Sepakat bawa berkat! Peniaga Jalan Lintang anjur makan percuma! Hargai pelanggan! Kukuhkan ukhuwah!
Published bySERAMAI 300 orang hadir pada majlis makan percuma, tahlil dan doa selamat anjuran peniaga gerai makan Jalan Lintang, Taman Seri Gombak, Batu Caves.
DALAM apa bidang perniagaan sekali pun, pelanggan adalah aset yang sangat bernilai. Selain servis, hubungan baik dengan pelanggan memainkan peranan penting dalam memastikan mereka tidak lari. Apatah lagi jika anda berniaga makanan.
Menyedari hakikat itu, peniaga-peniaga gerai makanan di Jalan Lintang, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor sepakat menganjurkan majlis jamuan pada 16 Februari 2025 lalu untuk meraikan pelanggan sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan.
Majlis yang berlangsung selepas waktu Isyak itu diisi dengan acara tahlil dan doa selamat membabitkan peniaga-peniaga dan masyarakat setempat khususnya pelanggan tetap mereka.
ISHAK Ismail dan isterinya merupakan penggerak utama kepada majlis anjuran peniaga Jalan Lintang.
Menurut pengerusi jawatankuasa penganjur, Ishak Ismail, seramai 50 orang peniaga membabitkan 14 gerai di situ berkongsi kos dan bergotong-royong memasak dengan menyediakan pelbagai juadah.
“Majlis makan percuma ini kami anjurkan sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepada pelanggan. Pada masa sama, ia turut bertujuan mengukuhkan kesepakatan dalam kalangan peniaga, juga untuk menjalin ukhuwah dengan pelanggan kami.
“Majlis juga diadakan sebagai tanda kesyukuran dan menyambut Ramadan. Selain makan-makan, turut dianjurkan adalah majlis tahlil dan doa selamat yang turut dibuka penyertaan kepada pelanggan,” kata Ishak.
Kira-kira 300 pelanggan hadir memeriahkan majlis itu malah ada antara mereka yang turut memberi sumbangan untuk sama-sama menjayakannya.
PELBAGAI juadah makana dihidangkan.
Ishak berkata, memandangkan majlis dibuat pada skala kecil kerana bajet yang terhad, mereka tidak mampu menjemput keseluruhan komuniti di Taman Seri Gombak.
“Sebenarnya, kalau hendak jemput semua penduduk di sini, jumlahnya beribu-ribu dan kosnya pasti tinggi. Justeru, kami hanya menjemput pelanggan tetap,” katanya.
Begitupun menurut Ishak, mereka merancang mengadakan majlis lebih besar sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri nanti sebagaimana pernah mereka anjurkan pada Aidilfitri tahun 2024.
Kuih muih juga disediakan.
“Sebenarnya majlis kali ini bukanlah yang pertama sebaliknya adalah yang keempat. Sebelum itu sudah tiga majlis kami anjurkan. Namun, yang paling meriah adalah Rumah Terbuka 2024 lalu yang mana kehadirannya lebih 3,000 orang.
“Selain itu kami juga pernah menganjurkan majlis seumpama itu semasa sambutan Hari Kemerdekaan. Ia menjadi tradisi kepada kami.
“Untuk menganjurkan majlis seumpama itu, kami memerlukan sumbangan dana daripada pelbagai pihak kerana kosnya sangat tinggi. Insya-Allah, kami merancang akan menganjurkannya lagi pada raya tahun ini (2025).
“Saya berharap selain wang sumbangan daripada peniaga, ramai pihak lain akan tampil untuk menaja,” ujar Ishak.
MAJLIS makan percuma mengeratkan hubungan peniaga dan pelanggan.
Sementara itu, Ishak berkata beliau merancang untuk menubuhkan sebuah persatuan untuk peniaga di gerai Jalan Lintang demi menjaga kepentingan dan kebajikan mereka sebagai peniaga.
“Selama ini kami bergerak tanpa persatuan, bila nak anjurkan sesuatu majlis baru kami tubuhkan jawatankuasa untuk mengendalikannya.
“Tapi, saya fikir jika ada sebuah persatuan yang memayungi kami, lebih mudah untuk kami bergerak. Kalau nak mohon sumbangan pun lebih mudah sebab ada hitam putih.
“Jika ada masalah antara peniaga dengan pihak tertentu, kami boleh menggunakan saluran persatuan untuk berbincang dan menyelesaikannya.
“Pada masa sama, apa saja masalah dihadapi peniaga sama ada berkaitan perniagaan atau peribadi, boleh dibincang melalui persatuan untuk kami sama-sama membantu. Ia juga secara tak langsung mengukuhkan lagi kesepakatan dalam kalangan peniaga,” katanya. - KitaReporters
BIHUN goreng antara juadah yang dihidangkan pada majlis itu.