Kenapa buang seni saya? Artis grafiti kecewa hasil seni dihapus! Hilang seri! Minta kebenaran dulu?
Published byIa jelas kelihatan lebih ceria dan cantik setelah ditambah seni grafiti.
Grafiti mengikut keterangan Wikipedia ialah tulisan atau lukisan yang dilakarkan pada dinding atau permukaan lain, selalunya tanpa pengetahuan atau kebenaran pemilik binaan dicoret serta dalam pandangan umum.
Seni ini telah wujud sejak zaman purba termasuk dalam tamadun-tamadun Mesir, Yunani, dan Romawi.
Pada zaman moden pula, cat (terutamanya jenis semburan) dan pen penanda telah menjadi bahan paling biasa digunakan untuk menghasilkan grafiti.
Kedai mini ini kelihatan usang dan buruk sebelum ditambah seni grafiti.
Di kebanyakan
negara termasuk Malaysia, grafiti tanpa kebenaran adalah termasuk dalam
kategori jenayah vandalisme. Jadi, ia biasanya akan dihapuskan oleh pihak
berkuasa.
Di Malaysia
terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, grafiti terdapat di
mana-mana sama ada yang dibenarkan atau sebaliknya. Ada grafiti yang menyemak
mata memandang dan ada juga grafiti yang sedap mata memandang.
Pada 12 Mac 2025 lalu, seorang artis grafiti Malaysia dikenali sebagai Cloakwork meluahkan perasaan kecewa apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghapuskan hasil seni grafitinya di sebuah kedai mini tradisonal di perhentian bas.
“Kepada Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur yang dihormati, mengapa anda membuang seni saya?
“Perhentian bas
ini, dengan kedai mini tradisional, pada asalnya dibina oleh kerajaan untuk
menyokong golongan yang kurang bernasib baik. Mereka membenarkan orang ramai
menjual barangan seperti soda, penyejuk, makanan ringan dan banyak lagi.
“Selalunya mereka melayani penumpang bas atau pemandu teksi yang menunggu berdekatan. Kini, kedai mini ini tidak lagi ditemui di perhentian bas moden. Hanya sebilangan kecil sahaja yang tinggal di bandar dan banyak yang berada dalam keadaan daif.
“Pada suatu hari, semasa saya melalui salah satu perhentian ini, saya terfikir sendiri, mengapa tidak menggunakan kemahiran saya untuk memberikannya ubah suai yang segar dan bertenaga serta menceriakan kawasan itu? Daripada membelanjakan wang pembayar cukai untuk menutup seni saya yang tidak berbahaya, mengapa tidak cuba memperbaiki jalan yang berlubang?” luahnya kecewa.
Melihat gambar-gambar grafiti yang dikongsinya itu, memang benar ia cantik dan menyegarkan kedai mini usang tersebut.
Namun bagi penulis sendiri, salah tetap salah walau secantik manapun seni itu. Alangkah bagus kalau ia mendapat kebenaran pihak berkuasa iaitu DBKL terlebih dahulu.
Perkongsian ini turut mendapat perhatian netizen. Seperti biasa, ada yang setuju dan tidak dengan tindakan DBKL menghapuskan seni grafiti tersebut.
“Kalau tak ada kebenaran, dikira vandalisme kan?” soal netizen. Ada juga netizen mencadangkan agar dapatkan kebenaran terlebih dahulu.
“Bang, memang
tak salah tapi tak silap saya dari dulu proses nak buat seni macam ni kena ada
kebenaran pihak berkuasa dan kebanyakan kes macam ni jadi sebab ada yang buat
aduan. Saya cadang abang usul semula kepada DBKL,” saran netizen tersebut.
Sementara itu,
ada juga netizen yang kecewa dengan sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) di
tempatnya yang suka mengutamakan orang luar berbanding orang tempatan.
“Aku tak faham kat daerah aku sanggup panggil orang dari Australia semata-mata nak lukis mural di bangunan. Bayar mahal ratus ribu, yang aku hairan kenapa tak nak panggil orang tempatan? Anak bangsa kita hina sangat ke?” luahnya geram.
Manakala dalam hantaran lain, Cloakwork berkongsi gambar tangkap layar di mana luahannya mendapat reaksi daripada DBKL.
Namun peliknya, mesej yang diterima itu menunjukkan pihak DBKL seakan-akan memuji dan mengagumi hasil karya seninya. “Hai Cloakwork. Kami suka karya anda di sekitar Kuala Lumpur. Teruskan!” tulis mesej tersebut.
Kesimpulannya, dapatkanlah kebenaran terlebih dahulu untuk menghasilkan karya seni seperti ini.
Sayang memang sayang kerana ia hasil seni anak tempatan. Malah seni itu juga sebenarnya mampu menarik para pelancong untuk bergambar dan memberi impak positif kepada industri pelancongan negara.
Harap juga PBT mengutamakan anak tempatan terlebih dahulu. - KitaReporters