Para pegawai Skuad Saidina Umar, Lembaga Zakat Selangor dengan dibantu oleh anggota polis membawa wanita warga emas berkerusi roda dan kudung sebelah kaki yang ditinggalkan di tepi jalan di daerah Kuala Langat, Selangor ke Balai Polis Sri Muda. - Kredit foto: FB Lembaga Zakat Selangor.


KEENGANAN menjaga orang tua atau ahli keluarga lanjut usia oleh segelintir masyarakat sejak akhir-akhir ini boleh disifatkan fenomena negatif yang perlu ditangani semua pihak

Jika dibiarkan tanpa ada tindakan atau plan penyelesaian dibimbangi akan menjadi kanser masyarakat sukar dibendung lebih-lebih lagi dalam suasana kehidupan moden sekarang.

Kebelakangan ini sering kedengaran dan dilihat melalui paparan media ada ibu bapa atau orang tua lanjut usia ditinggalkan di pinggir jalan, perhentian bas, surau atau di mana sahaja selain diusir daripada rumah semata-mata kerana enggan menjaga mereka mungkin disebabkan kerenah berbagai ragam orang tua atau perbalahan sesama ahli keluarga.


Lagi kisah-kisah hidup berkaitan warga emas:

https://kitareporters.com/search?search=warga+emas


Wanita berkerusi roda yang ditemui ditepi jalan disatu kawasan di daerah Kuala Langat bersama salah seorang anggota Lembaga Zakat Selangor.


Antara episod sedih masyarakat yang terbaharu ialah seorang wanita warga emas berkerusi roda ditinggalkan berseorangan di tepi jalan pada waktu malam di suatu kawasan di daerah Kuala Langat, Selangor pada Sabtu 20 Februari 2021.

Wanita yang kudung sebelah kakinya dan ingatan tidak begitu baik masih mempunyai keluarga dan waris semasa ditemui ada membawa bersamanya beg pakaian dan lampin pakai buang.

Hasil info orang awam, Skuad Saidina Umar (SSU), Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama Ketua Operasi Agihan LZS bertindak mencari dan menemui wanita berkenaan sekitar jam 8.30 malam.

Melalui catatan Ibnuhussin pada media sosial LZS, dalam pertemuan itu, keluarga wanita berkenaan berjaya dihubungi namun tidak memberikan kerjasama yang baik dan tidak ada seorang warisnya yang sudi menjemput untuk membawa pulang dengan berbagai alasan.

Berikutan itu ditambah dengan keadaan wanita berkenaan, SSU LZS menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis di Balai Polis Sri Muda di Shah Alam, Selangor untuk tindakan lanjut. 


Wanita berkerusi roda yang ditemui ditepi jalan oleh Skuad Saidina Umar, LZS dibawa menaiki ambulans ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan dan saringan COVID-19.



Hasil sesi rundingan dijalankan anak kepada wanita itu bersetuju mengambil ibunya di balai polis.  Namun selepas itu, sekitar jam 3.00 pagi Ahad, 21 Februari 2021, anak kepada wanita tersebut membuat keputusan tidak boleh lagi menjaga ibunya dengan berbagai alasan. 

Anggota polis dari Balai Polis Sri Muda terpaksa menghubungi pusat jagaan warga emas untuk menempatkan wanita tersebut. Kakitangan pusat jagaan berkenaan dengan menggunakan ambulans membawanya ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan COVID-19.

Melalui catatan itu, Ibnuhussin menyatakan, hati mana yang tidak tersentuh bila mana ibu ini masih sanggup mendoakan yang terbaik untuk anaknya.

"Dah lama acik tak jumpa anak, anak acik baik orangnya," kata wanita itu sebelum dihantar ke hospital menaiki ambulans.

"Kami cuba menyembunyikan rasa sebak. Mungkin ada kisah keluarga yang tersembunyi dan hanya mereka sahaja mengetahuinya," ujarnya.



Akhirnya wanita tersebut diserahkan mengikut prosedur untuk ditempatkan di pusat jagaan warga emas dengan kebenaran anaknya dan semua kos semasa tinggal di pusat berkenaan ditanggung oleh LZS.

Untuk itu juga LZS mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan info, Pusat Jagaan Warga Emas Baitul Mawaddah, Pusat Jagaan Warga Emas SRA dan anggota Balai Polis Sri Muda yang bekerjasama hingga ke awal pagi menguruskan kes tersebut.

Semoga usaha ini diberkati Allah dan wanita berkenaan dapat dijaga dengan penuh kasih sayang.Juga diharapkan warisnya terbuka hati untuk menerima kembali sebagai salah seorang ahli keluarga seperti sediakala. - KitaReporters

0
1
4
0
0

Copy Link: