Video| Kesibukan di awan biru tak patahkan semangat! Yasoda Rue Yi dinobat Miss Malaysia Kebaya 2022!

Published by
KitaReporters


KESIBUKAN masa bertugas di awan biru tidak menghalang untuk seorang kru kabin AirAsia mencuba nasib dalam pertandingan berprestij tinggi yang dianjurkan setiap tahun.

Malah, menjadi kepuasan berganda kepadanya apabila dinobatkan sebagai Miss Malaysia Kebaya 2022.

Itulah yang dirasai oleh Yasoda Rue Yi Manogaran, gadis kelahiran Perak Darul Ridzuan apabila namanya diumumkan pada majls penuh prestij yang berlangsung secara meriah di Parkroyal Collection Hotel pada 30 Oktober 2022 lalu.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pertandingan ratu cantik




Bagi Wanita tinggi lampai dan berwajah keibuan ini, kemenangan yang diperoleh tidak dijangka berikutan menyedari lebih ramai yang layak daripadanya.

Selain Yasoda dua lagi peserta Noor Syahiera Nadia dan Genevieve Goh berjaya mengalahkan 36 finalis lain dalam kategori Miss Malaysia Kebaya 2022.

Yasoda pada awalnya mengakui dia terkedu apabila namanya diumumkan sebagai juara dan menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai penghargaan paling hebat yang dicapai sepanjang hayatnya.

“Saya sangat terkejut dan beberapa rakan cuba meyakinkan sendiri bahawa yang disebut itu adalah diri saya,” katanya sangat teruja.



Kini dengan gelaran yang diperoleh sebagai Miss Malaysia Kebaya, Yasoda yakin dapat memberi peluang kepadanya untuk mempromosikan bukan sahaja baju kebaya tetapi kebudayaan yang ada di negara ini  di seluruh dunia.

Katanya dengan kerjaya sebagai kru kabin dan terbang tinggi di awan biru, ia akan memudahkan tugasnya dalam satu masa serentak untuk mempromosikan kebudayaan negara termasuk memperkenal baju kebaya pada peringkat global.

Kongsinya, pada awal pembabitan diri dalam pertandingan berprestij itu, dia hampir mengalah kerana tidak dapat mengagihkan antara kerjaya dan penyertaan.

Namun sokongan dan dorongan  aripada keluarga dan rakan terdekat membuatkan dia nekad. Malah akui wanita mempunyai ketinggian 171 cm itu dia mula seronok menikmati perjalanan pertandingan yang disifatkan sebagai pengalaman berharga.



Sementara itu Penganjur Miss Malaysia Kebaya (MMK), Nicole Fe Lynne berkata, penganjuran pertandingan itu bertujuan mempromosikan tradisi, warisan dan budaya Malaysia melalui  pemakaian baju tradisi negara iaitu baju kebaya.

Beliau yang berpuas hati dengan penganjuran pertandingan yang turut mendapat sokongan Kementerian Kesenian, Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) dan Pelancongan Malaysia itu mengakui mendapat sambutan menggalakkan setiap kali penyertaan dibuka.

Malah keterbukaan tersebut telah memberi inspirasi kepadanya untuk menambah baik penganjuran selain menambah pelbagai kategori yang berbeza.

Bagaimanapun, semuanya disesuaikan mengikut kumpulan umur dan status supaya ini akan menggalakkan wanita dari semua peringkat umur dan latar belakang mengambil bahagian. 

Katanya penganjuran Miss Malaysia Kebaya memberi pendedahan kepada kaum wanita tentang pelbagai aspek selain berfungsi sebagai platform pemerkasaan wanita. 



Bagi 2022, sebanyak enam kategori dipertanding antaranya Miss Malaysia Kebaya 2022, Mrs Malaysia Kebaya 2022, Mrs Malaysia Classic Kebaya 2022, Miss Malaysia Petite Kebaya 2022, Mrs Malaysia Petite Kebaya 2022, Miss Malaysia Teen Kebaya 2022, Little Kebaya Princess Malaysia 2022 dan Little Junior Kebaya Princess Malaysia 2022. - KitaReporters


15
7
0
12
0

Copy Link: