Video| Kanak kanak, remaja bukan Muslim turut cenderung terima Islam? Tapi apa alasan mereka revert?

Published by
KitaReporters

 

 Seorang ibu dan dua anak, bersyahadah di hadapan Sabeel Ahmed, antara indvidu paling aktif berdakwah di Amerika Syarikat.  - Kredit video: YouTube Sabeel Ahmed


Kita sering mendengar kenyataan bahawa Islam is the fastest growing faith @ religion (Islam agama terpantas berkembang) di kebanyakan negara. 

Jika rajin mengikuti perkembangan dan mendengar pengakuan ramai mualaf, kita akan terkejut bahawa yang menukar agama itu bukan saja dalam kalangan dewasa bahkan remaja dan kanak-kanak juga tidak ketinggalan kembali menerima Islam (revert) mengikut istilah kini.

Kita mungkin menyangka mereka ini berbuat demikian kerana ikut ikutan, hakikatnya masing masing mengambil keputusan setelah membuat kajian mendalam sehingga berpuas hati mengenai kebenaran Islam, barulah mereka bertukar daripada agama asal.

Daripada banyak pengakuan yang penulis dengar, ada beberapa kategori atau keadaan yang membuat mereka tertarik pada Islam:

Pertama golongan yang sudah buntu dalam pencarian jawapan kepada banyak persoalan di benak mereka, seperti apa matlamat dan tujuan hidup sebagai insan di muka bumi ini, untuk apa manusia dihidupkan, kenapa dan alam ini wujud dan siapa penciptanya dan banyak lagi. Pabila bertanyakan bijak pandai dalam agama asal mereka, tiada jawapan jelas. Penerangan yang diberi tidak logik sehingga akhirnya mereka keluar dari agama itu dan menjadi atheis ataupun masih beragama sama tetapi hanya pada nama.



Kedua adalah dari kalangan mereka yang meninggalkan Kristian kerana menolak konsep ketuhanan (Triniti @ tiga dalam satu), yang mana sangat mengelirukan serta tidak dapat diterima akal@tiada logik. Lantas mendorong mereka mengkaji agama lain seperti Buddha, Hindu dan sebagainya, dan selalunya yang terakhir adalah Islam. 

Sekali mereka meneliti Islam, rata rata tidak lama untuk mereka mengakui kebenarannya asbab dalam penyelidikan itu satu persatu persoalan yang selama ini terbelenggu di fikiran mereka telah terhurai. Melalui Islam, mereka mendapat jawapan jelas, boleh diterima akal @logik dan kebanyakannya menemui jawapan itu dalam al-Quran, yang mana penjelasannya rata-rata dianggap `mind blowing` (menakjubkan). Sesetengah daripada mereka bukan setakat khatam terjemahan al Quran malah tidak kurang siap mengkaji pelbagai hadis untuk memuaskan hati, ditambah pula dengan kajian melalui pelbagai buku Islam dan maklumat dalam talian, misalnya rujukan perbahasan tokoh agamawan dan dakwah dalam talian. Tidak hairanlah mereka boleh mengulas banyak hal, biarpun baru menyertai Islam, kerana sudah yakin dan faham banyak perkara.

Ketiga, rata-rata mereka ini asalnya dari kalangan kuat pegangan agama tetapi keluar apabila menyedari seperti ada yang tidak betul dengan konsep ketuhanan dan amalan penganutnya.  Jangan terkejut biarpun Kristian mengagungkan konsep Triniti tetapi yang berfikiran waras, tidak menerima semberono sebaliknya mereka percaya bahawa Tuhan itu semestinya satu, tak mungkin banyak dan berbagai rupa. Apabila disedari bahawa fikiran mereka seiring konsep ketuhanan Islam, lantas mereka mengakui "Inilah agama yang aku cari atau menyedari, "eh aku ni sebenarnya Islam", lantas tidak payah atau mengambil masa lama untuk bersyahadah.


Video temu bual dengan Ibrahim yang bersyahadah tahun lalu (Mac 2023), pada usia 14 tahun. Memilih Islam kerana menurutnya dalam ajaran Kristian ada terlalu banyak percanggahan sehingga tidak terkira. 


Keempat, satu lagi persamaan ialah dari segi tanggapan awal mereka terhadap Islam, hampir 100 peratus mengakui terpedaya dengan propaganda Barat yang memburukkan Islam. Sifat atau pandangan mereka terhadap Islam sebelumnya, adalah sebagai penentang malah ada bertekad tidak akan sama sekali menyertai Islam asbab tanggapan umum yang melabel Islam agama terrorist (pengganas), namun kesempatan bergaul dengan muslim, akhirnya menukar persepsi mereka terhadap Islam. Setelah melihat sendiri sifat dan adab terpuji Muslim, lantas membuka hati masing-masing untuk memulakan penyelidikan. Akhirnya mereka sedar selama ini telah tertipu oleh propaganda memburukkan Islam.

Kelima, titik permulaan lain, ramai juga mula mengkaji berpunca tragedi terburuk yang dikaitkan dengan Islam seperti peristiwa 9/11 (2001), iaitu serangan ganas yang meruntuhkan World Trade Center (WTC) di New York, Amerika Syarikat, mengorbankan ribuan nyawa. 

Keenam, ramai juga mengakui mula menukar persepsi setelah berkebetulan bertemu@berurusan dengan Muslim atau dengan negara Islam, mendedahkan sifat sebenar Muslim. Mereka dapati masyarakatnya baik, penuh nilai positif, mesra, memuliakan tetamu, bersifat sederhana, berdisiplin, kuat beragama. Sesuatu yang sangat dikagumi.

Salah seorang mualaf muda yang memilih nama Ibrahim menukar agama kepada Islam daripada Kristian seawal usia 14 tahun. Bayangkan kegigihannya, sebaik mendapat tahu mengenai satu program Islam di satu tempat melalui talian, dia yang berasal dari Livermore berjalan kaki tiga jam untuk menyertainya. Sewaktu ditemu bual di hadapan ramai peserta, katanya dia menapak 35,000 langkah untuk sampai ke majlis ilmu itu. 

"Pada usia 9-10, saya diajar bahawa Jesus adalah Tuhan namun dalam usia semuda itu, saya tahu Jesus bukan Tuhan. Ada sesuatu dalam diri saya mengatakan Jesus bukan Tuhan tetapi saya tahu dianya tetap penting. Saya tertarik kepada Islam dan membuat penyelidikan sejak di awal usia dan tidak mengambil masa lama untuk menerima kebenarannya. Tiga hari sebelum Ramadan pada Mac 2023, saya ke masjid bersyahadah," ujarnya disambut kalimah "takbir dan Allahuakbar!" oleh peserta. 

Sebab utama dia meninggalkan agama asal katanya kerana Kristian ada terlalu banyak percanggahan dalam ajaran/kitabe, tidak terkira.  "Saya percaya hanya Islam agama yang masih tinggal di dunia ni kerana semua agama lain telah kehilangan nilainya." Semuda itu dia pandai menilai sedemikian. 


Video perkongsian Hamza mengenai perjalanan beliau menemui Islam.  "Why I Reverted to Islam" Kredit video - Muslim Revert Stories


Loreno Hamza, seorang lagi  mualaf muda. Berasal dari keluarga Kristian di Itali katanya, dia revert kepada Islam sekitar satu setengah tahun lalu ketika usia 17 tahun. "Sebelumnya saya atheis, namun rasa ingin tahu, pertimbangan yang logik dan pencarian arah (hidup) membawa saya kepada Islam," katanya yang kini 19 tahun (2025).

Mula tahu pasal Islam sekitar 2014 atau 2015 apabila berlaku Serangan Paris yang mempersalahkan ISIS, ketika itu Hamza tegas untuk tidak jadi Muslim kerana label pengganas telah diprogram dalam fikiran seluruh masyarakat oleh media, maka sangkaan Islam pengganas dan penindas wanita, lama kekal.

Titik permulaan minat  Islam katanya apabila dia gagal peperiksaan dan kena ulang pengajian (sekolah tinggi) ketika usia 16 - 17 tahun.

"Walaupun ini sesuatu yang malang, namun Alhamdulillah saya kemudian sedar, kalau tidak kerana kena mengulang pengajian mungkin saya tidak kenal lagi Islam. Kisahnya saya dapat rakan baru di kelas ulangan, seorang Islam, Ameer namanya. "Kerana dia Muslim, saya ambil peluang bertanya sedikit hal Islam, seperti mengenai Isis dan kenapa wanita ditindas. Dengan penerangan Ameer, saya mulai faham, keterangannya sangat infomatif, banyak lagi hal yang diterangkannya, sehingga saya berasa perlu melihat lebih mendalam mengenai nilai agama itu, kemungkinan Islamlah yang benar. Setelah setahun setengah mengkaji, akhir saya putuskan untuk bersyahadah."

"Sebabnya sebelum itu hidup saya tiada arah, tak tahu nak jadi apa, tak tahu apa yang betul dan salah. Dalam Islam, ia memberi panduan yang jelas dalam pelbagai hal, sesungguhnya inilah agama yang benar. Jika anda tetiba rasa hilang atau tenggelam dalam hidup, segeralah bertindak untuk menjadi orang yang lebih baik."

Hamza juga berkongsi satu dugaan sebaik sahaja selepas bersyahadah, iaitu didatangi perasaan syak wasangka, adakah dia telah mengambil tindakan yang salah, semakin menurun keyakinan, namun pada masa sama disanggah oleh imannya yang mengatakan dia tidak boleh berundur setelah bersyahadah. "Alhamdulillah azam itu lebih kuat, dan kemudian saya sedar yang perasaan was was itu adalah mainan syaitan," ujarnya. 

Hamza mengakui bertuah kerana tidak mendapat tentangan daripada ibu, namun bapanya membantah tetapi hanya di peringkat awal. Sementara rakan rakannya yang bukan muslim kebanyakan tidak tahu, dia berusaha untuk merahsiakannya, jadi tidaklah banyak dugaan. Biarpun dia membuka saluran YouTube membahas hal berkait Islam tetapi tidak muncul di negaranya, setakat ini masih bebas memberi perkongsian, ibarat dakwah tidak langsung. Tonton video di atas untuk pengakuan lanjut.


Kisah revert Brother Omar dari Malaysia, pada usia 14. Kini berusia 17 (2025), dia yang asalnya Kristian, membuat penyelidikan mengenai Islam sejak 2013 - Kredit Video - IPSI


Brother Omar dari Malaysia, revert pada usia 14, kini sudah tiga tahun Muslim. Biarpun Kristian berkonsep Trinity, namun dia yang kini 17, percaya konsep itu berasal daripada Tuhan Yang Satu. "Yang musykilnya, kenapa Jesus (digelar) Tuhan?  Saya dapati kawan kawan baik Buddha, Hindu mahupun Kristian tidak sangat ambil berat soal amalan, hanya kawan Muslim yang komited. Dari situ saya mula belajar mengenai Islam melalui tokoh seperti Ahmad Deedat, Zakir Naik dan Hussein Lee. 

"Alasan utama mahu belajar kerana semangat ingin tahu, siapa sebenar pencipta kita? Malangnya tidak dapat apa diharapkan daripada kawan Muslim, maka saya cari di internet dan Alhamdulillah dipertemukan dengan IPSI (Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa). Saya kerap ke pusat itu, mereka melayani saya dengan mesra dan saya berasa seperti keluarga. Banyak ilmu disampaikan. Setelah dua tahun, saya bangga berpeluang jadi ahli," lanjutnya yang berazam untuk menjadi Muslim yang Terbaik. - KitaReporters

 

10
11
0
11
0

Copy Link: