Video! Terbaiklah Yan! Netizen sayang Yeh! Ramai bantu beli kerusi roda! Rakyat Malaysia prihatin!

Published by
KitaReporters


Alhamdulillah, penulis suka dan bangga melihat keprihatinan orang Malaysia dalam menghulurkan bantuan. 

Walaupun dalam media sosial kita sering ‘berperang mulut’ terutama melibatkan politik, kaum dan sebagainya, tetapi apabila ada insan yang memerlukan bantuan, dengan pantasnya masyarakat kita menghulurkan tangan membantu tanpa mengira keturunan.

Inilah ‘permainan’ dan hakikat media sosial, ada baik dan buruknya. Ia menjadi ruang untuk berpecah-belah andainya disalah guna, tapi pada masa sama, menjadi platform untuk insan-insan berhati mulia membantu insan yang memerlukan.



Seandainya ada insan dalam kesusahan memerlukan bantuan ramai, viralkan sahaja kisahnya dan kalau ada rezeki untuknya, maka dengan pantas masalah itu dapat diselesaikan. 

Itulah bukti keprihatinan masyarakat Malaysia. Sikap terpuji yang patut kita suburkan dari generasi ke generasi.

Inilah yang dilakukan oleh seorang pengguna TikTok bernama Yan. Dia menggunakan media sosial untuk membantu orang sekampung bernama Idris atau mesra dipanggil Yeh. 

Yeh adalah Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal (kaki) dan tinggal bersama abang-abang dan ibunya yang sakit kerana diserang penyakit strok.



Oleh kerana Yeh tidak mampu berjalan atau berdiri seperti manusia normal, pergerakannya terbatas apatah lagi untuk menguruskan diri. 

Namun menurut Yan, sungguhpun begitu, Yeh tidak suka menyusahkan orang lain dan akan cuba sedaya upaya menuruskan diri sendiri.

Justeru atas keprihatinan dan sifat kemanusiaan, Yan banyak membantu. Untuk bergerak ke mana-mana, Yeh menggunakan kerusi roda. Namun dek kerana kerusi roda sedia ada sudah uzur, pernah sekali Yeh jatuh terlentang. 

Dek kerana hal inilah, Yan berazam untuk membelikan Yeh kerusi roda baharu sekiranya mempunyai modal mencukupi.



“Korang doakan aku mewah rezeki ya. Aku niat belikan kerusi roda bateri dekat Yeh (Idris). Sekarang memang aku tak mampu lagi,” tulisnya.

Dalam pada itu juga, Yan berkongsi video-video Yeh agar orang ramai turut dapat membantu dan membelikan Yeh kerusi roda baharu. Tidak disangka-sangka, tindakannya itu mendapat perhatian pelbagai pihak. Alhamdulillah rezeki untuk Yeh!

Dalam perkongsian terbaharu (23 Disember 2024), Yan menzahirkan syukur kerana telah berjaya mendapatkan kerusi roda baharu untuk Yeh.



“Alhamdulillah kerusi roda baharu Yeh dah sampai kelmarin. Masa edit video ni saya menahan sebak yang tersangat dalam. Sebab betul tak sangka ramainya orang baik nak bantu saya dapatkan kerusi roda baharu untuk Yeh. 

"Terima kasih orang baik,” luahnya.



Melihat video yang dikongsi ketika Yeh menerima kerusi roda baharu, tanpa disedari mata penulis bergenang. Paling mengharukan apabila melihat senyuman manis Yeh. Pasti dalam hatinya gembira yang tiada tolok bandingnya. 

Bergembiralah sepuas-puasnya Yeh. Selepas ini tidak perlu lagi mengesot untuk ke mana-mana. Ramai yang sayangkan Yeh!

Jutaan terima kasih Yan! Anda benar-benar insan berhati mulia. 

Allah SWT hadirkan kamu untuk membantu Yeh dan membuka mata kami yang sering mengeluh andai diberi ujian hidup. Tanpa kami sedari, rupa-rupanya ada lagi insan yang lebih susah daripada kami. - KitaReporters



14
6
0
13
0

Copy Link: