Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) meneruskan inisiatif membantu lebih 700 anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu, bapa, ibu bapa atau penjaga akibat pandemik COVID-19. 

YKM sentiasa mencari ruang dan peluang untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu COVID-19 ini dalam mendapatkan pendidikan, terutama yang belajar pada peringkat prasekolah sehingga tamat ijazah pertama di institut pengajian tinggi. 

Seramai 589 anak-anak yang belajar pada peringkat prasekolah (bermula dari umur enam tahun) sehingga mahasiswa ijazah pertama di institut pengajian tinggi (IPT) akan menerima Bantuan Persekolahan dan Bantuan Menara Gading YKM sebanyak RM300 setiap seorang bermula pada 5 Februari 2024. 



Pengerusi YKM, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan tersebut adalah untuk membantu mengurangkan beban keluarga khususnya ketika bermula sesi baharu persekolahan. 

Beliau berkata, penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) adalah sebagai manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia, terutama kepada anak-anak yang kehilangan ibu, bapa atau ibu bapa atau penjaga akibat Pandemik COVID-19.

“Biarpun pandemik telah berlalu namun kesan dan trauma yang dialami anak-anak ini adalah berpanjangan, mereka kehilangan orang yang tersayang dalam masa yang amat singkat dan tanpa diduga. 

“YKM telah mengumpulkan lebih 5,000 data anak-anak yang kehilangan orang yang tersayang ini untuk disaring. 

"Bantuan hanya disalurkan kepada anak-anak yang kurang berkemampuan daripada keluarga B40,” katanya. 

Tambah beliau, selain dua bantuan ini, YKM akan terus menyalurkan bantuan-bantuan lain dan mengadakan program khusus untuk memastikan anak-anak terus terbela. 

Anak-anak yang layak menerima bantuan ini dimaklumkan melalui mesej WhatsApp dan surat yang di pos ke alamat rumah masing-masing. 

Kesemua anak yatim dan yatim piatu COVID-19 di bawah YKM adalah anak dan cucu angkat kepada Ismail Sabri. 



Sebagai simbolik penyampaian bantuan tersebut, Ismail Sabri telah mengunjungi rumah keluarga Nabilah Nazurah Benyajeed, kakak sulung kepada lapan beradik yang kehilangan ibu bapa akibat Pandemik COVID-19 pada tahun 2021 untuk menyerahkan bantuan tersebut di Bukit Beruntung pada 5 Februari 2024. 

Bekas Perdana Menteri Kesembilan itu turut meluangkan masa selama sejam untuk beramah mesra serta makan tengah hari bersama enam daripada lapan beradik tersebut iaitu Nazurah Nabilah, 22; Nurnasuhah Nabilah, 17; Muhammad Benjamin, 16; Muhammad Bennazir Sulaiman, 13; Nur Rawdah Nabilah, 11, dan Nur Qurratu Ain Nabilah, 7 tahun. 

Anak kedua, Muhamad Muzakkir, 21; dan ketiga, Nurhani Nabilah, 19; tidak berada di rumah kerana bekerja dan belajar di Kolej Komuniti di Pulau Pinang. 

Bapa kepada lapan beradik itu Benyajeed Bernie meninggal dunia pada 16 Julai 2021 manakala isterinya Noraini Ibrahim meninggal dunia dua hari kemudian. Kedua-dua mereka meninggal dunia akibat COVID-19. 



Pertama kali, Ismail Sabri melawat lapan beradik yatim piatu ini ialah selepas ibu bapa mereka meninggal dunia pada tahun 2021. 

Sejak itu, beliau menyantuni terus anak-anak ini pada setiap kali Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. 

YKM ditubuhkan pada tahun 2021 khusus untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatut yang kehilangan ibu, bapa, ibu bapa atau penjaga akibat Pandemik COVID-19. 

Maklumat lanjut mengenai YKM boleh hubungi nombor telefon 0322027493 atau 01153421005 atau email [email protected]. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
12
0
12
0

Copy Link: