Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat dalam kemalangan di KM288 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, Ipoh, Perak melibatkan lori tangki gas dengan empat buah lori lain. - Kredit foto: Ihsan JBPM Perak


LIMA buah lori termasuk lori kontena terlibat kemalangan di Kilometer 288 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Ipoh, Perak sehingga meragut nyawa seorang pemandu lori tangki gas petroleum cecair (LPG).

Dalam kejadian pada 23 Jun 2021 itu, kemalangan dipercayai berlaku setelah lori dipandu mangsa merempuh sebuah lori kontena dari arah belakang.

Memetik laporan Harian Metro pada 24 Jun 2021, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan pihak bomba terima panggilan berhubung nahas melibatkan sebuah lori tangki LPG dengan empat lori lain itu pada jam 10.01 malam.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM Perak dari BBP Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi sejurus terima panggilan.

“Kemalangan dipercayai melibatkan empat mangsa namun hanya dua orang sahaja dikeluarkan bomba dari kenderaan dinaiki masing-masing. Pemandu lori tangku LPG disahkan maut di tempat kejadian.

“Manakala seorang lagi mangsa yang berada di lori berbeza iaitu kenderaan terletak di hadapan sekali cedera pada kaki kanan,” katanya.

Sementara itu, pengesanan kebocoran oleh pasukan Hazmat mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran pada tangki lori LPG tersebut dan operasi berakhir jam 1.10 pagi, 24 Jun 2021. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

1
1
2
0
0

Copy Link: