PENERIMA anugerah Tokoh Wartawan Negara 2023, Khalidah Adibah Amin (Adibah Amin), 88 tahun, kini sedang dirawat di sebuah pusat jagaan khas di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur kerana dia memerlukan pembantu khas bagi menguruskan makan minumnya yang menggunakan tiub.

Dan keadaan kesihatannya juga sangat-sangat lemah (very ill) sebab itulah beliau perlukan rawatan istimewa yang kini dikendalikan oleh bekas ketua jururawat yang dikenali keluarganya.

Adibah juga tidak dibenarkan menerima ramai pelawat sekali gus kerana masih mamai dan keliru. Pernah suatu masa lebih 10 ahli keluarga yang ingin melawatnya perlu diatur secara bergilir-gilir bagi menggelakkan kesesakan tetamu yang akan menjejaskan kesihatannya.

Itu kata adik keduanya, Fadillah Amin, 85, selepas 15 tahun menjaga kakaknya. Adibah terpaksa dihantar ke pusat khas kerana sistem pemakanan dan pengurusan dirinya sangat rumit. 

Tambahan pula tahap kesihatan Fadillah juga turut  merosot dengan umurnya yang semakin tua, adalah sukar untuk  mengangkat dan memandikan Adibah.



Fadillah berkata Adibah masih ingat kenangan manis mereka tiga beradik dan dia juga kenal nama-nama kenalanan rapatnya dan hanya mereka yang rapat dibenarkan berjumpa dengannya. 

"Rasa sedih melihat dia dalam keadaan longlai (lemah) begitu sebab sebelum ini dia seorang yang sangat aktif dan ceria. Apapun kami sekeluarga sudah reda kerana tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana umurnya tak muda lagi," katanya.

Adik ketiga sudah meninggal dunia sebab serangan jantung dan anak-anak cucu serta anak Adibah yang berada di luar negara juga kerap pulang menziarahinya ibunya. 

Anak Adibah belajar dan bekerja di luar negara sebelum berkahwin dengan pasangan. Anaknya memilih untuk menetap di luar negara bersama suaminya dan anak-anak yang sudah dewasa.

Fadillah yang juga bekas Pensyarah Sastera Inggeris di Universiti Malaysia berkata demikian ketika ditemui di majlis penyampaian Tokoh Wartawan Negara, anjuran Institut Akhbar (MPI) sempena Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2024 dan penyampian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023 di Hotel Majestic Hotel Kuala Lumpur pada 7 Jun 2024.

Anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 22 penerima anugerah lain yang dimenangi wartawan media cetak, elektronik dan portal dalam talian.


Satu pengiktirafan negara buat Adibah.


Nama Adibah telah dicalonkan oleh Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) sebagai penghargaan kepada  jasa dan sumbangan yang luar biasa beliau kepada perkembangan dunia media di negara ini.

Presiden PERTAMA, Sariha Mohd Ali berkata baru-baru ini pihaknya sudah mengemukakan nama penulis tersohor itu kepada MPI untuk dipertimbang sebagai penerima.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-52 PERTAMA dan majlis sambutan Aidilfitri di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) yang dihadiri lebih 40 orang media termasuk wartawan yang sudah bersara dan masih berkhidmat pada 5 Mei 2024.

Sariha yang kini berada di Mekah bagi menunaikan haji, mengucapkan jutaan terima kasih kepada MPI sambil menyifatkan pemilihan itu sebagai satu penghargaan tinggi kepada wanita terbabit dalam industri persuratkhabaran yang persaingan semakin sengit, maka anugerah Tokoh Wartawan Negara akan terus menjadi pembakar semangat kepada wartawan yang masih aktif bertugas.


PERTAMA calonkan Adibah Amin jadi Tokoh Wartawan Negara! Ikon wanita dalam kemajuan media, penulisan! 


Mari kita doakan Adibah Amin kekal sihat walafiat.


BUKU siri kajian biografi penerima SEA Write, Adibah Amin: Tak Kenal Maka Tak Cinta.

Adibah Amin adalah penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) pada tahun 1983. 


Adibah Amin yang dilahirkan pada 19 Februari 1936 ialah seorang pendidik, ahli bahasa, wartawan, penulis bahasa Melayu serta bahasa Inggeris, dan pernah berlakon dalam filem Adik Manja sebagai Cikgu Bedah. Filem menceritakan kisah pelajar sekolah swasta yang dikawal disiplin yang akhirnya terkantoi apabila salah seorang pelajar dihamilkan oleh anak pengetua sekolah berkenaan. 

Wikipedia mencatatkan Adibah menggelarkan dirinya Seri Delima yang merupakan nama penanya. Karya-karyanya termasuk tiga buah novel dalam bahasa Melayu (Bangsawan Tulen, Seroja Masih Di Kolam, Tempat Jatuh Lagi Dikenang) bersama-sama dengan lebih kurang 200 drama radio ("Hanya 10 adalah baik", beliau berkata dengan rendah hati kepada majalah Asiaweek), dan sebilangan cerpen. 

Dalam bahasa Inggeris, beliau pernah menulis untuk akhbar The Star, tetapi paling diingati adalah ruangannya "As I Was Passing" yang ditulis semasa beliau bertugas dengan akhbar New Straits Times. 

Pada November 2006, Adibah melahirkan novel pertamanya di dalam Bahasa Inggeris, "This End of The Rainbow" yang memaparkan kehidupan beberapa orang mahasiswa sekitar tahun 50-an. 

Novelnya "Seroja Masih di Kolam" telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun dengan judul "Surojya No Hana Wa Mada Ike Ni (1986)." 

Adibah juga turut menterjemahkan beberapa karya sastera penulis Malaysia termasuklah No Harvest But A Thorn tulisan Sasterawan Negara Malaysia, Shahnon Ahmad (judul asal Ranjau Sepanjang Jalan) dan Jungle of Hope tulisan Sasterawan Negara Malaysia, Keris Mas (judul asalnya, Rimba Harapan). 

Sehingga tahun 2006, Adibah tetap giat menulis terutama artikel-artikel pendidikan dalam surat khabar (The Star). 

Beliau adalah anak kepada tokoh pejuang negara, Tan Sri Zainon Sulaiman atau lebih dikenali sebagai "Ibu Zain" yang merupakan seorang pejuang kemerdekaandaripada penjajah British bersama-sama Tunku Abdul Rahman dalam UMNO, dan tidak mahu ahli-ahli keluarganya hanya bertutur dalam bahasa Inggeris.

Ibunya biasa bertutur dalam bahasa Melayu dengan anak-anaknya, dan mereka dapat pendidikan awal di sekolah Melayu. -KitaReporters


    10
    17
    0
    8
    0

    Copy Link: