.


BANJIR yang melanda beberapa kawasan di Kelantan terutama di Gua Musang, Tanah Merah dan Kuala Krai pada Disember 2024 menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS). Mereka bukan sahaja terpaksa meninggalkan rumah tapi harta benda termasuk perabot, kenderaan, tanaman dan haiwan ternakan.

Kerugian setiap kali banjir memang menyayat hati kerana mereka terpaksa memulakan kehidupan baru selepas air bah surut, membersihkan rumah yang penuh dengan lumpur dan terpaksa menggunakan apa sahaja untuk menyara kehidupan. 

Bagi keluarga yang mempunyai anak ramai, tanggungjawab untuk memberi makan amat dirasakan.

Justeru, bagi meringankan penderitaan selepas dilanda banjir, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor (Misi Amal) mengambil usaha segera bagi menggerakkan ahli-ahli dari ibu pejabat di Selangor dan Kelantan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa kampung di Kuala Krai, Kelantan.   

Inilah wira-wira Misi Amal yang sanggup datang dari Selangor untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan.


Ketua Biro Penggerak MIsi Amal, Ustazah Norhayati Sulaiman berkata misi dua hari di Kuala Krai membantu 53 keluarga membabitkan tujuh kampung yang kebanyakan tinggal di kawasan ladang kelapa sawit yang jauh di pedalaman sehingga sukar pihak berkuasa memberi bantuan malah ada yang tidak mendapat sumbangan apa-apa.

Beliau berkata, pada hari pertama, Misi Amal memberi tumpuan mengagih-agihkan sumbangan kepada 40 keluarga asnaf di Kampung Mial yang terjejas teruk selepas penempatan mereka dilanda banjir dan mereka amat memerlukan keperluan harian dan barangan makanan.

Ustazah Norhayati Sulaiman


"Walaupun ditimpa ujian yang hebat, kami melihat wajah mereka tenang dan reda menerima ketentuan Ilahi malah kehadiran kami disambut dengan penuh kegembiraan, hampir menitis air mata melihat keadaan mereka selepas banjir surut. 

"Alhamdulillah, sedikit bekalan yang kami bawa antaranya beras, minyak masak, tepung, telur, mi segera, gula, pampers pakai buang, sabun mandi, berus dan ubat gigi, toto (alas tidur), tuala mandi memberi senyuman kepada mereka.

"Kami turut memberi sumbangan wang tunai yang diinfakkan oleh ahli-ahli dan orang ramai bagi membolehkan mereka menggunakan untuk membeli keperluan harian dan perbelanjaan sekolah anak-anak," katanya yang masih mampu tersenyum walaupun masih dalam keletihan selepas selesai misi banjir di Kuala Krai, Kelantan selama dua hari.    

Hari kedua misi bantuan mangsa banjir, mereka mengunjungi sebuah keluarga untuk membaiki kediaman yang tertangguh sebelum ini iaitu menyediakan bekalan air, elektrik, tandas, dapur, pintu dan bumbung yang rosak. 

Ustazah Norhayati (dua dari kanan) singgah di sebuah rumah penduduk yang menjadi mangsa banjir untuk menyampaikan bantuan dan memberi kata-kata motivasi supaya reda dengan ujian Allah.  


Beginilah keadaan rumah yang rosak teruk selain mengalami bumbung bocor di Kuala Krai, Kelantan.


Seterusnya, ahli Misi Amal menziarahi keluarga mangsa dibaham oleh harimau pada 24 Oktober 2024, Allahyarham Adnan Ismail, 54, yang maut dipercayai diserang pak belang di hadapan pintu rumah kongsi di Hutan Simpan Amanjaya, Gerik, Perak.

Kejadian itu berlaku ketika Allahyarham Adnan ingin ke tandas kira-kira jam 5 pagi. Mayatnya ditemukan jam 12 tengah hari, kira-kira 100 meter daripada rumah kongsinya.

Allahyarham Adnan meninggalkan dua orang balu dan 10 anak berusia enam hingga 30 tahun. Walau anak-anaknya bekerja di kedai makan dan kilang papan, sumbangan yang diterima itu sedikit sebanyak membantu perbelanjaan keluarga besar mereka.

Inilah keluarga Allahyarham Adnan Ismail di Kuala Krai yang menjadi mangsa dibaham oleh harimau di kediaman rumah kongsinya di Gerik, Perak.


Biro Penggerak Misi Amal menyampaikan sumbangan barangan dapur seperti beras kepada mangsa banjir.


"Selepas menziarahi dua keluarga terbabit, kami meneruskan agihan sumbangan kepada 11 keluarga di empat kampung yang lokasi penempatan mereka terpencil dan terpaksa melalui jalan ladang sawit yang berlumpur selepas banjir.

"Senyum dan ucapan terima kasih yang diterima menguatkan semangat ahli biro penggerak Misi Amal, malah rasa penat dan keletihan yang menghantui selama dua hari melakukan tugas-tugas membantu mangsa banjir, terubat," katanya.

Ustazah Norhayati amat berpuas hati misi dua hari membantu mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan mencapai matlamat bagi menyantuni mereka yang ditimpa musibah selain berkongsi rezeki terutama dari ahli dan orang ramai yang memberi sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian. 

Ahli Misi Amal bergotong royong menyiapkan barangan untuk disampaikan kepada mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan. 


Sepanjang dua hari, biro penggerak Misi Amal mengunjungi tujuh kampung antaranya Kampung Mial, Kampung Petalin, Kampung Sedek, Kampung Serendah, Kampung Lubuk Berang, Kampung Bukit Arang dan Kampung Sungai Embak.

"Dua hari yang amat meletihkan tapi juga membahagiakan kerana dapat mengagih-agihkan barang keperluan harian serta wang tunai yang diinfakkan oleh ahli dan orang ramai di seluruh negara.

"Bagaimanapun, kami masih memerlukan sumbangan orang ramai terutama wang ringgit bagi membolehkan Misi Amal membantu lebih ramai golongan miskin, asnaf, ibu tunggal, anak yatim dan golongan B40 di seluruh negara.

"Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan derma atau infak boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun Maybank 562263560241 atas nama Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor," katanya. - KitaReporters

Lega selepas semua sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai diserahkan kepada mangsa banjir dalam tempoh dua hari mereka di Kuala Krai, Kelantan.


Anggota Biro Penggerak Misi Amal bergambar bersama penghuni yang menjadi mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan. 

11
17
0
10
0

Copy Link: