Stigma masyarakat terhadap pesakit mental sangat menyedihkan. Seringkali jika seseorang itu didiagnosis mengalami masalah kesihatan mental, mereka akan dipulau dan adakalanya hak mereka sebagai manusia biasa juga dinafikan.  

Semua ni disebabkan kurangnya pendedahan masyarakat tentang masalah mental dan depresi sehingga menyebabkan wujudnya pelbagai stigma dan ketidakadilan daripada pihak tertentu, yang boleh menyebabkan pesakit mengelak untuk berbicara tentang penyakit ini secara terbuka dan mendapat rawatan.  

Ada juga pesakit yang nekad bunuh diri kerana tidak ada sistem sokongan yang baik daripada keluarga mahupun masyarakat setempat. Mereka sendirian melawan penyakit dan akhirnya tewas dalam suasana persekitaran yang tidak kondusif dengan penyakit mereka.

Sehubungan itu, bagi mantan pensyarah yang pernah berkhidmat di Universiti Teknologi MARA (UiTM), juga seorang pesakit yang didiagnosis dengan penyakit Skizo-Afektif (sejenis sakit mental), Rohayu Ayob sangat berharap, agar masyarakat lebih memahami apa sebenarnya yang dilalui seorang pesakit mental dari segi emosi dan juga fizikal. 

Melalui penulisan santainya dalAm buku "Aku Skizo-Afektik: Sebuah Permulaan Kisah Depresi dan Puisi," beliau menceritakan pengalaman peribadinya sebagai pesakit mental dan perjalanan hidupnya yang penuh berliku sehingga dapat kembali menjalani pada kehidupan yang normal. 

Buku terbitan Penerbit UiTM ini sudah ada di pasaran masa ini. Dijangka buku ini menjadi rujukan ramai pesakit dan perawat serta golongan profesional yang mengkaji mengenai masalah sakit mental.


Rohayu Ayob, penulis buku " Aku Skizo-Afektif : Sebuah Permulaan kisah Depresi dan Puisi" 

Rohayu, 42 tahun, yang berasal dari Kedah dan telah menetap di Terengganu lebih 20 tahun, menulis buku ini melalui pengalaman beliau yang telah melalui pelbagai fasa sakit mental sejak berusia 16 tahun lagi. 

Kekuatan dan kesungguhan beliau untuk sembuh melalui pelbagai pengalaman yang boleh dikongsi dengan pesakit skizo yang lain dan perawat mereka sangat dikagumi. 

Dalam buku ini, penulisan Rohayu sangat terperinci dan menyentuh perasaan pembaca khususnya mereka yang pernah mengalami situasi yang sama dengan Rohayu.

Menurut Rohayu lagi, karya ini merupakan sebuah jurnal kisah depresi yang direncanakan sebaik mungkin untuk dikongsi supaya pembaca terutama mereka yang berkait rapat dengan pesakit mental (ibu bapa, pasangan, ahli keluarga, sahabat dan lain-lain) dapat memahami dengan lebih dekat perihal depresi daripada persepsi seorang pesakit. 

Jika selama ini banyak buku seumpama ini ditulis oleh golongan profesional dan perawat, kini buku "Aku Skizo-Afektif" adalah pengalaman pesakit sendiri yang lebih banyak mengutarakan mengenai pengalaman dan cara rawatan serta peralihan masa ke arah yang lebih baik dalam menjalani kehidupan sebagai pesakit mental. Memang jarang-jarang ada buku seumpama ini.  

Rohayu menceritakan pengalaman dari awal mengalami simptom, perubahan emosi, gangguan penyakit sehinggalah berjaya didiagnosis dan selanjutnya berjaya mendapatkan rawatan  pakar. 

Sebagai seorang pesakit yang didiagnosis dengan Skizo-Afektif, beliau membawa harapan dan pengisian dalam penulisan kreatif ini supaya masyarakat di luar sana lebih berempati dengan mereka yang mengalami masalah penyakit mental dan depresi. 

Beliau yang terpaksa berhenti menjadi pensyarah kerana "sakitnya" mula menganggu kehidupan normalnya, menceritakan bagaimana sukarnya hidup sebagai pesakit mental yang menganggu kehidupan hariannya. 

Selain diganggu bisik-bisik dan suara-0suara jahat yang menyuruh berbuat sesuatu yang "tidak baik" seperti bunuh diri, beliau juga terpaksa menjauhkan diri daripada masyarakat kerana tidak boleh berada dalam suasana yang bising dan hingar bingar.

Adakalanya sedikit bunyi juga boleh mengganggu mindanya dan disebabkan itu dia pernah mengurung diri dalam bilik dalam keadaan gelap untuk mencari ketenangan.  

Semua itu diceritakan dalam buku yang sangat berguna untuk pesakit dan perawat menjadikan panduan.


Rohayu (kanan sekali) pada sesi Republika Merah di Pameran Buku Antarabangsa 2024 baru baru ini.


Rohayu sangat berharap karya ini dapat membantu serta memberi kekuatan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi buat mereka yang sama-sama menghadapi masalah mental dan depresi.  

"Besar harapan saya, mereka yang menderita penyakit ini supaya dapat menjalani kehidupan seadanya, cuba bangkit semula, di samping berusaha mendapatkkan bantuan yang sewajarnya daripada keluarga, masyarakat dan juga ahli profesional."  Ini nasihat Rohayu pada penderita sakit mental.

Rohayu yang berpewatakan lembut dan sangat sopan bila berbicara, menjadikan aktiviti menulis sebagai salah satu terapi yang berkesan dalam mencari kesembuhan  di samping proses rawatan-rawatan lain yang dijalaninya. 

Sebagai seorang ibu kepada empat cahaya mata, Rohayu menganggap penyakit ini satu ujian dan sangat berharap beliau dapat menjalani kembali kehidupan seperti normal. 

Rohayu sangat berterima kasih kepada suaminya yang sangat memahami apa yang beliau lalui sejak berkahwin hampir 20 tahun lalu. Kekuatan sistem sokongan yang beliau dapat terutama daripada suami tercinta adalah antara faktor kuat beliau dapat melawan penyakit ini. 

Beliau kini adalah seorang penulis bebas dan usahawan yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan selain aktif dengan pelbagai persatuan yang memperjuang kesihatan mental seperti MIASA (Mental Illness Awareness and Support Association) dan MarMA (Malaysian Resilience Mind Association). 

Rohayu berpendapat rezeki itu pada tangan Allah dan yang penting menjaga kesihatan mental supaya tidak terlalu stres dalam kehidupan dan mengisi masa lapang dengan kerja-kerja yang bermanafaat untuk diri dan masyarakat. - KitaReporters

16
8
0
11
0

Copy Link: