Opah Ngomel| Filem Ibu Mertuaku tak relevan? Kalau dapat ibu bapa mentua Yusof Haslam, Patimah Ismail!

Published by
KitaReporters


DALAM filem Ibu Mertuaku, seniman agung negara, Tan Sri P Ramle menggambarkan bagaimana seorang ibu mentua yang tidak mahu menantu seorang ahli muzik, mengatur rancangan memisahkan anak perempuannya dengan suaminya. 

Gambaran itu "melekat"  begitu lama kepada pasangan yang berkahwin. Adakah mereka menerima tempiasnya.

Begitulah bila berlaku perceraian, jari akan kerap menunding kepada ibu bapa mentua. Tentu mereka tak suka menantu itu, begitu begini sehingga rumah tangga runtuh. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ibu bapa mentua


Namun di sebalik perpisahan itu ramai juga yang sangat bertuah terutama era baharu ini bila pendidikan sudah semakin maju dan ibu bapa mentua pula boleh menjadi tonggak kekuatan untuk anak menantu.

Ini yang Opah lihat, di sebelum tercemarnya imej cerai dan lafaz talaq ini. 

Cerailah kata mudah. Opah kagum betullah, betapa bertuahnya kalau kita dapat extended famili (keluarga besar) terutama ibu bapa dan mentua. Inilah hadiah Allah SWT berikan kepada wanita bertuah, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin  (PS) merupakan seorang pelakon dan peragawati wanita Malaysia. 

Nikmat  mentua yang sangat luar biasa, baiknya. 

Kini media sosial sedang 'membicarakan' kes Puteri Sarah dengan suaminya Mohd Syamsul Mohd Yusof  (SY)  tuntutan cerai dan kes penderaan emosi yang dilalui PS serta campur tangan kedua-dua belah pihak keluarga dan mentua melindungi PS daripada 'serangan' dan kes perkahwinan kedua pengarah filem Mat Kilau.

Bayangkan ibu bapa ini menggantikan menantunya sebagai "anak" dan anaknya pula orang asing dalam hidup mereka.



Berapa ramai daripada kita yang disayangi sebegitu. Ikutkan Datuk Yusof Haslam (DY) dan isterinya, Datin Patimah Ismail tu bukan calang-calang orang. Kaya, berpengaruh dan disegani segenap lapisan masyarakat.

Tapi bila bab memilih antara anak menantu,mereka tegas berdiri teguh di belakang PS dan bukannya SY. Ajaibkan, bila takdir memihak kepada PS yang sabar selama 9 tahun dengan karenah suaminya.

Ada bapa mentua yang memihak kepada anak dan menantu baharu kerana terpengaruh dan sudah tentulah sayangkan darah daging sendiri.

Tapi dalam kes ini, Datuk Yusoff dan isterinya yang membantu memindahkan nantu dan dua cucunya apabila konflik rumah tangga PS dan SY berlaku. Malah dalam kes tuntutan cerai PS, DY beri restu kepada isterinya sebagai pencelah sebagaimana SY mahu menjadi pencelah.

Kita tabik pasangan ini yang berdiri teguh mempertahan PS dan melakukan apa saja untuk menyelamatkan PS. 

Ketika PS bersungguh-sungguh mencari rezeki, mentua itu membuka pintu kediamannya untuk dijadikan lokasi penggembaraan koleksi fesyen PS. Datin Patimah pula dengan senang hati memasak makanan kegemaran cucu-cucunya bagi meringankan tekanan kerja PS di lokasi penggambaran.



Anda boleh berbangga dengan kemewahan hidup tapi tak ramai yang merasakan dirinya sangat bertuah mendapat mentua yang bukan saja baik dari segi layanan tetapi juga mengorbankan nama baiknya demi mempertahan menantu kesayangan. 

Opah puji dan tabik pasangan Datuk Yusof dan Datin kerana pengalaman mendapat mentua yang baik adalah sesuatu yang di luar dugaan. 

Kita fikir berkahwin dengan anak mereka tidak perlukan susah payah melayan mentua. Begitu juga mentua mendapat menantu yang baik adalah balasan daripada kebaikan yang kita buat pada usia muda. Menghormati ibu bapa, orang tua dan mendahulukan keluarga dalam pelan hidup.



Sebab ada mentua tak suka menantu, habis dibomohkan menjadikan rumah tangga mereka porak peranda. 

Ada juga mentua kalau terlebih kaya, dapat menantu miskin menjadi hamba abdilah di rumah dan ada juga mentua yang mewajibkan anak-anak menanggung keluarga sepenuhnya dengan mengabaikan anak isteri sehingga makan minum di rumahnya ditanggung oleh isteri.

Opah juga nak pesan satu saja bagi orang muda, jangan banggalah dengan kuasa talaq atau lafaz cerai kerana silap haribulan anda akan dilanda gila talak. 

Mulut tu jangan ringan sangat lafaz cerai pada isteri kita. Buat pula melalui WhatsApp atau media sosial. Bimbang video itu tular sehingga usia anak dewasa. 

Bayangkan anak-anak melihat  wajah mencermik bapa mereka ketika melafazkan talaq itu.



Bila dah terlepas, janganlah berpura-pura 'baik' dengan kata ada sinar bahagia di hujung terowong, pura-pura lupa ingatan (yang ni niat kena perbetul, bimbang anda dilaknak kerana berbohong). 

Jika pada masa muda ini anda meninggalkan anak-anak kecil bersama bekas isteri dan anda pula bergelak tawa kerana ada calon baru. Kesannya jangka masa tua dan ingat masa anda sakit serta keseorangan. Paling teruk duit pun dah habis dibelanjakan untuk bersukaria.

Berapa ramai kita saksikan bagaimana lelaki menjadi geladangan, nasib baik ditempatkan di rumah orang tua kerana 'buang' zuriat sendiri demi kejar tuntutan nafsu syahwat yang menggila masa muda. 

Ingat pesan orang tua-tua, ada perkara kita kena taat. Sihat sebelum sakit, muda sebelum tua dan kaya sebelum miskin.

JANGANLAH pula udahlah tua bangka, sakit kronik, wang pula tiada, anda menyalahkan anak-anak yang tak peduli!. - KitaReporters


14
8
0
13
0

Copy Link: