Meriah! Ratusan hadir majlis jamuan raya Pusat Jagaan Mahmudah, Nur Hasanah! Raikan para penyumbang!
Published byMohd Sany Hamzan menerima cenderamata yang disampaikan oleh Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin.
AHLI Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mengingatkan masyarakat supaya terus mengambil berat dan mengekalkan langkah pencegahan wabah penyakit berjangkit walaupun menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri sepanjang Syawal 1444H/2023M ini.
Beliau berkata, dalam situasi cuaca panas sekarang dan penularan kembali wabak Covid-19 masyarakat sepatutnya memandang serius perkara itu dan jangan sekali-kali bersikap enteng terhadap bahaya penyakit yang sudah ditempuhi beberapa tahun lalu.
Menurutnya,
masyarakat hendahlah mendengar serta mematuhi nasihat pihak berkenaan terutama
supaya memakai pelitup muka apabila berada di kawasan tumpuan ramai orang serta
tidak bersesak-sesak pada satu-satu masa.
Tambahnya, oleh itu apabila mengunjungi majlis jamuan rumah terbuka adilfitri atau kenduri perkahwinan dan sebagainya perlulah berhati-hati dan mengambil langkah selamat pencegahan demi kebaikan bersama.
Antara penyumbang menerima cenderamata penghargaan daripada Mohiadin sambil diperhatikan Azman Rasman dan Muhammad Syafiq (kanan).
Jelasnya, kita semua sudah melalui situasi susah dan sukar untuk bergerak berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19 yang lalu dan keadaan itu hendaklah dicegah daripada berulang kembali.
“Perkara ini hendaklah menjadi iktibar yang berguna dan selalulah mengambil berat mengenai penjagaan kesihatan diri terutama menjaga kebersihan tangan sebelum menjamah makanan dan sebagainya,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) , di Semenyih, Selangor pada 6 Mei 2023.
Lebih 500 tetamu hadir pada majlis itu termasuklah anak yatim, pelajar pusat tahfiz, menyumbang serta menginfak yang sentiasa memberi sokongan, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk sekitar yang disambut pengurusan PJMM diketuai Pengerusinya, Azman Rasman.
Mohd Sany (duduk dua dari kanan) beramah mesra dengan tetamu pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor pada 6 Mei 2023.
Mohd Sany berkata, walaupun Ramadan sudah meninggalkan kita tetapi kita hendaklah terus mengekalkan semangatnya dengan terus mengamalkan amalan mulia bersedekah, mengeratkan hubungan silaturahim serta sering membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Menurutnya,
amalan mulia itulah yang disemaikan sepanjang Ramadan lalu dan hendaklah
menjadi amalan sepanjang kehidupan kerana di luar sana ramai mereka yang
memerlukan sedikit perhatian daripada kita semua terutama untuk berkongsi
rezeki.
“Dalam kemewahan kita nikmati ini di dalamnya ada rezeki yang perlu dikongsi dengan mereka yang tidak keberadaan atau susah bagi meneruskan kelangsungan hidup apabila serba kekurangan termasuk mereka berteduh di pusat jagaan,” ujarnya.
Harolhanam Mohamed Wahid (kanan) menyampaikan cenderamata PJNH kepada Abdullah Morad.
Pada Majlis Jamuan Raya Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor pula, Presiden Persatuan Pegawai Pembangunan Masyarakat Perubatan Malaysia, Harolhanam Mohamed Wahid, berkata persatuan berkenaan sentiasa mengikuti perkembagan warga emas terdampar tanpa waris yang ditempatkan di pusat jagaan.
Menurutnya, persatuan juga turut sama berusaha membantu pusat jagaan yang menempatkan warga emas selepas discaj dari hospital kerana tiada tempat untuk berteduh selain disisihkan ahli keluarga dengan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada mereka itu.
Jelasnya,
sesetengah pusat jagaan berkenaan diwujudkan atas inisiatif pegawai kerja
sosial hospital yang sudah bersara tetapi berasa bertanggungjawab untuk terus
menyantuni warga emas tanpa waris supaya tidak terbiar atau menjadi
gelandangan.
“Usaha murni mereka ini walaupun tidak didendang tetapi komited dengan dibantu sukarelawan mengurus dan menjaga warga emas termasuk mereka yang uzur atau terlantar di atas katil dengan penuh kasih sayang,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri PJNH pada 13 Mei 2023.
Harolhanam (kanan) menyampaikan cenderamata kepada penyumbang yang sering membantu PJNH.
Turut hadir memeriahkan majlis jamuan raya itu, mantan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Dato’ Abdullah Morad; Ketua Jabatan Pengurusan Sosial dan Kebajikan Lembaga Zakat Selangor, Saiful Anuar Abdullah Saleh; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; dan pelbagai ahli dari NGO.
Harolhanam
berkata, sebagai masyarakat yang berprihatinan adalah seharusnya turut sama
membantu pusat jagaan itu dengan menghulurkan pelbagai sumbangan sama ada dari
segi kewangan atau barangan makanan keperluan asas.
Tambahnya, walaupun pusat jagaan berkenaan menerima sumbangan tahunan dari pihak berkenaan seperti Lembaga Zakat atau Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) namun belum mencukupi untuk menampung kos operasi yang menelan perbelanjaan puluhan ribu ringgit setiap bulan.
“Dengan dibantu sukarelawan pelbagai NGO mereka tetap gigih berusaha mencari sumber kewangan atau barangan keperluan tanpa mengenal erti penat lelah asalkan warga emas yang disantuni dapat meneruskan sisa kehidupan dengan sempurna,” katanya lagi.
Sazali Mohiden menyampaikan cenderamata kepada pelajar Pusat Perubatan Universiti Malaysia yang hadir memeriahkan majlis jamuan raya PJMM.
Sementara itu Sukarelawan Kasih menghulurkan sumbangan kewangan kepada pusat jagaan anak yatim dan maahad tahfiz yang diinfak pelbagai pihak termasuk individu prihatin pada Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Anak Yatim & Tahfiz di Semenyih, Selangor, 14 Mei 2023.
Pengasas
dan Pengerusinya, Mohd Nazri Abdul Latif, berkata bagi meraikan anak yatim dan
juga pelajar tahfiz supaya dapat mewujudkan hubungan ukhuwah yang baik dengan
masyarakat sekitar dan jemaah surau serta masjid terletak berdekatan pejabat
persatuan yang turut hadir pada sambutan berkenaan.
“Sebagai sebuah NGO kami sentiasa berusaha membina jalinan silaturahim yang berkekalan dengan komuniti setempat kerana secara tidak langsung memudahkan untuk menghulurkan bantuan atau sebagainya apabila berlaku musibah,” ujarnya. - KitaReporters
Mohd Nazri Abdul Latif (duduk depan sekali, dua dari kanan) bersama pelajar maahad tahfiz yang menerima sumbangan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Anak Yatim & Tahfiz anjuran Sukarelawan Kasih.