Peta negara Peru di Amerika Selatan.

DUA puluh dua tahun lalu pada Jun 2002, pendaki gunung, William Stampfl, ketika itu berusia 58 tahun, berlepas dari California, Amerika, bersama dua rakannya, Steve Erskine dan Matthew Richardson, untuk bercuti ke Peru di Amerika Selatan.

Dalam rangka percutian 19 hari itu mereka merancang mendaki Gunung Huascaran, gunung tertinggi di Peru dengan ketinggian 22,000 kaki (6,706 meter). Ia juga merupakan gunung tertinggi di Andes. Gunung ini terletak 270 batu (435 kilometer) ke utara Lima, ibu kota Peru.

Tetapi hasrat mereka bertiga menawan puncak tidak tercapai. Sewaktu mendaki berlaku runtuhan salji menyebabkan ketiga-tiga sahabat tersebut mati tertimbus. 

Hanya hanya mayat Erskine berjaya ditemui selepas kejadian. Mayat Stampfl dan Richardson terkubur dalam salji gagal ditemui walau pelbagai usaha mencari dilakukan.


Pemandangan indah puncak Gunung Huascaran yang memutih dilitupi salji.


Selepas itu kisah mereka semakin dilupakan. Kaum keluarga juga menerima hakikat salji menjadi tanah perkuburan orang disayangi. Sebarang harapan untuk menatap mayat buat kali terakhir tidak mungkin jadi kenyataan.

Namun dengan kuasa Allah, keajaiban boleh berlaku. Tidak diduga selepas 22 tahun, mayat Stampfl ditemui di pergunungan tersebut pada awal minggu lalu oleh pasukan keselamatan Peru. Mayat dikesan ketika berlaku pencairan salji di Banjaran Andean Cordillera Blanca, di mana terletaknya Gunung Huascaran.

Mayat masih dalam keadaan baik seperti ‘mummy’. Pakaian mendaki masih melekat di badan, termasuk but masih melekat di kaki. Mayat utuh dan pakaian mendaki tidak rosak kerana terpendam lebih dua dekad dalam timbunan salji.

Tempat mayat ditemui berhampiran sebuah kem di Gunung Huascaran. Pihak berkuasa Peru mengenal pasti mayat Stampfl berpandukan pasport Amerika yang ditemui bersama mayat. Turut ditemui ialah lesen mamandu. Pasport dan lesen masih elok, memudahkan pihak berkuasa mengecam mayat.  


Selepas 22 tahun, mayat William Stampfl ditemui di Gunung Huascaran berkeadaan seperti 'mummy'. Pakaian mendaki serta but masih lekat di badannya.


Gunung Huascaran yang terletak di timur laut Peru dianggap banjaran berbahaya kerana faktor cuaca sejuk selain risiko berlaku runtuhan salji. Pemandangan memang cantik dengan puncak gunung sentiasa memutih diliputi salji.

Sekali pun menyedari risiko ini, banjaran tersebut menjadi tumpuan ramai pendaki dari seluruh dunia, terutama yang meminati pendakian sukar. Mereka menganggap ini satu cabaran, sekali pun berdepan kemungkinan berjaya mencapai misi atau tewas ditimbus oleh salji.

Tahun ini sahaja berlaku kejadian meragut nyawa pendaki di pergunungan tersebut. Seorang pendaki dari Itali terbunuh sewaktu mendaki tetapi mayatnya dijumpai. Seorang pendaki Israel pula hilang ketika mendaki April 2024 lalu. Mayatnya hanya ditemui sebulan kemudian.

Tetapi jika sudah berminat, halangan dan bahaya tidak dipeduli.  Seperti juga nasib Stampfl dan dua rakannya yang mahu memenuhi keinginan ‘memeluk’ Gunung Huascaran tetapi akhirnya dipeluk salji. Mayat Stampfil sudah ditemui. Mayat Richardson nampaknya terus terkubur.


Pasukan keselamatan Peru membawa turun mayat William Stampfl yang ditemui di Gunung Huascaran selepas 22 tahun hilang.


Untuk rekod, Peru ialah sebuah negara di Amerika Selatan, berkeluasan 1,285,216 kilometer persegi dengan penduduk berjumlah 32 juta orang. Ia negara ke-19 terbesar di dunia dan ketiga terbesar di Amerika Selatan. Peru bersempadankan Ecuador, Colombia, Bolivia dan Brazil. Bandar terbesar ialah Lima, merangkap ibu negara. - KitaReporters

 

 

 

12
16
0
9
0

Copy Link: