PROGRAM Maulid Ride 2024 (MR 2024), Masjid Bandar Tun Hussein Onn (MBTHO), Cheras, Selangor bukan setakat berbentuk sukan riadah namun menjadi visi bersifat ilmiah ke arah menimba ilmu pengetahuan ajaran agama Islam terutama berkaitan sunah Rasulullah yang wajar menjadi ikutan.

Justeru itu, 27 kumpulan dengan membabitkan 110 peserta yang menyertai program itu berkayuh secara santai menuju ke enam ‘check point’ atau titik semak surau kariah MBTHO iaitu Al Ansar, Al Fathonah, Al Amin, As Siddiq, An Nur dan Madrasah Cheras Perdana untuk melakukan tugasan berbentuk sunah serta menjawab soalan yang dikemukakan petugas.


Urus setia melakukan pendaftaran peserta dan edaran baju T Maulid Ride 2024 kepada peserta sebaik sahaja selesai menunaikan solat subuh berjemaah.


Nazir MBTHO, Dr Fairuz Mohamad, berkata kemenangan sesuatu pasukan itu dinilaikan daripada jumlah markah yang diperoleh selepas melakukan tugasan dan menjawab soalan berkaitan di setiap ‘check point’ di samping  beberapa kriteria lain yang turut diambil kira.

Menurutnya, di setiap ‘check point’ ahli kumpulan melakukan tugasan berkaitan sunah yang wajar dipratikkan antaranya seperti kaedah sembelihan haiwan, akad jual beli, bersedekah atau infak, mempelajari sirah nabi, berdakwah dengan edaran risalah agama, uji minda, sukan memanah dan laungan azan.

Tambahnya, apabila bergerak dalam satu pasukan bukan setakat berjaya memupuk ukhuwah erat antara mereka malah menzahirkan hubungan rapat untuk bekerjasama menyelesaikan tugasan serta menjawab soalan yang dikemukakan dalam masa ditetapkan.


Dr Fairuz Mohamad (tiga dari kanan) merakam kenangan sebelum melakukan perlepasan peserta Maulid Ride 2024  pada 3 Februari 2024.


“Ini secara tidak langsung menepati tuntutan ajaran agama kita untuk sentiasa mempunyai hubungan baik dengan rakan taulan serta jiran tetangga dan apabila bertemu dalam suatu perhimpunan atau acara dapat mengenali rapat antara satu sama lain.

“Kita berlumba mencari kemenangan tetapi dalam situasi mencari keredaan Allah SWT dengan menimba limu pengetahuan ajaran agama Islam serta sunah Rasulullah yang memberi banyak manfaat dalam kehidupan kita ,” katanya ketika ditemui pada program itu di pekarangan MBTHO pada 3 Feb 2024.

Program kayuhan sejauh enam kilometer itu dianjurkan oleh Biro Dakwah dengan kerjasama Biro Pemuda MBTHO. Turut hadir memeriahkan program itu, Imam Satu MBTHO, Mohd Faisal Mohd Noor di samping mendapat kerjasama amat baik daripada sukarelawan MBTHO serta surau kariah bagi menjayakannya.


Peserta, urus setia dan petugas di 'check point' bersarapan bersama-sama sebelum acara Maulid Ride 2024 bermula.


Dr Fairuz berkata, paling penting program berkenaan membantu dalam mengimarahkan solat berjemaah di masjid atau surau kerana ianya banyak kelebihan dalam mengumpul pahala serta dapat melihat pelbagai aktiviti yang dianjurkan bagi menyempurnakan ibadah-ibadah lain.

Menurutnya, selain menanamkan perasaan cinta kepada Nabi Muhammad SAW, tugasan dilakukan itu juga sebagai pendedahan kepada penduduk bukan Islam yang menetap di BTHO kerana mampu merubah ke arah hubungan ukhuwah lebih baik dengan orang Islam.

Jelas beliau, program itu juga secara tidak langsung mendedahkan kepada umum bahawa MBTHO sentiasa cakna dengan surau kariah apabila membabitkan mereka dengan pelbagai program yang dianjurkan supaya turut menikmati manfaatnya. 

“MBTHO akan sentiasa menyantuni surau kariah seperti menghulurkan bantuan yang diperlukan terutama apabila mengadakan program keagamaan dan hubungan terbina erat ini mendorong untuk dianjurkan program berimpak besar pada masa akan datang,” ujarnya.


Sembelihan burung puyuh antara tugasan yang terpaksa dilakukan ol;eh peserta dalam mempraktikkan kaedah sembelihan yang betul dalam ajaran agama Islam.


Sementara itu Ketua Kumpulan 17 (Naga Sakti), Alias Ahmad, menyifatkan program itu meningkatkan ukhuwah serta gaya hidup sihat sesama peserta yang sebelum ini tidak pernah bertemu untuk mengenali antara satu sama lain.

Menurutnya, tugasan serta soalan yang dikemukakan oleh petugas di ‘check point’ memberi kesedaran kepada peserta untuk menguasai perkara sunah di dalam kehidupan harian antaranya seperti kaedah jual beli mengikut acuan Islam, sembelihan haiwan, ilmu pengetahuan mengenai sirah, kehidupan berdakwah serta mendalami ilmu fardu ain untuk solat iaitu azan dan iqamat.

“Melalui program ini peserta didedahkan betapa penting untuk mereka mengetahui ilmu berkenaan termasuklah sunah fi’liah iaitu sunah perbuatan seperti sukan memanah,” katanya. - KitaReporters


Uji minda antara tugasan yang menggamatkan suasana apabila peserta terpaksa bekerjasama mencari jawapan yang betul.


Ahli Kumpulan 17 (Naga Sakti) yang tidak diduga meraih naib johan Maulid Ride 2024 MBTHO.

27
9
0
16
0

Copy Link: