Pemegang diploma pengurusan hotel jadi badut! Watt de Clown! Hidawati temui kepuasan tersendiri!
Published bySETIAP orang mempunyai cita-cita serta impian dalam hidup tapi kadangkala yang dirancang dan diimpikan tidak menjadi kenyataan, sebaliknya perkara tidak terduga pula terjadi.
Itulah dilalui pemegang Diploma Pengurusan Hotel, Noor Hidawati Mohd Juki, 45, yang kini memilih badut sebagai kerjaya walaupun hakikatnya ia menyimpang jauh daripada cita-cita asalnya.
Lebih dikenali sebagai Watt de Clown, cita-cita Hidawati sebenarnya ingin menjadi seorang usahawan restoran namun ternyata rezekinya bukan di situ.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan badut
Hidawati kerap mendapat undangan untuk majlis sambutan hari jadi, rumah terbuka dan karnival dan majlis korporat serta majlis rasmi kerajaan. - Kredit foto: FB Noor Hidawati MJ.
“Saya tak pernah bermimpi untuk jadi badut, kerjaya yang langsung tak terlintas dalam fikiran saya. Sejak di universiti, saya sudah memasang impian, suatu hari nanti saya mahu mengusahakan dan memiliki restoran sendiri.
“Malah, sebagai persiapan ke arah itu, saya memulakan kerjaya saya sebagai pengurus sebuah restoran tapi tidak bertahan lama kerana jiwa saya bukan di situ.
“Kemudian, saya bekerja pula sebagai setiausaha, selepas itu sebagai pembantu peribadi dan juga jurulatih kecergasan tapi ternyata juga tidak bertahan lama kerana tidak menemui kepuasan dalam semua kerjaya itu," katanya.
Tambahnya, dia nekad berhenti kerja dan kemudiannya memulakan perniagaan dengan harapan akan dapat memenuhi cita-cita untuk membuka restoran tapi tenyata segala dilakukannya itu dirasakan tiada kepuasan serta tidak serasi dengan jiwanya.
Kerjaya badut sangat sesuai dengan jiwa Hidawati yang sukakan aktiviti seni serta kanak-kanak. - Kredit foto: FB Noor Hidawati MJ.
"Saya tertanya-tanya kepada diri sendiri, apa sebenarnya yang saya mahu dan cari untuk kepuasan. Segalanya berubah setelah pertemuan tidak dirancang dengan dua orang badut dikenali sebagai Labu dan Banana pada akhir tahun 2015.
“Perkenalan secara kebetulan itu berlaku ketika saya bersama suami, Muhammad Fairus Shahuddin menyertai kursus untuk mendapatkan permit sebagai seniman jalanan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kami berbual-bual mengenai kerjaya mereka sebagai badut. Perbualan itu menimbulkan rasa minat saya untuk menjadi badut dan mereka juga tidak keberatan untuk membimbing saya sehingga akhirnya persoalan terjawab," ujarnya.
Cerita wanita ini lagi, penampilan pertamanya sebagai badut dengan menggunakan nama Watt de Clown pada sambutan Hari Wilayah Persekutuan anjuran bersama PPR Pekan Kepong dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Februari 2016.
Ketika itu dia mengadakan persembahan tanpa diundang sebaliknya melakukan secara sukarela untuk merasai bagaimana pengalaman menjadi badut dan ternyata ia memberi kepuasan tersendiri, sekali gus serasi dengan jiwanya.
Tidak mahu menoleh ke belakang, Hidawati terus mengorak langkah menjadikannya sebagai sumber rezeki sampingan sehingga akhirnya benar-benar jatuh cinta sehingga menjadikan badut sebagai kerjaya tetapnya.
Hidawati menceburi pelbagai bidang pekerjaan sebelum menjadi badut. - Kredit foto: FB Noor Hidawati MJ.
“Ramai terkejut apabila saya memilih badut sebagai kerjaya sehingga sanggup mengetepikan cita-cita asal sehingga ada yang menganggap saya mensia-siakan kelayakan akademik yang dimiliki.
“Awalnya saya sendiri menganggap pekerjaan sebagai badut tidak menjamin masa depan. Tapi selepas beberapa kali membuat persembahan, saya mula yakin dengan karier sebagai badut, tanggapan saya sebelum ini salah.
“Lebih penting kerjaya ini sangat cocok dengan jiwa saya yang sukakan aktiviti seni serta kanak-kanak. Saya rangkumkan tarian, nyanyian dan lakonan dalam persembahan. Syukur, suami sentiasa menyokong minat saya apatah lagi dia sendiri aktif sebagai seniman jalanan bagi mencari sumber pendapatan sampingan,” ujar Hidawati.
Selain majlis keraian seperti sambutan hari jadi, rumah terbuka dan karnival, Hidawati juga kerap mendapat undangan untuk majlis korporat serta majlis rasmi kerajaan seperti Hari Sukan Negara dan Hari Polis.
Malah, lebih membanggakan, Hidawati serta rakan-rakannya pernah berkongsi pentas bersama Great Britain Circus ketika kumpulan sarkas terkemuka Britain itu membuat persembahan di Subang Jaya pada 2016 lalu.
Kerjaya sebagai badut memberikan kepuasan tersendiri bagi Hidawati. - Kredit foto: FB Noor Hidawati MJ.
Begitu pun Hidawati tidak menafikan, ancaman Covid-19 melanda dunia sejak penghujung 2019 hampir menutup periuk nasi mereka sebagai badut apabila negara mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang melarang sebarang aktiviti membabitkan perhimpunan atau persembahan.
“Sepanjang PKP, saya dan rakan-rakan terutama yang bergantung penuh pada kerjaya badut terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan. Saya sendiri membabitkan diri dalam perniagaan pekasam, sambal, kacang dan lain-lain.
“Kini, selepas PKP dilonggarkan, kami dapat bernafas semula apabila jemputan untuk membuat persembahan kembali rancak, sekali gus turut membuka ruang untuk merancang masa depan dirinya serta rakan-rakan badut lain memandangkan dipertanggungjawabkan sebagai Presiden Persatuan Seniman Badut (PSB).
“Sebagai presiden, saya mempunyai misi untuk memartabatkan kerjaya badut, Justeru, saya merancang untuk melengkapkan ahli-ahli PSB dengan pelbagai ilmu terutama berkaitan teknologi terkini bagi meningkatkan lagi skil mereka," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, PSB merancang untuk mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi menganjurkan kursus kepada individu yang berminat menjadi badut dan dia berharap program itu mendapat sokongan dana daripada kementerian berkaitan.- KitaReporters
NOOR HIDAWATI MOHD JUKI