INILAH nilai persahabatan sejati… Bukan sahaja bersahabat oada saat senang dan bahagia malah bagi Hafiz Mahamad, Instafamous dan usahawan muda berasal dari Kelantan itu membuktikan persahabatan mereka sehingga akhir hayat. Awal pagi 22 Disember 2020, Hafiz menerima khabar duka sahabatnya Loh atau nama sebenarnya Wan Mohd Abdullah Wan Mohd Noor telah pergi buat selama-lamanya. : KitaReporters


Lagi kisah-kisah berkaitan Hafiz Mahamad:

https://kitareporters.com/search?search=hafiz+mahamad


Sebelum ini Hafiz banyak meluangkan masa dan sanggup terbang ke Kelantan selain membeli keperluan rakan baiknya itu selepas mengetahui keadaan Loh yang semakin uzur.

Katanya, sebaik tiba di Kota Bharu dia terus hospital untuk uruskan jenazah rakan baiknya yag dikenali sejak zaman sekolah rendah lagi dan membesar bersama.



Hafiz berkata, dia seolah-olah tidak percaya rakan yang selama ini sering berada di belakang dalam perjalanan hidupnya itu berada dalam kain kafan di hadapan matanya.

“Waktu di airport, menitis air mata saya. Rindu & cinta sangat dekat sahabat saya. Bila sampai di Kelantan terus ke bilik Jenazah, Ya Allah saya tak boleh tahan lagi diri ni. 

“Sahabat yang membesar & selalu sokong. Sekarang berada dalam kain kafan & saya hanya mampu rasa tangan sahabat dengan sentuh kain kafan tu. Tangan sahabat itu lah yg selalu angkat doa & usap kepala saya dulu untuk tenangkan saya,” kongsinya menerusi instagram miliknya yang disaksikan lebih 1.3 juta pengikut.



Lebih membanggakan, apabila melihat Hafiz sendiri sanggup mengimamkan jenazah rakan sepermainan sejak kecil lagi.

Malah van jenazah yang diwakafkan sebelum ini juga sempat berbakti sebagai kenderaan terakhir di dunia kepada Loh ke tanah perkuburan.

“Ada hikmah sebelum ni saya ada wakafkan van jenazah di masjid kampung saya. Hari ini, saya gunakan van tu untuk bawa sendiri jenazah sahabat saya Loh.

“Sampai di masjid, saya imamkan solat jenazah. Orang orang kampung saya ramai sangat datang untuk solat,” ujarnya lagi.



Berkongsi lagi mengenai perasan yang dilalui apabila kehilangan rakan baiknya, Hafiz menjelaskan dia terlalu sebak ketika mengimamkan solat sunat jenazah yang turut dihadiri penduduk di kampungnya di Penambang, Kota Bharu, Kelantan.

 “Takbir pertama saya okay, takbir seterusnya. Saya start menangis, sebak, badan saya menggigil & suara saya tak dapat tahan lagi sebak tu,” kongsinya.

Lebih memilukan apabila Hafiz sanggup turun ke lahad untuk ‘menghantar’ rakan baiknya sendiri.

Inilah yang dikatakan sahabat dunia dan akhirat! Jarang kita lihat situasi ini tapi Hafiz membuktikan persahabatan mereka bukan sahaja ketika hidup tetapi sehingga akhir hayat.

“Saya ke kubur, saya turun ke liang lahat. Saya nak sentuh & rasa tubuh sahabat saya hingga ke penamat,” ujar suami kepada Syafiqah Aina itu.



Sambil berkongsi rasa kehilangan Hafiz menjelaskan dia telah menunaikan janji dalam persahabatan mereka yang dibina sejak zaman kecil lagi.

“Loh, aku dah laksanakan janji aku dekat mu sebagai sahabat. Dari mu sakit sampai ke penamat, aku ada dgn mu. Sebab apa? Sebab aku tahu mu nampak aku & aku nak mu tahu aku betul betul nak jadi sahabat mu dunia akhirat,” ujarnya.

Beruntungnya Loh kerana memiliki sahabat yang mempunyai hati yang suci dan mulia seperti Hafiz yang layak dijadikan idola kepada anak muda bukan sahaja dalam berjaya dalam perniagaan sebaliknya juga dalam nilai persahabatan. Inilah definasi sebenar kawan sejati!

Salam takziah! Semoga Loh baik-baik sahaja 'di sana'. - KitaReporters


11
2
8
0
1

Copy Link: