Video| Kau sekolah tak? Wanita Jepun sangka orang Malaysia masih tinggal dalam hutan! Netizen bengang!

Published by
KitaReporters


Kalau orang Barat atau Eropah tak kenal dan tak tahu di mana negara Malaysia, mungkin masih boleh diterima. Tetapi kalau orang Asia, ia sesuatu yang tidak logik terutama negara-negara berdekatan. Takkan mereka tidak belajar sejarah dan geografi dunia ketika di bangku sekolah! Sekurang-kurangnya buat rujukan dalam Internet atau media sosial.

Itulah yang berlaku ke atas seorang wanita Jepun yang mengaku pada mulanya menganggap orang Malaysia masih tinggal di dalam hutan. Namun setelah datang dan tinggal di Malaysia selama setahun setengah, dia terkejut dan berubah pandangan. Malaysia tidak seperti yang digambarkannya.



“Saya fikir Malaysia seperti hutan, ada banyak pokok, tumbuh-tumbuhan dan juga zirafah. Selepas datang sini, saya dapati Malaysia tidak seperti itu. Ada banyak bangunan pencakar langit. Ada banyak kedai kopi bergaya (hipster), restoran dan kedai. 

"Ia adalah persekitaran yang lebih maju dan mewah. Saya terkejut. Ia seperti di Tokyo,” katanya menjawab soalan pengacara.

Ketika ditemu bual dalam satu rancangan seperti podcast, wanita itu juga menceritakan pandangannya terhadap kaum-kaum di Malaysia. Pengakuan jujur wanita itu, mendapat perhatian netizen-netizen Malaysia. 

Paling tidak boleh diterima netizen, wanita itu menganggap orang Malaysia masih tinggal di dalam hutan, sama dangkal seperti sesetengah orang Barat dan Eropah. Padahal wanita itu juga tinggal di negara Asia. Dalam beberapa segi, Malaysia lebih maju daripada mereka.


Pandangannya berubah setelah datang ke Malaysia.


Penulis agak bersetuju dengan beberapa pandangan netizen. 

Terfikir juga, adakah di sekolah, mereka tidak diajar tentang sejarah dan geografi dunia? Sedangkan di Malaysia kita belajar semua itu. Paling koman pun kita diajar tentang sejarah dan geografi Asia dan Asia Tenggara.



“Kita di Malaysia belajar semua sejarah di dunia ni. Dan tahu apa terjadi. Tapi mereka sikitpun tak ambil peduli bab negara luar, kenapa? Padahal Google dan Internet sendiri ada,” tulis seorang netizen seakan geram.

Ada juga netizen berpendapat hal tersebut terjadi kerana banyak iklan mempromosikan Malaysia hanya memaparkan keindahan alam semula jadi Malaysia seperti hutan. Sekali fikir, ada logiknya juga.



“Memang betulpun dalam iklan sebelum ni jarang tunjuk bandar-bandar. Ia banyak tunjuk budaya dan hutan Belum, hutan hujan tropika. Itu yang aku nampaklah,” jelasnya.

Namun, kita tidak boleh pukul rata semua orang luar seperti itu. Percaya atau tidak, dalam media sosial Malaysia makin dikenali.

Makin ramai orang luar datang dan mengenali Malaysia. Malah, Malaysia juga menjadi tempat para youtuber mencari pengikut. Secara tidak langsung, mereka membawa nama Malaysia ke peta dunia. - KitaReporters


Ini adalah contoh youtuber dari Jepun yang sudah jatuh cinta dengan budaya dan makanan di Malaysia.

8
15
0
5
0

Copy Link: