Tahniah! Sambut ulang tahun perkahwinan ke-70! Apakah rahsia kerukunan rumah tangga Muhammed, Rahmah?
Published byMELAYARI bahtera perkahwinan serta mengekalkan sebuah rumah tangga selama 70 tahun bukanlah sesuatu yang mudah namun sikap sabar menjadi ‘kata kunci’ kepada pasangan Muhammed Long, 92 tahun, dan Rahmah Siling, 83, dalam mengharungi pelbagai badai sepanjang tempoh tujuh dekad bergelar suami isteri.
Muhammed dan Rahmah yang menyambut ulang tahun perkahwinan ke-70 pada 25 Disember 2022 lalu, diijab kabul pada 25 Disember 1952, atas pilihan keluarga yang tinggal sekampung di Jasin, Melaka.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan hal-hal rumah tangga
Hasil perkahwinan, Muhammed Long dan Rahmah Siling dikurniakan tujuh anak, barisan depan Nurhidayah (kiri) dan Zuraidah (kanan) sementara barisan belakang (dari kiri) Basariah, Zulkefli, Zahari, Abbas dan Rafidah.
Ketika mendirikan rumah tangga, Muhammed yang lahir pada 31 Oktober 1930, baru berusia 22 tahun sementara Rahmah, lahir pada 4 Jun 1939, seorang anak dara sunti berumur 13 tahun, namun mereka matang dalam mengemudi hidup sebagai suami isteri.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tujuh orang cahaya mata yang terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan iaitu Nurhidayah @ Hawiah (kini berusia 69), Datin Zuraidah (68), Zahari (64), Zulkefli (61), Basariah (60), Abbas (58) dan Rafidah (50) serta dilengkapi oleh 40 cucu dan lebih 30 orang cicit.
Sebagai penanggung tunggal keluarga, Muhammed yang bekerja sebagai guru terpaksa turut melakukan pelbagai pekerjaan sampingan seperti bersawah padi dan berniaga di pasar tani bagi menampung keperluan hidup mereka anak-beranak.
Isterinya, Rahmah pula yang menjadi suri rumah sepenuh masa turut membantu dengan membuat dan menjual kuih serta turut membanting tulang di sawah.
Surat nikah bukti penyatuan Muhammed dan Rahmah sebagai suami isteri pada 25 Disember 1952.
Menurut anak bongsu mereka, Rafidah, kehidupan Muhammed dan Rahmah terutama pada awal perkahwinan mereka agak susah dalam membesarkan anak-anak. Walaupun bekerja sebagai guru dan mempunyai pendapatan tetap namun ia belum mencukupi untuk menampung keperluan mereka sekeluarga.
“Sebagai guru, ayah sangat mementingkan pendidikan anak-anak. Dia akan melakukan apa sahaja demi memastikan kami semua mendapat pendidikan setinggi mungkin. Justeru, dia sanggup membanting tulang bagi menyediakan keperluan persekolahan kami.
“Emak pula, walaupun hanya seorang suri rumah namun tidak duduk diam. Selain menjalankan tanggungjawab rumah tangga, dia berusaha membantu ayah dengan membuat dan menjual kuih di samping turut turun ke sawah.
“Kakak-kakak dan abang-abang saya sempat melalui keperitan hidup ini sementara saya sebagai anak bongsu, agak beruntung kerana ketika saya dilahirkan dan dibesarkan, kehidupan keluarga kami sudah agak senang kerana ada antara abang-abang dan kakak saya sudah bekerja,” kata Rafidah.
Zaman muda Muhammed dan Rahmah.
Menyingkap rahsia keutuhan rumah tangga kedua-dua ibu bapanya, Rafidah berkata, berdasarkan pemerhatiannya, ia berkat kesabaran mereka dalam mengharungi kehidupan.
Rafidah tidak menafikan, perselisihan faham antara suami isteri memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam sesebuah rumah tangga. Ia tidak terkecuali kepada ibu bapanya namun selalunya tidak berpanjangan, ibarat air yang berkocak di dalam cawan sahaja.
Walaupun perkahwinan atas pilihan keluarga, namun ia bukan halangan untuk Muhammed dan Rahmah membina kebahagiaan dalam rumah tangga.
“Kata orang sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Macam pasangan lain, ada ketika emak ayah saya pun berselisih pendapat dan bergaduh tapi tidaklah sampai menghancurkan keharmonian antara mereka.
“Selalunya, bila hal ini berlaku, saya lihat ayah banyak beralah. Bila emak mula ‘bersyarah’, ayah jarang membalas, sebaliknya hanya mendengar, cuma sesekali saya dengar dia meninggi suara kepada emak.
“Tahap kesabaran ayah memang tinggi, mungkin itu sifat semula jadinya sebagai guru. Saya melihat ayah jenis seorang yang tidak suka membesarkan sesuatu isu sebaliknya lebih suka mendiamkan diri.
“Emak pula jenis yang suka berterus terang dan cakap secara ‘direct’ apa yang dia rasa tidak kena walaupun kadang-kadang kata-kata atau tegurannya mengguris hati. Emak tidak suka memendam, sebaliknya luahkan apa yang terbuku di hati.
Muhammed dan Rahmah memotong kek ulang tahun perkahwinan mereka.
“Sebagai anak, saya sendiri kadang-kadang terasa hati dengan ungkapan emak tapi bila difikirkan semula, apa yang dikatakan itu ada benarnya, cuma, mungkin cara penyampaiannya tidak enak untuk didengar.
“Bila berdepan situasi sebegini, saya lebih mengambil pendekatan seperti ayah iaitu bersabar dan saya rasa, saya banyak mewarisi sikap ayah dalam kehidupan saya.
“Namun, saya tidak nafikan emak juga mempunyai sifat sabar yang tinggi dalam menghadapi kesusahan hidup bersama ayah malah turut sanggup membanting tulang untuk meringankan beban ayah. Pada masa sama dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu,” ujar Rafidah.
Bagi Rafidah, sifat sabar itulah yang menjadi kunci kepada keharmornian rumah tangga kedua-dua ibu bapanya sehingga dapat bertahan selama 70 tahun.
Anak menantu, cucu dan cicit berkumpul untuk meraikan majlis ulang tahun ke-70 perkahwinan Muhammed dan Rahmah.
Sempena ulang tahun perkahwinan itu, Muhammed dan Rahmah diraikan oleh anak-anak, menantu, cucu-cucu dan cicit-cicit dalam satu majlis yang berlangsung pada 26 Disembe, 2022 lalu di rumah anak kedua mereka, Zuraidah.
Selain makan-makan, sambutan yang disertai kira-kira 80 orang ahli keluarga itu turut dimeriahkan dengan majlis berzanji, acara sukaneka dan kemuncaknya adalah acara potong kek ulang tahun perkahwinan.
“Ia menjadi acara tahunan keluarga kami sejak beberapa tahun lalu. Selain bertujuan meraikan ulang tahun perkahwinan ayah dan emak, ia juga bermatlamat mengeratkan silaturahim dalam kalangan generasi Haji Muhammed dan Hajah Rahmah.
“Doa kami, semuga jodoh ayah dan emak berkekalan hingga akhir hayat mereka. Bukan mudah untuk mengekalkan perkahwinan selama 70 tahun dan ia menjadi contoh dan model kepada kami,” kata Rafidah. - KitaReporters
Berzanji adalah antara acara yang berlangsung pada majlis ulang tahun ke-70 perkahwinan Muhammed dan Rahmah.
Acara sukaneka memeriahkan sambutan majlis ulang tahun perkahwinan Muhammed dan Rahmah.