KEPRIHATINAN ke bawah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menjamin kesejahteraan rakyat jelata tidak dapat dinafikan lagi. Terbaharu kewujudan pusat bersalin di Klinik Kesihatan Tekek di Kampung Tekek, Pulau Tioman adalah atas cetusan idea ke bawah duli tuanku. 

Bakal ibu tidak lagi perlu risau untuk melahirkan anak di tanah besar apabila Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman sudah menyediakan pusat bersalin di klinik berkenaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ibu-ibu bersalin

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyerahkan replika kunci kenderaan pacuan empat roda kepada Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman. - Kredit foto: Facebook Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail


Kewujudannya adalah hasil cetusan idea dan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.  

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus pada taklimat beliau sempena lawatan kerja Seri Paduka ke Pulau Tioman pada 19 Februari 2023 yang turut membabitkan kunjungan ke klinik kesihatan itu.

Turut berangkat, anakanda Seri Paduka iaitu Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Dr Nor Azimi berkata, Seri Paduka menitahkan pusat bersalin di wujudkan di pulau itu selepas baginda pada Mac 2022 lalu dimaklumkan, semua kelahiran anak penduduk berlaku di luar pulau.

"Seri Paduka menitahkan pusat bersalin diwujudkan bagi memudahkan penduduk Pulau Tioman untuk bersalin di sini dan tidak perlu bersusah payah ke Rompin atau Mersing di Johor," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, pusat bersalin itu dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Katanya, MUIP secara keseluruhan telah menyumbang RM2.92 juta untuk Klinik Kesihatan Tekek dengan RM2.37 juta adalah bagi aset dan RM545,000 adalah peruntukan naik taraf bangunan klinik yang sudah beroperasi sejak 2003.

Ketika ini, klinik berkenaan mempunyai 38 kakitangan pelbagai jawatan selain turut mengelola tiga klinik desa lain di pulau itu yang terletak di Kampung Juara, Kampung Genting dan Kampung Mukut.


Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli melawat ke Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman.


Tahun lalu (2022), klinik itu menerima kedatangan 4,580 pesakit dengan 35 peratus daripadanya adalah pelancong

Selain perkhidmatan pesakit luar, kecemasan dan kesihatan ibu dan anak, Klinik Kesihatan Tekek turut menyediakan perkhidmatan pergigian bermula Oktober 2022 lalu.

Dr Nor Azimi berkata, semua fasiliti kesihatan di pulau itu dilengkapi talian Internet jalur lebar MyGovNet selain KKM meluluskan pemasangan jalur lebar lebih stabil yang membolehkan konsultasi sidang video dilakukan bersama pakar, selain sistem pengurusan pesakit dilakukan secara 'paperless'.

Beliau memaklumkan, Klinik Kesihatan Tekek merupakan klinik kesihatan pertama di negara ini yang menerima 'Advanced portable ventilator', 'High-end Ultrasound Machine' dan 'Cardiac Monitor Defibrillator'.

Pada lawatan kerja itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menyempurnakan penyerahan ambulans pacuan empat roda sumbangan MUIP, selain menyantuni tiga ibu hamil yang bakal menjadi pesakit terawal di pusat bersalin itu.

Turut serta, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda juga berkenan mendengar taklimat perancangan pembinaan masjid utama Pulau Tioman di tapak masjid sedia ada di Kampung Tekek, yang dapat memuatkan 761 jemaah selain turut membabitkan pembinaan kuarters kakitangan.

Seri Paduka juga berkenan mengurniakan sumbangan kepada 41 penerima terdiri daripada penduduk Pulau Tioman sebelum mencemar duli berangkat ke Jamuan Rakyat di sebuah pusat peranginan di pulau itu.

Selepas inim penduduk Pulau Tioman terutama bakal ibu tidak perlu lagi menaiki feri untuk melahirkan kandungan apabila pusat bersalin sudah memulakan operasinya di Kampung Tekek. 

Terima kasih tuanku. - KitaReporters


Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli merakam kenangan bersama pegawai dan kakitangan Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman. - Kredit foto: Facebook Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

10
12
0
10
0

Copy Link: