Pertama kali mewakili Malaysia pada 1978 sebagai pemain ragbi B23 Malaysia. Shafferi Rejab duduk bawah, kanan sekali.


Namanya tidak pernah didendang. Cukup dengan semangat dan kepuasan diri. Kalau sudah minat tiada apa yang boleh menghalang asalkan berusaha gigih untuk menjadi yang terbaik. 

Sejak zaman sekolah rendah, bakat Shafferi Rejab, 66, dalam bidang sukan telah menyerlah. Pelbagai sukan disertai antaranya sepak takraw, bola sepak dan ragbi yang membawanya sehingga ke gelanggang dunia. 
Bukan setakat pernah mewakili negara sebagai pemain tetapi juga menjadi pengadil. Malah beliau satu-satunya anak Malaysia yang pernah dipilih menjadi pengadil ragbi Sukan Komanwel di Kuala Lumpur
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan ragbi

SHAFFERI REJAB


Semuanya bermula dengan kemenangan pasukan sepak takraw yang diwakilinya meraih Juara Bawah 12 tahun (B12) Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM). 

Sejak itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Minatnya bercambah ke sukan lain pula. Kali ini ragbi dan bola sepak. Begitulah perjalanan Shafferi dalam hidupnya sebagai ahli sukan. 

Namanya memang tidak asing lagi di Kedah. Namun masa berlalu. Yang pernah berjasa selalu terpinggir kecuali mereka yang kenal akan kehebatannya di padang.  Jasa dan bakti tetap jadi kenangan
Pernah mewakili pasukan bola sepak Kedah bermula dengan wakil Sekolah-sekolah ASEAN pada 1974, beliau terus melangkah jauh sehingga terpilih mewakili Kedah ke Piala Emas Raja-Raja dan Piala Malaysia pada 1976-1979


Sejarah mulai tercipta buat Shafferi dalam sukan ragbi apabila pada tahun 1982, beliau mewakili Kedah menyertai dan seterusnya menjuarai kejohanan Piala HMS Malaya. Itu adalah kali pertama negeri Kedah menjuarai kejohanan berprestij bagi sukan ragbi di negara ini.
Jika dilihat pada rentetan karier sukannya, ternyata jasa Shafferi amat besar kepada Kedah dan sukan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 
"Saya memang berminat dalam sukan sejak kecil. Minat yang mulanya hanya untuk kepuasan diri akhirnya membawa saya ke merata negara. Satu peluang yang tidak semua orang dapat merasanya," kata bekas guru Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) dari 1984 hingga 1993

Menjadi jurulatih pertandingan ragbi Hong Kong 7's di Hong Kong


Shafferi yang telah berkahwin dengan Mariam Hashim dan dikurniakan 4 orang anak memulakan kerjaya sebagai guru sementara di Sekolah Menengah Simpang Empat, Alor Setar, Kedah sebelum bergelar guru sepenuhnya di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) pada 1984 - 1993.
Selain bola sepak Shafferi juga turut mengharumkan nama negara apabila terpilih menyertai pasukan ragbi kebangsaan dan pernah menjadi Pengarah Kejurulatihan Kesatuan Ragbi Malaysia (Malaysian Ruqby Union atau MRU) dan menjadi jurulatih pasukan Malaysia
"Pengalaman  yang saya lalui semasa mewakili negara dalam bersukan sangat berharga. Melaluinya saya dapat membaiki kelemahan dan melihat bagaimana pemain asing menjaga disiplin, tatatertib dan stamina mereka semasa beraksi di padang," ujar beliau yang mesra disapa sebagai Cikgu Shafferi

Menjadi pengadil di Sukan SEA di Chiang Mai, Thailand


Pengalaman yang dikutip di beberapa pertandingan peringkat antarabangsa melayakkan beliau memegang beberapa jawatan penting dalam sukan. 
Antaranya Penasihat Persatuan Ragbi Kedah, Kapten Kelab Golf Diraja Kedah, Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) selama 16 tahun dan pengadil ragbi peringkat Malaysia dan antarabangsa. 
Shafferi pernah terpilih sebagai Pengadil Kesatuan Bola Ragbi Asia (ARFU) sebanyak 3 kali semasa kejohanan diadakan di Kuala Lumpur dan Bangkok serta Sukan SEA di Chiang Mai, Thailand.
Paling menggembirakan Shafferi adalah beliau telah terpilih mengadili pertandingan ARFU sebanyak 2 kali di Kuala Lumpur dan juga di Bangkok.
"Semua ini rezeki anugerah Allah kepada saya. Tidak sangka pula penglibatan saya dalam sukan membawa saya jauh ke peringkat antarabangsa. Satu kenangan manis yang saya akan kenang sampai bila-bila." tambah Shafferi. 

Menjadi pengadil pada pertandingan ragbi AFRU di Bangkok, Thailand


Shafferi pernah terpilih mengadili perlawanan ragbi peringkat Sukan Ragbi Universiti Dunia di Italy, Spain dan Perancis
"Saya berbangga dapat berbakti kepada negara dalam bidang sukan dengan pengalaman yang tidak seberapa. 
"Zaman persekolahan adalah masa terbaik untuk anak-anak remaja membina minat mereka tidak kira dalam bidang apa termasuk sukan," jelas Shafferi lagi. 
Apa yang penting usaha dan yakin dengan kemampuan yang kita ada. 

"Semua pengalaman yang saya kutip di luar negara menjadi ilmu yang berharga dalam hidup saya sepanjang bergiat dalam sukan. Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi peluang ini kepada saya," tambah Shafferi yang pernah memikul tanggungjawab sebagai Pegawai Penyelaras Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Sukan Komanwel pada 1994-1995. 

Beliau juga pernah dipilih menjadi Pengadil Ragbi Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur pada tahun 1998.


Menjadi pengadil pada pertandingan ragbi ARFU di Bangkok


Shafferi menasihati para remaja yang minat dalam sesuatu sukan supaya bekerja keras untuk mendapat tempat dalam pasukan jika ada peluang. 
"Peluang hanya datang sekali. Jangan lepaskan ia berlalu. Usaha dan buat sampai berjaya. Jangan mengalah sebelum berjuang," pesannya. 
Mengenai masa depan sukan negara, Shafferi berharap lebih banyak tumpuan diberi kepada sukan yang berpotensi untuk membawa Malaysia ke peringkat antarabangsa. 
"Lebih banyak kaedah dan stategi perlu ada untuk melatih para atlet dengan jurulatih yang berpengalaman dan serasi dengan pemain. Bukan hanya memandang pada nama dan kehebatannya sahaja," ujar Shafferi lagi.

Kelab bermotosikal Sahoca Bikers Legends.


Shafferi kini menghabiskan masa dengan aktiviti kemasyarakatan melalui kelab bermotosikal Sahoca Bikers Legends bersama bekas pelajarnya dari Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar
Selaku penasihat, kerja amal, gotog royong dan membantu mangsa banjir, asnaf, anak yatim, anak OKU dan warga emas antara aktiviti yang dibuat bersama team Sahoca Bikers. 
Meninggalkan alam perguruan pada 2016 Shafferi menyifatkan aktiviti sedemikian dapat merapatkan hubungan antara bekas murid dan guru. 
"Lagipun apabila orang muda dan lama bergabung, banyak idea yang timbul selain mengingatkan seronoknya zaman di bilik darjah. "Kalau dahulu hubungan antara cikgu dan murid, sekarang abang dan adik," kata Shafferi yang juga bekas Pengarah Pusat Sukan UUM dan Pengarah Iron Man Langkawi Malaysia kali ke-2


Pepatah berkata, ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Demikian juga dengan Cikgu Shafferi yang mana bakat sukannya turut diwarisi keempat-empat orang anaknya. 
Anak sulung lelaki, Shahril Esmarwandy mewakili pasukan bola sepak Kedah, manakala anak lelaki kedua, Shafrizal Affendi mewakili pasukan hoki Kedah dan Perlis di SUKMA dan juga menjadi jurulatih.
Sementara anak ketiga Shahirah Shafferi wakil olahraga daerah dan bola tampar, wakil staf intervarsiti, manakala Muhammad Suhail pula wakil tenis dan hoki Kedah dan Negeri Sembilan bagi pasukan senior.
"Saya bersyukur darah sukan dalam diri saya turut mengalir dalam diri anak- anak. Semoga mereka berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa," tambahnya bangga. 

Menyerahkan sumbangan kepada penduduk yang diziarah oleh kelab Sahoca Bikers Legends


Sepanjang aktif dalam sukan sejak lebih 45 tahun lalu Shafferi telah memperoleh kelayakan Pengadil Grade A Malaysia pada 1976 dan  diberi kepercayaan untuk menjadi Ketua Jurulatih Ragbi Malaysia dari 1984-2006 serta pengadil beberapa pertandingan ragbi seperti Pengadil di Suka Rugbi Universiti Dunia di Italy, Sepanyol dan Perancis; Pengadil Sukan SEA Thailand 1994; Pengadil Sukan Komanwel 1998; Pengadil Kelayakan Piala Dunia 1994-2004; Pengadil Kejohanan Raqbi 7 Sebelah Kebangsaan Kuala Lumpur 1985-2006; dan  Pengadil Kejohanan Rugbi Dunia 2012 di Republik Czech. ]

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Kejohanan Ironman Langkawi kali kedua di Langkawi dengan menguruskan peserta-peserta antarabangsa dari seluruh dunia.

Di atas penglibatannya dalam sukan, Shafferi dianugerahkan pelbagai pingat kebaktian seperti pingat PJK (1994), BCK (2006), BKM (2007), (ASK) 2012 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Universiti Utara Malaysia (UUM) 2011. - KitaReporters

13
9
0
17
0

Copy Link: