Ustaz Arizal Abdul Latif menggunakan van yang diubah suai bagi kelas membaca al-Quran di kawasan parkir Denai Larian, Pengkalan Asam, Kangar, Perlis.

Ustaz Arizal menunjukkan silibus Q20 bagi memudahkan pelajarnya membaca al-Quran.

KELAS membaca al-Quran di dalam van. Konsep unik ini dipelopori oleh seorang bekas tentera dari Kor Agama (Kagat), Kapten (Bersara) Ustaz Arizal Abdul Latif, 54.

Pengasas Pertubuhan Unic Prihatin ini menceritakan dia telah membuka kelas al-Quran untuk orang dewasa secara percuma sejak dua tahun lalu.

Sehingga kini beliau menjadikan tempat letak kereta atau parkir di Denai Larian di Pengkalan Asam, Kangar, Perlis sebagai lokasi tetap bagi melaksanakan program kerohanian ini.


Ustaz Arizal Abdul Latif

"Matlamat saya hanya mahu mengajar orang dewasa yang "buta huruf" al-Quran, jadi janganlah malu dan segan untuk belajar," katanya.

Ustaz Arizal memberitahu, punca dia membuka kelas membaca al-Quran ini selepas Persatuan Down Syndrome Perlis menyerahkan sebuah van jenis Inokom pada tahun 2022.

"Ia ibarat "orang mengantuk disorongkan bantal" kerana saya memang memerlukan sebuah van untuk diubah suai menjadi sebuah kelas bagi mengajar al-Quran," katanya.

Katanya lagi, dia telah memperbaiki semula van yang rosak ini termasuk menguba hsuai dalamannya dengan kos kira-kira RM10,000.

Ketika ditanya kenapa memilih van sebagai kelas, Ustaz Arizal memberitahu, kosnya jauh lebih murah berbanding menyewa bangunan terutama di kawasan Kangar.

"Setakat ini, saya hadkan perbelanjaan RM300 sahaja setiap bulan bagi menampung kos minyak apabila enjin kenderaan dan penghawa dingin dihidupkan semasa kelas berlangsung," katanya.

Atas sebab itu beliau cuma menghadkan masa kelas hanya sejam setengah sahaja pada setiap hari.


Ustaz Arizal bersama sebahagian pelajar yang mengikuti kelas membaca al-Quran di dalam van.

Katanya, kelas berkenaan diadakan hanya empat hari seminggu iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis mulai pukul 8.45 pagi hingga 10.15 pagi atau 9 pagi hingga 10.30 pagi.

Beliau memberitahu, biasanya masa belajar hanya 20 minit kepada setiap pelajar.

Setakat ini, Ustaz Arizal berkata, dia menggunakan modul Q20 yang silibusnya diubah suai olehnya berdasarkan pengalaman ketika mengajar dalam angkatan tentera.

Katanya, sehingga kini lima pelajarnya yang langsung tiada asas al-Quran sudahpun boleh membaca.

Beliau berkata, biasanya selepas itu terserah kepada pelajar sama ada akan meneruskan kelas kendaliannya atau ke tempat lain untuk lebih mahir dalam hukum tajwid.


Hasnah Ismail

Salah seorang pelajar paling tua, Hasnah Ismail, 71, dari Kampung Syed Omar, Sungai Batu Pahat, Kangar juga masih meneruskan pengajian al-Quran dengan Ustaz Arizal.

"Saya mula belajar sejak tahun 2018 apabila anak mencadangkannya setelah melihat iklan kelas al-Quran oleh Ustaz Arizal," katanya.

Beliau akui tidak malu untuk belajar sekalipun sudah berusia dan ternyata usahanya kini mendapat keberkatan.

Bagaimanapun sampai ke hari ini, semangat belajar Hasnah tidak pernah pudar apabila sanggup menunggang motosikal dari rumahnya bagi meneruskan usaha mendalami ilmu al Quran di kelas Ustaz Arizal.  - KitaReporters


Ustaz Arizal menyusun peralatan yang digunakan sebaik kelas membaca al-Quran selesai.

8
9
0
12
0

Copy Link: