai pemain bola sepak tapi turut memiliki otak yang pintar dan bakal bergelar pakar bedah rekonstruktif. - Kredit foto: Instagram Nadia Nadim
Jika anda mahu mencari role model atau suri teladan untuk anak perempuan anda, lihat kepada Nadia Nadim!
Mengapa? Siapa Nadia Nadim?
Bagi peminat bola sepak wanita, tentu anda mengenali siapa Nadia, pemain kelahiran Afghanistan yang sudah mewakili pasukan kebangsaan Denmark sebanyak 98 kali serta membantu kelab terkemuka Perancis, Paris St Germain (PSG) menjuarai liga bola sepak wanita negara itu buat pertama kali pada 4 Jun, 2021 lalu.
Tapi, Nadia bukan sekadar seorang pemain bola sepak sebaliknya adalah wanita yang sangat luar biasa. Dia mampu menguasai sembilan bahasa malah lebih hebat bakal bergelar doktor pakar bedah rekonstruktif selepas bersara daripada bola sepak kelak!
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan wanita hebat
Kredit foto" FB Nadia Nadim
Jika itu belum cukup untuk membuatkan anda kagum dengannya, kisah kehidupan masa lampaunya yang penuh tragis sudah pasti menjadi jawapan mengapa wanita berusia 33 tahun ini boleh dijadikan pencetus inspirasi atau suri teladan.
Nadia bukan dibesarkan atas ‘dulang emas’ sebaliknya di atas kerikil yang amat menyakitkan. Ketika berusia 11 tahun, dia dan adik-beradiknya sudah bergelar anak yatim apabila ayah mereka, seorang jeneral tentera Afghanistan dibunuh oleh puak Taliban.
Hidup dalam ketakutan, ibunya yang bergelar balu pada usia muda melihat masa depan lima anaknya akan kelam jika terus kekal di bumi Afghanistan, lalu dia menjual barang-barang berharga miliknya bagi membayar upah kepada penyeludup untuk membawa mereka keluar dari ‘neraka’ itu dan bercadang lari ke United Kingdom.
Zaman kanak-kanak Nadia (kiri) penuh cabaran apabila terpaksa menjadi pelarian di Denmark selepas ayahnya, seorang pegawai tentera Afghanistan dibunuh oleh puak Taliban. - Kredit foto: Instagram Nadia Nadim.
Perjalanan itu bukan mudah, mereka terpaksa menggunakan pasport palsu untuk menaiki kapal terbang, kemudian terkurung beberapa hari dalam lori yang ditumpangi dengan bekalan makanan dan minuman yang terhad namun kecekalan ibunya memberi semangat kepada Nadia dan adik-beradiknya.
Bila mereka akhirnya tiba ke destinasi dan pintu lori dibuka, mereka mendapati mereka bukan berada di Britain tapi Denmark!
Di negara itu, mereka ditempatkan di kem pelarian bersama ribuan pelarian lain. Nadia mengakui ia bukan kehidupan mudah apabila bergelar pelarian.
“Ketika itu apa yang saya fikir adalah mahu terus hidup, berjuang untuk hari berikutnya. Saya sering berfikir apa yang akan terjadi? Bagaimana saya mahu teruskan kehidupan esok pagi?”
Tapi, lama-kelamaan, Nadia dapat menyesuaikan diri hidup sebagai pelarian dan di sinilah dia mula mengenali sukan bola sepak, jatuh cinta dan akhirnya menjadi kariernya.
“Saya seronok melihat kanak-kanak bermain bola dan saya rasa mahu melakukan perkara yang sama,” kenang Nadia. “Sejak itu saya tidak pernah berpisah dengan bola sepak sehingga ia membawa saya ke kota Paris (mewakili PSG).”
Bermula di kem pelarian, Nadia membina kerjaya sebagai pemain bola sepak sehingga terpilih ke kelab terkemuka Perancia, PSG dan turut mewakili pasukan kebangsaan Denmark. - Kredit foto: Instagram Nadia Nadim.
Pasukan bola sepak wanita PSG menjuarai Liga Perancis musim ini, sekali gus menamatkan dominasi Lyon. Kredit foto: Instagram Nadia Nadim.
Nadia memulakan karier profesional bersama Fortuna Hiorring sebelum ke New Jersey, Porland Thorns, Manchester City dan akhirnya menyertai PSG pada Januari 2019. Dia menjaringkan 13 gol pada musim pertamanya bersama kelab terkemuka Perancis itu.
Pada 4 Jun 2021 lalu, Nadia membantu PSG muncul sebagai juara liga Perancis buat pertama kali bagi menamatkan dominasi Lyon selama 14 musim sebelum mengumumkan perpindahannya ke Racing Louisville FC.
Nadia percaya selain kesukaran yang dilaluinya hidup di kem pelarian, pendidikan awal ayahnya turut mempengaruhi kekuatan mentalnya untuk berdepan setiap cabaran. Sebagai tentera, ayahnya mengajar mereka supaya tahan lasak.
“Kami ibarat seorang tentera yang perlu bangun jika jatuh dan kembali ke medan perang, tidak kira siapa musuh anda,” ujar Nadia.
Menurut Nadia, Islam turut memberinya kekuatan untuk berdepan apa sahaja cabaran. “Agama membentuk saya supaya tidak lupa diri dan mampu menghadapi apa yang berlaku di sekeliling saya.”
Justeru, kejayaan tidak pernah membuatkan Nadia lupa kepada kehidupan masa lampaunya juga kepada anak-anak senasib dengannya yang kini hidup sebagai pelarian.
Sebagai Muslim, Nadia mengakui Islam menjadikan dia kuat untuk berdepan pelbagai cabaran hidup. - Kredit foto: Instagram Nadia Nadim.
Di luar padang bola sepak, Nadia tidak betah duduk diam apabila membabitkan diri dengan pelbagai kerja amal dan menjadi duta kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyantuni pelarian.
Malah, Nadia bekerjasama dengan PSG dan kelab sukan, KLABU mencari dana untuk membina kelab sukan di kem pelarian di seluruh dunia. Dia berharap, usaha sama itu akan dapat menyantuni anak-anak pelarian melalui sukan.
Projek pertama itu berpusat di Cox’s Bazar, Bangladesh yang mana KLABU dan PSG akan membina “Pusat Sukan” yang akan digunakan sebagai perpustakaan sukan, menyediakan peralatan sukan dan menawarkan latihan dan pertandingan untuk disertai kanak-kanak di kem pelarian itu.
Mengenai masa depannya, Nadia tahu dia memerlukan karier kedua selepas bersara kelak dan memulakan pengajian dalam bidang perubatan sejak mula bermain bola sepak secara profesional di Denmark.
Dia kini hampir menamatkan pengajian untuk melayakkan diri bergelar pakar bedah, khusus dalam pembedahan rekonstruktif.
Nadia Nadim, elegan, cantik dan berjaya. Wanita yang boleh dijadikan suri teladan. - Kredit foto: Instagram Nadia Nadim.
Selain dapat berbakti kepada mereka yang memerlukan khidmat pakar bedah, Nadia mengakui kerjaya doktor mampu memenuhi impiannya untuk hidup mewah, sesuatu yang tidak akan dicapaiya dalam bola sepak kerana pendapatan pemain lelaki dan wanita mempunyai jurang yang sangat tinggi.
“Saya tahu saya memiliki otak yang bijak dan saya tidak mahu mensia-siakannya. Sebagai doktor, saya akan memperoleh pendapatan yang saya impikan.
“Jika anda mahu membuat perubahan, anda perlu ada kebebasan penuh dari segi kewangan kerana pada akhirnya, jika anda mempunyai idea yang hebat, anda memerlukan pelabur.
"Dan jika seseorang lapar, mereka memerlukan makanan, bukan pelukan,” kata Nadia yang menduduki tangga ke-20 pilihan Forbes sebagai “Wanita Paling Hebat Dalam Sukan Antarabangsa” pada 2018.
Nadia mengabadikan kisah hidupnya dalam buku autobiografi bertajuk “Min Historie” yang diterjemah kepada “My Story.” - KitaReporters
Nadia sudah tampil sebanyak 98 kali dan menjaringkan 38 gol bersama pasukan wanita kebangsaan Denmark sejak 2009. - Kredit foto: Instagram Nadia Nadim.
Profil
Nama: Nadia Nadim
Lahir: 2 Januari, 1988
Tempat lahir: Heart, Afghanistan.
Posisi: Penyerang
Kelab sekarang: Racing Louisville FC
Kelab terdahulu: B52 Aaborg, Viborg (2005-06), IK Skovbakken (2006-12), Fortuna Hiorring (2012-15), Sky Blue FC (2014-15), Fortuna Hiorring (pinjaman- 2015-16), Portland Thorns FC (2016-17), Manchester City (2018), Paris St Germain (2019-21).
Nadia melayan peminat cilik yang membeli buku kisah hidupnya, 'Min Historie' (My Story). - Kredit foto: Instagram Nadia Nadim.