Diari Mama Masscom| Video| Jangan pukul, aniaya pesakit mental! Bantu mereka! Buang stigma negatif!

Published by
KitaReporters

.


Kehidupan pesakit mental penuh dengan rahsia dan misteri yang sukar untuk kita ketahui. Masalah kesihatan mental ini memang tak tercapai oleh akal normal manusia untuk mengkaji lebih mendalam mengapa ramai yang sakit mental dan berkelakuan pelik.

Pelbagai anggapan dan tohmahan dilemparkan pada pesakit mental. Mereka sendiri dalam kebingungan mengapa jadi macam itu.

Masyarakat memang tidak suka pada golongan pesakit mental ini, individu yang ada masalah mental, sering dianggap pengacau dan menganggu ketenangan dan ketenteraman hidup masyarakat. 

Namun tak semua pesakit mental itu, dalam kategori "pengacau" ketenangan masyarakat. Kadang mereka hidup dalam dunia mereka sendiri dan tak pernah menganggu hidup orang lain. 

Namun mereka tetap dianggap masyarakat yang tidak berguna dan disisihkan dari masyarakat. Keadaan ini memang sangat menyedihkan.

Fikiran pesakit mental yang selalu kacau-bilau dan mengalami ketidakstabilan minda adakalanya membuatkan masyarakat rasa benci terhadap mereka ini. Situasi begini memang sangat menyedihkan kerana pasti mereka tidak minta jadi begitu. 

Kes seorang lelaki OKU mental yang dibelasah beramai-ramai di sebuah pasar Tani di Kemaman, Terengganu baru-baru ini sangat menyedihkan. Lelaki itu disahkan ada Kad OKU

Malah video yang dipaparkan menunjukkan orang yang membelasah OKU berkenaan sangat zalim dan mengambil tindakan undang-undang atas tangan sendiri. Lelaki OKU berkenaan dipukul, ditendang dan diseret di jalan tar tanpa belas kasihan, walaupun dia meminta maaf.



Menurut laporan beberapa media, lelaki berkenaan berlegar-legar menaiki motor di kawasan pasar tani. Ada seorang yang rasa kurang senang dengan perlakuan lelaki itu meronda didalam kawasan pasar tani, lalu menendang motor OKU berkenaan sehingga melanggar sebuah gerai menjual makanan. 

Berlaku sedikit perbalahan antara pemilik gerai dan lelaki OKU berkenaan, akibatnya orang ramai membelasah OKU berkenaan tanpa belas kasihan.

Sebagai Pengerusi sebuah NGO Kesihatan Mental (MaRMA) yang khusus kepada pesakit skizofrenia, penulis melihat kes ini sebagai sesuatu yang menyayat hati. 

Jelas sekali masih tidak ada kesedaran dalam diri masyarakat untuk mengetahu lebih mendalam mengenai masalah pesakit mental. Masyarakat juga tidak faham keadaan pesakit mental yang adakalanya mereka membuat sesuatu di luar kotak fikiran orang normal seperti kita. 

Pesakit mental tak faham mengapa orang mesti marah kalau hanya bawa motor di pasar tani. Mereka juga tak memahami perasaan orang lain sama ada marah atau berasa jengkel dengan kelakuan mereka yang tidak normal. Semua itu mereka tidak peduli dan tidak ambil tahu. 



Namun sebagai masyarakat setempat yang sudah mengenali OKU berkenaan seharusnya menasihatkan beliau untuk tidak berlegar legar di dalam pasar tani. Pendekatan untuk pesakit mental juga sangat berbeza dengan pendekatan bagi orang yang normal. 

Pesakit mental kadangkala boleh terima pujukan dan kata-kata lembut dan nasihat yang baik dengan cara yang berhemah dan sopan santun. 

Melalu pengalaman penulis yang menjaga anak sakit mental selama 19 tahun, mereka suka dipujuk, dinasihat dalam suasana yang baik, tenang dan tidak menggunakan intonasi yang keras. Jika kita keras mereka lebih keras dan berpotensi untuk menjadi agresif.



Berbalik kisah OKU yang dibelasah oleh orang ramai. Lelaki itu dikatakan dikenali masyarakat setempat dan mereka sudah tahu keadaan lelaki berkenaan seorang OKU mental. Dia dikatakan seorang yang baik dan suka membantu orang. 

Penulis berpendapat lelaki OKU ini dicabar dan dimarahi menyebabkan dia juga menjadi marah dan berbalah.   

Apa pun saya berpendapat, pesakit mental yang bebas keluar bergaul dengan masyarakat perlu memastikan penduduk setempat tahu keadaan kesihatan pesakit berkenaan.

Jika dia berkelakuan pelik, laporkan pada ahli keluarga atau nasihat dengan baik supaya dia tidak terus buat hal hal yang tidak disukai orang ramai. 

Peranan masyarakat setempat sangat penting membantu pesakit mental dan keluarga mereka menjalani kehidupan yang lebih baik. Jangan pulaukan pesakit mental dan keluarga mereka sebaliknya bergaul dengan mereka seperti biasa dan bagi sokongan moral untuk mereka menjalani kehidupan yang normal. 

Mereka tidak seharusnya dipukul dan dianiaya, mereka bukan binatang yang tidak ada perasaan dan tidak berasa sakit.  Adakalanya mereka tidak tahu perbuatan mereka mendatangkan marah pada orang ramai. Oleh yang demikian nasihat secara baik agar dia tahu perbuatannya itu tidak disukai.



Oleh yang demikian dengan kes-kes sebegini, sudah tiba masanya masyarakat dan pemimpin masyarakat diberi kesedaran untuk menangani masalah pesakit mental dengan baik tanpa menggunakan kekerasan. 

Galakkan pembentukan komuniti sokongan dalam kawasan kejiranan  yang ada ilmu dalam"Mental Health First Responds" (Tindak Balas Awal Kesihatan Mental) atau tindakan awal yang dapat dilakukan kepada individu yang ada krisis sakit mental. 

Selain itu, polis, Rela, ahli jawatankuasa kawasan perumahan setempat, ahli masjid dan orang ramai perlu dilatih untuk menangani masalah dengan pesakit mental tanpa menggunakan kekerasan dan elakkan cara yang boleh membuatkan pesakit bertambah marah dan aggresif. 

Info mengenai pesakit mental perlu dikongsi dengan masyarakat setempat supaya semua dapat bekerjasama dalam membantu pesakit mental menjalani kehidupan tanpa stigma negatif dari masyarakat. 

Masalah pesakit mental bukan hanya masalah masyarakat setempat tetapi ia adalah masalah global yang perlu ditangani dengan baik pada semua peringkat. - KitaReporters

6
6
0
11
0

Copy Link: