Terima kasih APM Setiu! Bantu bayi umur lapan hari ke klinik
Published byANGKATAN Pertahanan Awam (APM) Daerah Setiu membantu seorang
bayi berusia lapan hari untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Permaisuri bagi
mendapat rawatan penyakit kuning yang dihidapi oleh bayi itu.
SEORANG anggota wanita APM Setiu sedang menghulurkan bayi berusia 8 hari kepada suami Wan Aziani Wan Yaacob di atas lori untuk dibawa Klinik Kesihatan Bandar Permaisuri, Setiu pada pagi tadi, Rabu, 25 November 2020. - Kredit Foto : APM Setiu
Lagi cerita-cerita berkaitan APM:
https://kitareporters.com/search?search=APM
Banjir yang berlaku di daerah Setiu, Terengganu sejak dua hari lalu mengakibatkan seramai 125 mangsa banjir telah dipindahkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga pagi tadi.
WAN Nor Aziani Wan Yaacob menaiki lori APM Setiu. - Kredit Foto : APM Setiu
Dalam kes berkenaan, ibu bayi terbabit, Wan Nor Aziani Wan Yaacob, 28, yang tinggal di Kampung Besut, Hulu Seladang terpaksa menghubungi APM selepas mendapati jalan keluar dari rumahnya ditenggelami air akibat banjir melanda di kawasan itu.
Wan Nor Aziani berkata akibat masalah air banjir tersebut beliau tidak dapat keluar dengan kenderaannya membawa bayinya bagi mendapat rawatan susulan di klinik berkenaan.
ANGGOTA APM membawa Wan Aziani untuk menaiki lori
Menurutnya, rawatan anaknya pada Rabu, 25 November 2020 adalah telah ditetapkan dalam temu janji oleh pegawai perubatan di klinik itu.
``Kalaulah saya menangguhkan rawatan anak saya hari ini saya bimbang pula dengan penyakit itu terhadap anak saya yang baru dilahirkan,’’ ujarnya.
MOHD NIZU HUSIEN
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Kapten (PA) Mohd Nizu Husien berkata pihaknya menerima panggilan daripada suri rumah yang terkandas akibat banjir kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Beliau berkata sebaik sahaja mengetahui kejadian itu seramai tujuh anggota APM bersama sebuah lori dan sebuah ambulans telah bergerak ke Kampung Besut itu.
``Kami menggunakan lori untuk mengambil bapa dan ibu bayi itu di rumah mereka dan selepas itu mereka menaiki ambulans pula untuk pergi ke Klinik Kesihatan Bandar Permaisuri.
``Anggota kami terpaksa menunggu hampir satu jam di klinik itu kerana apabila siap rawatan bayi itu kami akan hantar pulang ke rumah mereka yang laluannya ditenggelami air, ‘’ katanya.
SABRI Mohd Noor (dua dari kanan) beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS Kampung Bukit Nanas, Sungai Tong, Setiu pada 25 November 2020.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Langkap, Datuk Sabri Mohd Noor melawat mangsa banjir PPS Kampung Bukit Nenas dan PSS Merbau Menyusut pada pukul 5 petang Rabu, 25 November 2020.
Dalam lawatan lebih sejam itu, Sabri beramah mesra serta bertanya khabar penduduk kampung yang terbabit dengan banjir itu. - KitaReporters